Seni & Sukan 11 May, 2025

Selera Afrika pilihan Peter! Jerung Biru asah kuku Harimau Malaya! Siaga berjumpa Vietnam dan Laos!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this


MEREKA memiliki Logan Costa, bek tengah Villareal CF – sebuah kelab La Liga Sepanyol yang nilai pasarannya pula sehingga 15 juta pound sterling (RM85.60 juta).

Inilah Cape Verde yang kali pertama akan menjejak bumi Malaysia sekali gus sebagai ‘pengasah taring dan kuku’ terbaharu Harimau Malaya pada 29 Mei dan 3 Jun 2025.

Tubaroes Azuis (julukannya) atau Si Jerung Biru juga pernah layak empat kali ke Piala Negara-negara Afrika (Afcon) dengan pencapaian terbaiknya ialah suku akhir 2023 selain mendiami ranking ke-72 dunia.  

Perlawanan pertama Malaysia-Cape Verde bertaraf antarabangsa tahap 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, manakala yang kedua, hanya diadakan secara tertutup dan bersifat latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Siaran media FAM menyebut, Cape Verde, pasukan negara ahli gabungan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) akan menentang Malaysia yang di ranking ke-131 dunia.



Vietnam pula yang membelasah Laos 5-0 di Stadium Binh Duong pada 25 Mac 2025 lalu, menduduki ranking ke-109 dunia.

Inilah perlawanan kedua skuad negara sejak dikendalikan oleh Cklamovski, warga Australia pada 25 Mac 2025 yang membuka langkah kanan kelayakan dengan menumpaskan Nepal 2-0 di Stadium Iskandar Puteri, Johor. 

Sudah lama pasukan kebangsaan tidak menentang lawan dari Afrika dengan kali akhir melakukannya ialah pada 11 September 2009 dengan membelasah Lesotho 5-0.

Ketika itu tuan rumah yang dikemudi oleh Datuk K. Rajagobal di ranking ke-152 dunia berbanding pelawat, ke-160. 

Manaf Mamat menjaringkan dua gol persahabatan antarabangsa di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu manakala masing-masing satu oleh Zaquan Adha Radzak, Norshahrul Idlan Talaha dan Amirulhadi Zainal.  


LOGAN Costa, bek tengah Cape Verde dan Villareal CF ketika beraksi dalam Afcon 2023. - Kredit foto: sofoot


“Menentang Cape Verde merupakan kem latihan yang genting kami rancangkan sebelum berdepan Vietnam.

“Ini juga berkaitan membina permainan dengan matlamat sebenar dan menguji diri kami dengan lawan yang kuat kerana mereka punya pemain yang beraksi pada tahap tertinggi Eropah.

“Justeru lawan bakal mencabar dan membantu mematangkan kami sebagai sebuah pasukan,” kata ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski, dipetik daripada laman sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 9 Mei 2025.

Harimau Malaya akan mengharungi perlawanan Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil tanggal 10 Jun 2025.


HARIMAU Malaya dalam penampilan sulung bersama Peter Cklamovski di Iskandar Puteri menentang Nepal. - Kredit foto: MNT 


Malaysia seterusnya akan menghadapi Laos pada 9 Oktober 2025 di tempat lawan yang berkemungkinan Vientiane. 

Hanya juara setiap kumpulan kelayakan ini, bakal menempah tiket pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Tiket-tiket bagi menyaksikan pertembungan Harimau Malaya-Cape Verde dan Harimau Malaya-Vietnam ini akan dijual secara dalam talian, www.tickethotline.com.my bermula 12 Mei 2025 pukul 10 pagi. - KitaReporters


PETER CKLAMOVSKI


KAPTEN Harimau Malaya, Matthew Davies (kiri) ketika beraksi menang 2-0 terhadap Nepal di Iskandar Puteri pada 25 Mac 2025. - Kredit foto: MNT

13
16
0
14
0
You will be interested