Seni & Sukan 18 Jun, 2020

Masjid zon hijau dibuka! Jemaah ditambah! Korban di masjid!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

LEBIH banyak masjid akan dibuka untuk solat Jumaat dan solat fardu termasuk masjid di kawasan mukim di seluruh Selangor dalam zon hijau mulai esok Jumaat, 19 Jun 2020 sebagai usaha menambah bilangan jemaah mengimarahkan institusi agama itu secara berperingkat-peringkat. Namun bagi surau, peraturan kekal status quo!! : KitaReporters

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengumumkan pertambahan pembukaan masjid untuk solat Jumaat dan solat fardu di Selangor melalui kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Diraja Selangor pada Khamis, 18 Jun 2020. - Kredit foto: Pejabat Diraja Selangor


Surau-surau yang diberi kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk solat Jumaat sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) antara 18 Mac hingga 10 Jun 2020 masih tetap tidak dibuka kepada umum kecuali tiga pegawai surau yang dibenarkan.

Dalam pada itu, Selangor juga hanya membenarkan 39 buah masjid di negeri itu termasuk Masjid Negeri Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam yang telah diwartakan oleh pihak JAIS untuk aktiviti ibadah penyembelihan korban sempena Hari Raya Aidiladha pada Jumaat 31 Julai 2020.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Diraja Selangor pada Khamis, 18 Jun 2020, bertitah keputusan dicapai bagi pembukaan masjid-masjid di Selangor akan diteruskan secara berperingkat-peringkat hasil taklimat Pengarah, Jabatan Kesihatan Selangor, Dato' Indra Dr. Sha'ari Ngadiman mengenai kedudukan terkini data wabak COVID-19 di negeri itu yang memberangsangkan.

Kenyataan media Sultan Selangor mengenai pertambahan masjid di Selangor untuk solat Jumaat dan fardu yang dibuka secara berperingkat-peringkat mulai Jumaat 19 Jun 2020 yang dikeluarkan Pejabat Diraja Selangor pada Khamis. - Kredit foto: Pejabat Diraja Selangor.



"Solat Jumaat dan fardu berjemaah (subuh, maghrib dan isyak) yang dibenarkan di 39 buah masjid ditetapkan terdahulu akan ditambah dengan masjid-masjid di zon mukim seluruh negeri yang dikategorikan sebagai kawasan hijau oleh Jabatan Kesihatan Selangor," titah baginda.

Menurut baginda, jumlah kehadiran jemaah solat Jumaat di Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam ditambah dari 40 kepada 250 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

Manakala bagi 38 buah masjid yang dibenarkan sebelum ini jumlahnya ditambah dari 40 kepada 150 jemaah.

Masjid-masjid dalam zon mukim yang dikategorikan sebagai kawasan hijau dihadkan seramai 40 jemaah tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

Sultan Selangor bertitah, jumlah kehadiran jemaah bagi tiga waktu solat fardu di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah dihadkan seramai 250 orang.

Bagi 38 buah masjid dibenarkan sebelum ini seramai 150 jemaah, manakala masjid-masjid pada peringkat mukim seluruh negeri dalam zon hijau seramai 40 orang. 

Semua bilangan jemaah tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

Sultan Selangor mahu para jemaah yang terpilih solat Jumaat dan solat fardu di masjid dibenarkan oleh JAIS mematuhi SOP disyaratkan termasuk garis panduan yang ditetapkan MKN dan KKM. - Kredit foto: SelangorKini.


"Semua surau di Selangor termasuk surau yang ada kebenaran solat Jumaat oleh JAIS masih tidak dibenarkan dibuka kepada umum kecuali tiga pegawai surau yang dibenarkan melaksanakan solat fardu seperti ditetapkan terdahulu.  

"Segala pelaksanaan dan urusan pentadbiran berkaitan perkara berkenaan akan dikeluarkan oleh Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad dan jawatankuasa-jawatankuasa masjid berkenaan," titah baginda.

Dengan keputusan terbaharu ini, Sultan Selangor menitahkan setiap jemaah wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh JAIS khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup mulut dan hidung, serta mengamalkan penjarakan sosial ketika hadir ke masjid

Bagi yang tidak sihat dilarang melaksanakan solat di masjid. 

Pihak masjid dan para jemaah juga hendaklah mematuhi garis panduan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).  

Pengarah, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Dato' Indra Dr. Sha'ari Ngadiman (kiri). Gambar kanan Pengarah JAIS, Mohd.Shahzihan Ahmad. - Kredit foto: Jabatan Kesihatan Selangor dan  Jabatan Agama  Islam Selangor.


Sultan Selangor juga setelah berbincang dengan Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkaitan pelaksanaan ibadah penyembelihan korban sempena Hari Raya Aidiladha pada Jumaat 31 Julai 2020 dan telah memutuskan untuk membenarkan kegiatan itu dilakukan dalam kawasan masjid sahaja.

Masjid-masjid berkenaan termasuk Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dan 38 buah masjid yang dibenarkan sebelum ini melaksanakan solat Jumaat dan fardu berjemaah serta masjid-masjid di kawasan mukim di seluruh negeri yang dikategorikan sebagai zon hijau (tertakluk kepada kedudukan semasa mukim dikategorikan zon hijau). 

Ibadah penyembelihan korban tidak boleh dilakukan di surau-surau dan orang ramai digalakkan melakukannya dalam kawasan masjid dibenarkan.

Setiausaha Sulit Sultan, Dato' Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Selangor akan sentiasa mengikuti perkembangan dan pematuhan SOP JAIS, MKN dan KKM ketika solat berjemaah di masjid dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang pertimbangan selanjutnya bagi menentukan langkah pembukaan lebih banyak masjid dan surau di seluruh Negeri Selangor. - KitaReporters

Masjid Negeri Selangor,Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam yang dibenarkan solat Jumaat dan fardu oleh JAIS dengan jemaah seramai 250 orang. - Kredit foto: Google.

 

1
0
0
0
0
You will be interested