Seni & Sukan 03 Jan, 2022

Tan Cheng Hoe letak jawatan ketua jurulatih! Gagal Piala AFF! Selamat tinggal Harimau Malaya!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC).

Share this

TAN Cheng Hoe sugul ketika sidang media pascaperlawanan Piala AFF di Singapura. - Kredit foto: AFF


TAN Cheng Hoe melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak negara berikutan kegagalan Harimau Malaya mara ke separuh akhir Piala AFF 2020 (2021) di Stadium Nasional, Singapura pada 19 Disember 2021.

Keputusan tersebut dimaklumkan dalam siaran media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), 3 Januari 2022 selepas jurulatih kelahiran Alor Setar, Kedah itu mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan persatuan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak


Laman sesawang FAM memaklumkan pengunduran Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih negara. - Kredit foto: FAM


Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, dalam perbincangan dengan FAM, beliau (Cheng Hoe) menyatakan hasrat meletakkan jawatan berikutan kegagalan pasukan kebangsaan ke separuh akhir Piala AFF baru-baru ini.

“Selepas berbincang secara terbuka daripada semua sudut, FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut dan bersetuju melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak,” katanya dalam siaran media pada laman sesawang rasmi FAM, 3 Januari 2022.

Harimau Malaya kendaliannya dibelasah Indonesia 4-1 dan Vietnam 3-0 untuk sekadar menduduki tempat ketiga Kumpulan B Piala AFF di Singapura, namun masih mengutip enam mata setelah menewaskan Kemboja 3-1 dan Laos 4-0 sepanjang perlawanan pada 6, 9, 12 dan 19 Disember 2021.

FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM.


Kesebelasan utama Malaysia bimbingan terakhir Tan Cheng Hoe ketika menentang Indonesia dan gagal ke separuh akhir Piala AFF. - Kredit foto: AFF


Cheng Hoe, 54, memulakan khidmat dengan FAM sebagai penolong jurulatih skuad Bawah 20 Tahun kebangsaan pada 2005 hingga 2009, skuad B23 negara (2009-2010).

Beliau menjadi penolong kepada Datuk K. Rajagobal dalam Harimau Malaya (2009-2013) serta Mei hingga 6 Disember 2017 (skuad negara, kali kedua kepada Nelo Vingada).

Beliau dinaikkan pangkat oleh FAM sebagai ketua jurulatih kebangsaan mulai 7 Disember 2017 selepas warga Portugal itu mengumumkan peletakan jawatan, sehari sebelumnya apabila skuad negara gagal mencapai sebarang kemenangan.

Sebagai penolong jurulatih, pencapaian terbaik Cheng Hoe ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA Laos 2009 dan menjuarai Piala AFF 2010.


TAN Cheng Hoe (kanan) hanya mengumpul tiga kemenangan bersama Harimau Malaya sepanjang 2021. - Kredit foto: FAM


Beliau hampir mengulanginya dalam Piala AFF 2018, namun Harimau Malaya dihampakan Vietnam secara agregat 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Stadium My Dinh, Hanoi untuk hanya bergelar naib juara.

Sepanjang 2021, skuad negara yang diterajuinya melalui 11 perlawanan, meraih tiga kemenangan, tanpa seri dan lapan kekalahan selain mencatat 12 jaringan dan dibolosi 29 gol. 

Perangkaan itu meliputi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia Kumpulan G di Dubai pada Jun 2021, siri perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa di Amman (Oktober 2021) dan Piala AFF. 

“Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Terima kasih. Selamat berjaya kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini,” kata Saifuddin.

Tugasan Harimau Malaya berikutnya ialah menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia yang bermula 8 Jun 2022 selain siri persahabatan antarabangsa (September, Oktober dan November). - KitaReporters


Kekalahan 4-1 kepada Indonesia dalam Piala AFF di Stadium Nasional, Singapura ini turut mempengaruhi keputusan peletakan jawatan Tan Cheng Hoe.  - Kredit foto: AFF


SENARAI KETUA JURULATIH MALAYSIA PALING BERJAYA:

Choo Seng Quee (Singapura)

· Juara Pestabola Merdeka 1958, 1959 dan 1960; Pingat emas Sukan SEAP Rangoon 1961; Pingat gangsa Sukan Asia Jakarta 1962

Harold Hassal (England)

· Juara Pestabola Merdeka 1968

Davc McLaren (Scotland)

· Layak ke Sukan Olimpik Munich 1972 (Kelayakan Kumpulan 1 Asia di Seoul 1971)

Jalil Che Din

· Juara Pestabola Merdeka 1973 & 1974; Pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974

M. Kuppan

 . Juara Pestabola Merdeka 1976; Layak ke Piala Asia 1976 (kelayakan 1975); Pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1977

Mohamad Bakar

· Juara Pestabola Merdeka 1979; Pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979; Layak ke Piala Asia 1980 (kelayakan 1979)

Karl-Heinz Weigang (Jerman Barat)

· Layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 (Kelayakan Kumpulan 2 Asia di Kuala Lumpur 1980)

Jozef Venglos (Czechoslovakia)

· Juara Pestabola Merdeka 1986

Trevor Hartley (England)

· Pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989

Ken Worden (England)

. Juara Pestabola Merdeka 1993

K. Rajagobal

. Juara Piala AFF 2010


TAN Cheng Hoe (tengah) bersama pemain-pemain negara memperagakan jersi baharu Harimau Malaya. - Kredit foto: FAM

14
6
0
16
0
You will be interested