Seni & Sukan 13 Nov, 2021

Video| Gegar Vaganza 8! Shidee mahu dikenali generasi muda! Adibah Noor berangan jadi juara GV8!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


PLANTUN lagu, ‘Sayang Semuanya Sudah Terlambat’, Shidee, 62, ternyata masih rasakan belum terlambat untuk menerima tawaran sebagai salah seorang daripada 13 peserta Gegar Vaganza (GV) musim ke-8 (GV8).

GV8 bakal bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 21 November 2021 ini.

Selain Shidee, 12 pesaing lain membabitkan peserta tiga rumpun negara, Malaysia, Indonesia dan Singapura terdiri dari Adibah Noor,  Nikki Palikat, Aweera, Azan Scan, Datuk Fazley, Suki, kumpulan Nico, Bandi Amuk, Ani Maiyuni, duo pelawak Saiful Apek bersama Yassin Senario, termasuk Upiak Isil (Indonesia) dan Aliff Aziz mewakili Singapura.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Gegar Vaganza


Barisan artis yang akan gegarkan pentas GV8 bakal bersiaran mulai 21 November 2021 di saluran Astro
Menurut Shidee, penglibatannya dalam GV8 peluang keemasan baginya untuk kekal dalam industri dan seterusnya memperkenalkan diri kepada generasi muda yang mungkin belum mengenali dirinya

"Dalam pertandingan menang atau kalah soal kedua kerana 'rezeki  tidak salah alamat'. Saya juga sudah bersedia menerima kritikan daripada panel juri mahu pun netizen sekiranya persembahan kurang memuaskan, begitu juga dengan aspek vokal dan stamina.

"Setiap minggu saya akan pastikan akan berikan persembahan terbaik walau pun ada genre tertentu yang jarang dinyanyikan seperti ‘rap’," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran memperkenalkan barisan 13 peserta  “GV8” baru-baru ini. 

SHIDEE


Tambah pemilik nama penuh, Rashid Abdul Wahab ini  pentas GV antara platform beliau mencabar dirinya membuat persembahan yang mungkin tidak sepadan dengan usianya.

Ujarnya, mahu atau tidak beliau perlu ikut rentak anak-anak muda bagi mendapatkan peminat dalam kalangan generasi baharu dan mengharapkan tiada yang terkejut sekiranya dalam usianya kini masih bergoyang macam orang muda. 

"Apa-apa pun saya bersyukur kerana masih aktif dalam dunia nyanyian sehingga kini. Saya juga merancang hasilkan single terbaharu selepas selesai tugasan dalam GV8.

“Selama ini saya kata akan keluarkan lagu baharu sahaja tetapi kali ini saya berjanji akan jadikannya realiti sebaik sahaja program GV berakhir,”  akui Shidee yakin dengan perancangannya itu yang akan direalisasikan tahun 2022.


ADIBAH NOOR


Sementara itu, bagi penyanyi Adibah Noor, 51, yang terkenal dengan vokal mantapnya melalui lagu ‘Terlalu Istimewa’ sehingga dinobatkan penerima Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu 2006 melahirkan rasa gementar apabila sudah lama tidak bertanding di pentas besar.

“Terakhir sekali saya berada di pentas adalah ketika Anugerah Juara Lagu kira-kira 14 tahun lalu dan tentu sekali saya perlu hadir latihan vokal,” ujar Adibah yang bersyukur mendapat khidmat daripada guru vokal Siti Hajar Ismail yang bukan sahaja melatih dari segi vokal tetapi turut diserapkan elemen spiritual.

Selain itu katanya, bagi mengekalkan stamina beliau sudah cuba melakukan puasa intermiten selama 16 jam tetapi hanya mampu bertahan pada hari pertama.

“Berkali-kali nak mulakan diet tetapi selalu gagal. Tetapi saya perlu lakukannya juga kerana berat badan boleh menganggu persembahan. Lagu slow pun boleh mengah,” ujar Adibah diringi ketawa.

Bercerita lanjut, Adibah memberitahu, keputusannya menerima tawaran disebabkan permintaan daripada peminat yang mahukan beliau sertai GV.

 Adibah tetap letakkan angan-angan untuk menjadi juara dengan membayangkan dirinya berpegang tangan dengan Nikki Palikat, 36, yang dianggap mempunyai vokal mantap.

“Kita kena berangan-angan nak menang kan,” tambah Adibah sambil memberitahu jika menang beliau akan melancarkan  album baharu mengandungi 8 lagu duet.


Turut hadir pada sidang media GV8 bersama Hetty Koes Endang (secara maya), Ramli MS dan Syafinaz adalah Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad (kiri).


Konsert mingguan GV8 mengembalikan penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang ke Malaysia sebagai panel juri bersama Datuk Ramli MS dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat dengan Nabil Ahmad serta Jihan Muse masih diberi kepercayaan untuk mengendalikan pentas utama selaku ‘hos’ bersama.

Anda rasa siapa pula kali ini yang akan menjuarai Gegar Vaganza musim ke-8 dalam norma baharu di mana cuma 150 orang penonton sahaja dibenarkan menyaksikannya di PICC. - KitaReporters




10
12
0
12
0
You will be interested