Seni & Sukan 24 Jul, 2020

IG temukan FML! Payung Terjun feat Faizal Tahir perkenal FML

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

SEORANG berjualan kek, manakala seorang lagi berniaga kerepek, namun kedua-dua jejaka ini, Muhammad  Fahimi dan Muhammad Ikhmal mengenali antara satu sama lain hanya melalui Instagram waima masing-masing sering memuat naik lagu ‘cover’ penyanyi lain. Dan tidak disangka pula minat sama yang dimiliki akhirnya membuka pintu hati Faizal Tahir untuk mengikat mereka di bawah syarikat muziknya, Faithful Music, tahun lalu. - KitaReporters

Faizal Tahir bersama artis rakaman terbaharunya, Fahimi (kiri) dan Ikhmal.


Dan hari ini Jumaat, 24 Julai 2020 sebagai pengenalan, single sulung mereka berjudul ‘Payung Terjun’ feat Faizal Tahir edaran Universal Music dilancarkan sejak jam 12 tengah malam tadi di semua  plaform digital terpilih. 

Manakala, video muzik rasmi lagu berkenaan pula boleh ditonton dalam You Tube Faithful Music, sejak pukul 11 pagi tadi juga.

Ironinya, Muhammad Fahimi Rahmat, 23, dan Muhammad Ikhmal Mohd Hamka, 25, yang bergabung di bawah nama duo, 'FML', yang seakan sama seperti singkatan Faithful Music (FM) tetapi tanpa 'L', membawa tuah kepada kedua-dua anak muda ini.

Abjad FML adalah gabungan nama Fahimi dan Mal (Ikhmal).


“Kami kenal kerana masing masing suka buat ‘cover’ lagu artis lain selain bermain alat muzik seperti gitar.  

"Apabila melihat minat masing masing begitu ketara, kami bergabung membuat ‘cover’ bersama-sama di bawah nama 'FML'," cerita Fahimi.

“Tak sangka pula entri video yang dikongsi dalam Instagram menarik minat pihak Faithful Music untuk bernaung di bawah label mereka, ” tambah Fahimi mewakili teman duonya, Ikhmal.

Menurutnya lagi, walau pun masing-masing sibuk dengan jualan makanan, mereka tetap meluangkan masa melakukan susunan muzik sendiri secara suka-suka dengan harapan satu hari kelak mampu menjadikan bidang muzik sebagai profesion apatah lagi Mal memiliki suara yang unik.


Kini, siapa sangka perkenalan dua insan melalui Instagram kira-kira dua tahun lalu ini membuka pintu rezeki bagi kedua-duanya.

Lebih menarik, bagaikan mimpi menjadi realiti, mereka tidak sangka pula dapat bernaung di bawah artis kegemaran masing-masing sejak sekian lama, iaitu Faizal Tahir.

“Bukan nak bodek ke apa, tapi kalau dulu memang melihat Faizal Tahir dari jauh. Alhamdulillah sekarang dapat bekerjasama sekali.

“Memang mimpi jadi nyata. Dalam hidup ini, tiada yang mustahil. Kami juga percaya dengan bakat dimiliki serta bimbingan serta sokongan Faithful Music, FML boleh terbang tinggi. Insya-Allah, “ harapan Fahimi.

Ditanya mengenai lagu ’Payung Terjun’ yang boleh dikatakan memberi pelbagai terjemahan maksud apatah lagi dirakamkan sekitar Mei 2020 lalu ketika tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Dalam erti kata lain, ‘Payung Terjun’ ini memberi simbolik bahawa dalam setiap apa yang terjadi pasti ada jalan penyelesaian.

“Kalau dilihat dalam soal jodoh... kita selalu sebut kalau ada jodoh takkan ke mana. Begitu juga jika ada masalah dalam hidup, ada cara menanganinya. 

“Pendek kata rezeki akan sampai, masalah akan selesai dan jodoh juga akan tiba. Dalam lirik lagu ini juga ada menyebut ‘everything gonna be alright’... tak perlu risau. Insya-Allah,” jawab Fahmi.

Single sulung berentak R&B ini hasil ciptaan Faizal Tahir bersama Mike Chan, John Jeevasingham, Omar K, Ikhwan Fatanna dan Fahimi Rahmat sekali. - KitaReporters

8
0
0
0
0
You will be interested