Seni & Sukan 03 Mar, 2022

Tahniah Luca Sickta, Robecca! Selamat bernikah di Kota Kinabalu! Mahu didik isteri dalami agama!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


TIADA ribut, tiada angin, diam tak diam, tiba-tiba rakan duo rapper Kmy Kmo, iaitu Luca Sickta, 33, sah bergelar suami kepada produser stesen radio Era FM Sabah, Nur Robecca Ruth Robert Abdullah, 30,  pada jam 10 pagi tadi, 3 Mac 2022 di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBKK), Sabah,

Luca Sickta atau nama sebenarnya, Shameer Ashraf Shahruddin yang cukup dikenali menerusi lagu ‘7 Nasihat’ nyanyian  bersama Dato Seri Siti Nurhaliza dinikahkan oleh imam masjid berkenaan, Hassan Sapar serta dua saksi. 

“Pada awalnya majlis akad nikah sepatutnya diketuai bapa saudara Robecca tetapi malangnya dia disahkan positif Covid-19 dan terpaksa digantikan oleh imam masjid di sini,” ujar Luca. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Luca Sickta


Menurutnya walau pun berdepan cabaran tetapi beliau bersyukur majlis akad nikah berjalan dengan lancar dan sederhana mengikut SOP memandangkan kes COVID-19 masih tinggi.

Luca Sickta menyerahkan mas kahwin bernilai RM300 manakala tiada pertukaran dulang hantaran antara kedua-dua belah pihak dan memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran di atas persetujuan kedua-dua belah keluarga. 

"Pernikahan ini adalah satu fasa baru dalam hidup. Saya kini memegang satu tanggungjawab besar sebagai suami selain perlu mendidik isteri dalami agama memandangkan Robecca baru memeluk agama Islam setahun lalu,” katanya. 

Berkongsi kisah pengenalan antara mereka, kata Luca, dia mula mengenali Robecca sekitar setahun lalu ketika berada di Kota Kinabalu atas urusan kerja. 

"Perkenalan kami memang singkat tapi saya selesa berkawan dengannya kerana kami memiliki pemikiran dan hala tuju yang hampir sama

"Lagipun hubungan yang dibina bukanlah sekadar 'cinta monyet' atau nak bersuka ria. Umur kami pun sudah mencecah 30-an, jadi fokus kami lebih kepada masa depan dan melalui kehidupan bersama-sama,” tambah pengantin baharu ini.



Bersyukur dengan hubugan yang mendapat restu kedua-dua ibu bapa Robecca sehingga bapanya sendiri menggalakkan Robecca memeluk Islam, Luca bagaimanapun akui tugasannya sekarang lebih berat untuk memastikan isterinya itu mendalami ilmu agama secara perlahan-lahan,

“Saya pun tidak mahu terlelau tegas dalam mendidiknya tapi hal yang wajib dia perlu ambil tahu,” jelas anak didik bintang rap terkenal Malique Ibrahim ini,

Setakat ini belum ada lagi ucapan tahniah disampaikan kepada Luca  oleh rakan-rakan artis waima laman Instagram Luca sendiri mahu pun rakan duetnya, Kmy Kmo tiada sebarang berita mengenai pernikahannya, 

Kenapa mengejut tanpa diheboh-hebohkan? Anggap sahajalah jodoh dah sampai ya tak? Lepas ini mesti berduyun-duyun ucapan tahniah diterima penyanyi dan komposer berasal Pahang ini,

Apa pun tahniah diucapkan kepada Luca yang wajahnya dikatakan ramai mempunyai iras penyanyi remaja, Sufian Suhaimi. - KitaReporters


18
9
0
8
0
You will be interested