Seni & Sukan 13 Jun, 2025

Video| FAM sila jalan terus! Pedulikan cemuhan! Cari lagi pemain warisan! Asal dapat ke Piala Dunia!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

.


TUNKU Ismail memberikan kata-kata semangat kepada pemain sebelum perlawanan menentang Vietnam. 


KEJAYAAN Malaysia mengalahkan Vietnam 4-0 pada perlawanan bola sepak kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 10 Jun 2025 lalu, diraikan oleh para penyokong bagaikan kita sudah menempah tiket ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Arab Saudi, dua tahun lagi.

Hakikatnya, masih ada empat perlawanan secara timbal balik perlu diharungi skuad kendalian Peter Cklamovski.

Tapi, keterujaan penyokong tidak harus disalahkan kerana ia sangat mudah difahami.

Selama satu dekad Malaysia dibayangi kehebatan Vietnam yang mana dalam tempoh berkenaan Harimau Malaya tidak pernah mengalahkan skuad bergelar Pahlawan Bintang Emas itu.

Justeru, kemenangan pada 10 Jun 2025 itu apatah lagi dengan jaringan besar (4-0) memberi kepuasan tersendiri kepada penyokong setia skuad negara, Ekor Harimau Malaya.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menzahirkan junjung kasih atas usaha Tunku Mahkota Ismail merevolusikan pasukan kebangsaan. - Kredit foto: FAM


Ternyata, dengan kemenangan itu, revolusi yang dicetuskan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga dikenali sebagai TMJ (Tengku Mahkota Johor) ke atas Harimau Malaya mula menampakkan hasil positif.

Kehadiran pemain warisan (ada yang nakal melabel mereka sebagai Harimau Jadian) jelas membawa dimensi baharu kepada skuad kebangsaan. Kemenangan ke atas Vietnam adalah bukti yang tidak boleh dinafikan atau dipertikai.

Walaupun sebelum ini ada suara yang mengkritik serta mencemuh langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ‘mengimport’ tenaga pemain warisan untuk memantapkan Harimau Malaya namun hakikatnya, tanpa mempedulikan kritikan, FAM sedang berada pada landasan yang tepat.


FARIDZUAN CHE HAMID


Bagi bekas penyerang kebangsaan dan Kedah, Faridzuan Che Hamid, perubahan ketara dalam atur gerak Harimau Malaya semasa menentang Vietnam membuktikan apa yang dilakukan oleh FAM dengan diarkitekkan oleh Tunku Ismail adalah bertepatan dengan visi mereka.  

“Kita ketepikan sentimen pihak yang tidak bersetuju dengan langkah FAM itu. Itu hak masing-masing. Saya pun ada pendirian sendiri mengenai isu ini.

“Tapi, jika anda tanya pendapat saya mengenai perlawanan menentang Vietnam, saya boleh katakan nampak peningkatan ketara pada pasukan kita.

“Vietnam bukan calang-calang pasukan, sekurang-kurangnya pada peringkat Asia Tenggara. Sebelum ini jurang kita dengan mereka agak luas. Rekod menunjukkan sudah lebih 10 tahun kita tidak dapat mengalahkan mereka.

“Tapi, pada perlawanan Selasa lalu (10 Jun 2025), tiba-tiba kita mampu mengalahkan mereka 4-0. Ia membuktikan apa yang dirancang oleh TMJ bersama FAM itu mula menampakkan hasil. Kehadiran pemain warisan ternyata bawa perubahan,” kata Faridzuan.


PEMAIN dan penyokong meraikan kejayaan Malaysia mengalahkan Vietnam 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM


Atas kemenangan itu, Malaysia kini menerajui Kumpulan F dengan enam mata selepas turut menang ke atas Nepal (2-0) pada perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac 2025 lalu.

Begitupun Faridzuan mengingatkan penyokong agar tidak terlalu obses dengan kemenangan ke atas Vietnam itu kerana perjalanan Malaysia menuju ke Arab Saudi masih jauh dan berliku.

Vietnam yang tidak berpuas hati dengan kekalahan itu sudah pasti akan lebih bersedia untuk berdepan Malaysia pada perlawanan di gelanggang mereka pada 31 Mac, 2026.

Sebelum itu, Harimau Malaya dijangka turut berdepan cabaran sengit daripada pasukan Laos yang akan menjadi tuan rumah pada 9 Oktober 2025 sebelum bertandang ke Bukit Jalil, lima hari selepas itu.

Nepal yang kalah 0-2 di Johor Bahru, akan melayan kedatangan Malaysia di Kathmandu pada 18 November 2025. Mereka juga tidak boleh dipandang enteng.


MALAYSIA terajui Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027.


Apatah lagi, menurut Faridzuan, walaupun menang besar ke atas Vietnam, persembahan Harimau Malaya belum sempurna dan masih perlu dipertingkat.

“Jika kita mahu pergi lebih jauh, saya melihat semua bahagian perlu diperkemas serta dipertingkat dengan bahagian tengah perlu menjadi keutamaan.

“Saya yakin, untuk kita layak ke pusingan akhir bukan sesuatu yang mustahil tapi (jika layak) untuk bersaing pada peringkat Asia dengan pasukan seperti Jepun, Korea, dan Arab Saudi, kita perlu memantapkan lagi pasukan.

“Apatah lagi jika kita bercita-cita hendak layak ke Piala Dunia, skuad yang ada belum mampu melakukannya,” katanya.


MALAYSIA kini diperkukuhkan oleh tujuh pemain warisan.


Justeru, Faridzuan mencadangkan agar FAM terus mencari serta menambah pemain warisan dalam skuad kebangsaan kerana sudah nampak kesannya dengan kehadiran pemain seperti Hector Hevel, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal, Imanol Machuca, Facundo Garces dan Gabriel Palmero.

“Memandangkan FAM sudah memulakan projek ini, elok mereka teruskan. Cari lagi seramai mungkin pemain warisan untuk mewakili Malaysia. Sekurang-kurangnya kita perlukan empat orang lagi pemain warisan untuk memantapkan semua posisi.

“Tapi, kalau kita boleh dapat lebih ramai, ia lebih bagus. Mungkin suatu hari nanti, kita dapat lihat 11 pemain warisan membarisi Harimau Malaya di atas padang.

“Jika kita benar-benar serius mahu layak ke Piala Dunia, itulah yang perlu FAM lakukan walau apa pun orang kata. Sebagai bekas pemain, saya pun nak tengok Malaysia bermain di Piala Dunia walaupun yang beraksi kelak semuanya pemain warisan,” ujar Faridzuan. - KitaReporters


15
13
0
16
0
You will be interested