Melaka United menunjukkan peningkatan apabila mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2021. - Kredit foto: MUFC
HANYA tinggal tidak sampai dua bulan sepak mula Liga Bola Sepak Malaysia musim 2022 akan berlangsung, skuad Melaka United FC (MUFC) mencetuskan resah dalam kalangan penyokong apabila dilihat belum membuat persiapan serius.
Ketika kelab lain sibuk membeli-belah pemain dan ada antaranya sudah melengkapkan pasukan, MUFC pula masih dalam suasana ‘santai’. Sebaliknya pasukan itu menjadi tajuk utama ruangan sukan ekoran dipalit kontroversi isu tunggakan tiga bulan gaji pemain musim 2021.
Antara yang tampil meluah kekecewaan dengan kemelut itu adalah penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan bekas pemain pertahanannya, Khairul Helmi Johari, kedua-duanya kini sudah angkat kaki ke pasukan lain.
Situasi itu turut menarik perhatian bekas pemain negeri dan kebangsaan, Ramli Junit yang kecewa dengan pengurusan MUFC dalam menangani masalah berkenaan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Melaka United
Ramli Junit, bekas pemain Melaka dan skuad kebangsaan. - Kredit foto: Harian Metro
“Cerita yang sama setiap tahun, bila nak mula musim baharu, isu tunggakan gaji akan timbul. Saya tak faham mengapa jadi begitu, apakah pengurusan tidak peka atau ambil mudah?
“Sepatutnya bila dah bertukar kepada status kelab, isu-isu begini tidak berlaku lagi dalam bola sepak kita. Apa pegawai-pegawai MUFC buat, apa MUSA (Persatuan Bola Sepak Melaka United) buat?
“Punyalah ramai pegawai dalam persatuan dan kelab, tak kanlah tak ada seorang pun yang boleh memberi idea bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini?” tanya Ramli.
Menurut anggota skuad Olimpik 1980 itu, adalah tidak adil pemain diperlakukan sedemikian sedangkan mereka sudah memberi komitmen terbaik sehingga mampu membawa MUFC ke separuh akhir Piala Malaysia 2021.
“Pemain dah buat kerja mereka, patut kelab menghargai kudrat mereka dengan membayar gaji tepat pada waktunya. Melaka menunjukkan peningkatan sehingga mampu ke separuh akhir Piala Malaysia (2021) tapi saya bimbang jika masalah gaji berterusan, ramai pemain utama akan angkat kaki dan prestasi pasukan kembali merudum.
“Sehingga sekarang, Melaka belum umum senarai pemain 2022 pada hal liga dah nak mula tak lama lagi. Sepatutnya, sebaik sahaja tamat musim 2021, mereka sudah kenal pasti barisan pemain musim 2022,” kata Ramli.
Khairul Helmi Johari masih menunggu tunggakan empat bulan gaji dari Melaka United. - Kredit foto: MUFC.
Isu tunggakan gaji mula dibangkitkan oleh Khairul Helmi atau Keon dalam satu temu bual dengan Astro Arena, baru-baru ini. Bekas pertahanan Kedah dan MUFC yang kini menyertai pasukan TRW Kelantan itu mendedahkan dia masih menunggu tunggakan gajinya selama 4 bulan.
“Sampai sekarang saya masih berusaha untuk dapatkan (baki gaji), pemain masih tunggu. Tidak tahu sampai bila dan harap Melaka dapat selesaikan segera sebab ini sudah memasuki musim baru.
“Ada pemain yang kekal dan ada yang sudah bawa haluan masing-masing. Saya tidak tahu tarikh sebenar yang mereka janjikan, saya harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu ciapan Khairul Fahmi atau Apek melalui akaun media sosialnya turut menarik perhatian peminat.
"Ini pun sampai tiga bulan kita orang diam tau. Sebab nak jaga kan team. Tapi dah lama sangat kita orang pun 'tension' bank dok call hari-hari, anak bini nak makan," tulis Apek.
Penjaga gol, Khairul Fahmi antara mangsa tunggakan gaji oleh Melaka United. Kredit foto: MUFC
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menegur Melaka United menerusi WhatsApp bersama Presiden MUSA, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
“Salam Datuk, saya harap Datuk dalam keadaan sihat. Datuk pasukan Melaka tidak bayar gaji pemain sudah tiga bulan. Tak bagus untuk ‘image’ integriti pasukan Melaka dan juga kebajikan, serta ‘welfare players’. Tolong selesaikan isu ini Datuk. Terima kasih,” kata Tunku Ismail yang merupakan penaung Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM).
Teguran itu mendapat reaksi positif apabila Sulaiman yang juga Ketua Menteri Melaka berjanji akan menyelesaikan tunggakan itu.
“Wassalam Tunku. Semoga Tunku sentiasa di bawah rahmat Allah SWT. Insya-Allah patik akan usahakan perkara ini sebaik mungkin. Terima kasih,” balas Sulaiman.
Tunku Ismail menegur Melaka United berhubung isu tunggakan gaji melalui komunikasi menerusi WhatsApp bersama Presiden MUSA, Sulaiman Mohd Ali.
Sebelum itu PFAM yang menaungi pemain pula memberi tempoh sehingga 19 Januari, 2022 untuk MUFC melangsaikan semua tunggakan.
"PFAM telah pun menghantar Notis Tuntutan kepada pengurusan Melaka United dan menggesa agar tunggakan dilunaskan selewat-lewatnya pada 19 Januari ini.
"PFAM ingin mengingatkan agar pasukan mengambil serius berkenaan isu pembayaran gaji memandangkan ini bukan merupakan kali pertama membabitkan pasukan Melaka United,” kata PFAM dalam satu kenyataan rasmi.
Kenyataan media MUFC berhubung isu tunggakan gaji.
Sementara itu, pengurusan MUFC dalam reaksi balas kepada isu ini, memberi jaminan akan menyelesaikan masalah tunggakan gaji kesemua pemain dalam masa terdekat.
“Berhubung isu tunggakan gaji pemain dan pegawai Melaka United FC musim 2021, pihak pengurusan kini dalam proses akhir penstrukturan semula dari segi pentadbiran dan kewangan.
“Semua
tunggakan akan diselesaikan dalam masa terdekat bagi memastikan perancangan
bagi tahun 2022 berjalan lancar. Pihak pengurusan menghargai kesabaran dan
kerjasama daripada pemain dan pegawai," kata kenyataan pada 11 Januari 2022 itu.
Ia bukan kali pertama skuad Hang Tuah dibelenggu masalah berkenaan dengan mereka pernah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada musim 2021 lalu atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan. - KitaReporters