Seni & Sukan 25 May, 2022

Kedah dah lemau! Aidil Shahrin kering idea! Perlu taktik baharu! Cari pengganti Baddrol, Syafiq!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Jurulatih, Aidil Shahrin dianggap sudah kekeringan idea dalam merencanakan strategi serta corak permainan Kedah Darul Aman FC. - Kredit foto: KDA FC


JURULATIH Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Shahrin Sahak perlu merencanakan idea baharu dalam corak permainan pasukan itu serta mencari seorang pemain tengah berwibawa bagi memastikan skuad Helang Merah kembali bangkit memberi saingan musim ini.

Bekas pemain kebangsaan, Faridzuan Che Hamid berpendapat, rentak serta strategi diterapkan jurulatih dari Singapura itu kini sudah dapat dibaca pihak lawan yang mudah menghalang setiap gerakan Kedah.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pasukan KDA FC


Pada masa sama, penghijrahan Baddrol Bakhtiar (gambar atas) ke Sabah menyebabkan jentera tengah pasukan berkenaan lumpuh kerana pemain yang mengisi tempat bekas kapten itu tidak mencapai tahap diperlukan.

“Aidil sudah tiga musim bersama Kedah, jadi pihak lawan cukup masak dengan taktikal yang digunakannya. Apa yang saya lihat, dari musim pertama hingga sekarang, corak permainan diterapkan beliau sama sahaja. Pihak lawan dah boleh baca. Aidil seolah-olah sudah kering idea.

“Untuk menukar jurulatih pada ketika ini adalah tidak sesuai, justeru saya harap Aidil dapat melakukan perubahan, tampil dengan idea-idea baharu, jika tidak nasib Kedah tidak akan berubah malah mungkin lebih buruk dari musim lalu,” kata Faridzuan.


Faridzuan Che Hamid antara penyerang hebat pasukan Kedah pada era 1990-an.


Bekas penyerang Kedah era 1990-an itu juga menyarankan agar Aidil menggunakan jendela perpindahan pada 28 Mei hingga 24 Jun, 2022 untuk memperkukuhkan pasukan terutama bagi memperkasakan bahagian tengah.

“Pemain import, Dechi Marcel, seorang pemain yang bagus. Dia rajin, bekerja keras dan kreatif tapi sayang, tidak mendapat gandingan yang dapat membantu menggerakkan jentera tengah.

“Kegagalan di bahagian tengah bukan sahaja menyebabkan jentera serangan menjadi tumpul malah memberi kesan kepada bahagian pertahanan sehingga kerap dibolosi. Sebagus manapun pertahanan, jika asyik diasak, akhirnya akan tumbang juga. 


Ketiadaan Baddrol Bakhtiar yang berhijrah ke Sabah FC menyebabkan bahagian tengah Kedah lumpuh. - Kredit foto: Sabah FC


“Ketiadaan Baddrol jelas memberi kesan kerana pemain seperti Syazwan Zainon, Amirul Hisham (Awang Kechik) dan Fadzrul Danel (Mohd Nizam) walaupun sudah beberapa musim mewakli pasukan itu tapi gagal mencapai tahap Bad.

“Sepatutnya, Aidil dah kenal pasti masalah ini dari awal dan segera mencari pengganti untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Baddrol. Saya harap, perkara ini akan dilakukan beliau pada jendela perpindahan kerana inilah keperluan yang paling kritikal untuk pasukan Kedah,” ujar Faridzuan.


Pemain import, Dechi Marcel tidak mendapat sokongan di bahagian tengah. - Kredit foto: KDA FC


Beliau juga menyatakan kebimbangannya dengan ketiadaan pemain kebangsaan, Syafiq Ahmad yang ditamatkan pinjaman dan akan kembali ke pangkuan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas rehat tugasan antarabangsa.

“Walaupun MB Kedah (Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) kata ia tidak akan memberi kesan tapi pada saya, ketiadaan Syafiq akan menimbulkan masalah baharu kepada bahagian serangan pasukan itu.

“Syafiq seorang penyerang yang bagus, begitu juga dengan penyerang import (Wanja Ronald Ngah) tapi seperti saya katakan, mereka tidak mendapat sokongan yang cukup dari bahagian tengah menyebabkan gagal memberikan yang terbaik.

“Oleh itu, selain bahagian tengah, pada jendela perpindahan nanti, Aidil juga perlu mencari seorang penyerang untuk mengisi tempat Syafiq. Untuk posisi lain seperti penjaga gol dan pertahanan, saya rasa tidak perlu rombakan besar-besaran kerana mereka menjalankan tugas dengan baik,” katanya.



Pasukan itu kini menduduki tangga ke-4 Liga Super selepas mengharungi sembilan perlawanan dengan empat kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan. 

Apa yang membimbangkan penyokong, mereka gagal memenangi empat perlawanan terakhir apabila dibelasah Sabah 4-0, tewas 2-3 kepada Melaka United, seri 3-3 dengan PJ City dan terikat 0-0 dengan Negeri Sembilan.

Kedah yang turut membawa cabaran Malaysia pada pertandingan Piala AFC 2022, akan memulakan kempen Kumpulan G, di Bali, Indonesia dengan menentang Bali United pada 24 Jun, 2022. Turut berada dalam kumpulan itu adalah Visakha FC (Kemboja) dan Kaya FC Iloilo (Filipina). - KitaReporters 


Ketiadaan Syafiq Ahmad yang kembali ke pangkuan JDT dijangka meninggalkan kesan kepada Kedah. - Kredit foto: KDA FC

16
9
0
16
1
You will be interested