Seni & Sukan 26 Apr, 2025

Gila Hindustan| Rekod dunia! Jagdish pegang watak pegawai polis dalam 144 filem! 50 tahun berlakon!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

Jagdish Raj memegang watak sama sebagai pegawai polis dalam 144 filem sepanjang 50 tahun mewarnai Bollywood. Tidak ada bintang filem lain yang dapat menandingi rekodnya.


DIA berlakon lebih 200 buah filem sepanjang karier 50 tahun dalam filem industri perfileman Bollywood. Daripada jumlah itu, dia memegang watak sama dalam 144 filem iaitu sebagai pegawai polis!

Inilah rekod istimewa dipegang oleh mendiang Jagdish Raj Khurana, dikenali sebagai Jagdish Raj, yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pelakon Bollywood lain.

Tidak ada aktor lain yang memegang watak sama dalam begitu banyak filem. Bagi Jagdish Raj, watak sebagai pegawai polis sebati dengan Jagdish. Peminat filem Hindustan tentu biasa melihat wajahnya pada layar perak atau TV. 

Mungkin nama Jagdish Raj tidak sehebat Dilip Kumar, Amitab Bachchan, Shashi Kapoor, Dev Anand, Jeetendra atau Dharmendra. Namun dia menempa nama dan menempatkan diri sebagai pelakon pembantu yang berperanan besar mewarnakan kancah filem Bollywood.

Banyak filem di mana dia berlakon mencapai kejayaan box-office. Walau pun Jagdish sendiri tidak bergelar bintang utama atau superstar, kejayaan banyak filem dibantu oleh lakonannya yang berkesan sebagai pegawai polis.


Jagdish Raj sebagai pegawai polis dalam 'Johnny Mera Naam' bersama Dev Anad (kiri) dan Ifthekar.


Jagdish Raj mula menceburi filem pada tahun 50-an dan aktif sehingga awal tahun 2000. Dalam tempoh tersebut dia diberi pelbagai peranan, baik sebagai penjahat atau hero kedua.

Namun ternyata kesesuaian dan keserasiannya ialah membawa peranan pegawai polis. Ini terserlah dengan penampilannya memegang watak tersebut dalam 144 filem, membuktikan ramai pengarah mengakui dia paling sesuai memegang watak tersebut.

Rekod ini meletakkan namanya dalam ‘Limca Book of Records’ kerana memegang peranan sama dalam banyak filem. Namanya juga tersenarai di dalam ‘Guinness Book of World Records’.

Dilahirkan di Sargodha, Punjab, Pakistan pada 1928, Jagdish Raj menceburi filem pada 1955 dengan membintangi filem ‘Seema’ di mana dia diberi peranan kecil sebagai doktor. Tahun berikutnya, untuk pertama kali, dia memegang watak pegawai polis dalam filem ‘CID’.

Kejayaan filem tersebut melonjakkan nama Jagdish Raj. Berikutan itu dia menerima banyak tawaran berlakon sebagai pegawai polis. Antaranya termasuk filem hit seperti ‘Madhumati’, ‘Kala Bazaar’, ‘Waqt’, ‘Bhoot Bungla’, ‘Johnny Mera Naam’ dan ‘Bobby’.

Sepanjang 15 tahun sejak karier bermula, Jagdish Raj memegang peranan sebagai pegawai polis. 


Jagdish Raj membawa watak jahat Jaggi dalam filem 'Deewar'.


Jagdish Raj membawa watak pegawai polis bersama aktor Raaj Kumar dalam filem '36 Ghante' keluaran tahun 1974.


Pada tahun 70-an, dia cuba membawa peranan lain, misalnya penjahat dalam ‘Deewar’ (sebagai Jaggi) dan ‘Zameer’ (sebagai Sher Singh). 

Tetapi terbukti watak berkenaan kurang menyengat. Watak lain tidak dapat menandingi penampilan dirinya yang dikenali sebagai pegawai polis pada layar perak.

Oleh itu dia kembali membawa watak yang sinonim dengan dirinya, termasuk dalam beberapa filem box-office seperti ‘Trishul’, ‘Don’, ‘Kaala Patthar’ dan ‘Shakti’.

Walaupun namanya tidak sehebat bintang utama, peminat mengenali dan memuji lakonannya. Kejayaan banyak filem box-office membuktikan lakonan Jagdish Raj penting dalam menghidupkan jalan cerita.

Dia terus memegang peranan pegawai polis sepanjang tahun 80-an hingga 90-an. Pada era tersebut, dia ‘dinaikkan’ pangkat dalam filem. Jika sebelumnya hanya berpangkat Inspektor, dia menjadi Timbalan Penguasa Polis (DSP) atau Timbalan Ketua Polis (DIG).


Dalam kebanyakan filem, Jagdish Rai membawa watak pegawai polis berpangkat Inspektor (kanan). Menjelang era 80-an dan 90-an, dia 'naik pangkat' sebagai Timbalan Penguasa Polis.


Peranan terakhir Jagdish Raj sebagai pegawai kanan polis ialah dalam filem ‘Kasam’, keluaran tahun 2001. Selepas itu Jagdish Raj bersara terus daripada filem.

Jagdish Raj meninggal dunia pada 2013 dalam usia 84 tahun. Untuk rekod anaknya, Anita Raj, adalah salah seorang pelakon popular Bollywood.

Pemergian Jagdish bermakna hilangnya seorang pegawai polis paling kerap muncul dalam filem. 

Walaupun peranannya tidak sebesar hero, peminat tetap mengingatinya kerana peranan dalam filem, walau sekecil mana pun, menyumbang kepada kejayaan sesebuah filem. - KitaReporters


Anita Raj, anak Jagdish Raj ialah antara bintang popular Bollywood.

   

13
11
0
16
0
You will be interested