

Beg galas menjadi pengganti panji atau pendant.
SIMBOLIK beg galas menjadi langkah kanan kepada Universiti Malaya-Damansara United (UMD United) dalam saingan bola sepak tempatan, Liga A1 Semi Pro musim baharu 2025/2026.
Pasukan bimbingan Ridzuan Abu Shah itu bermula positif apabila meraih tiga mata berharga dalam aksi pertama menentang Perak FA di laman lawan.
Dalam saingan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di Seri manjung pada Ahad (4 Ogos 2025) itu menyaksikan Shafizi Iqmal muncul wira apabila meledak gol tunggal pada minit ke-73, sekali gus mengecewakan Perak FA untuk bermula dengan positif.
Kemenangan tersebut bukan sekadar permulaan yang baik, namun ada kisah menarik di sebalik penampilan bertenaga pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang berkenaan.

Shafizi Iqmal (tengah) meraikan kejayaan menjaringkan gol kemenangan UMD United menentang Perak FA di Manjung pada 3 Ogos 2025.
Menjadi amalan sebelum sepak mula, kapten saling bertukar panji sebagai tanda mata dan kenangan buat kedua-dua pasukan.
Bagaimanapun kelainan dilakukan oleh kapten UMD United, Hariz Mansor apabila 'menghadiahkan' beg galas UM sebagai panji untuk ditukar dengan ketua pasukan Perak, Kamal Arif.
Kelainan tersebut mencuri perhatian warganet yang menyifatkannya sebagai idea luar kotak yang belum pernah dilakukan mana-mana pasukan sebelum ini.
Malah ada dalam kalangan pengguna laman sosial mengusik UMD United supaya setiap pemain pasukan lawan diberikan beg galas tersebut.
"Nak bagi beg biarlah cukup semua team Perak supaya boleh beri kepada anak-anak, kalau satu dapat kat penguruslah" catat Hijaz Ikmal Mohd menerusi komen dalam laman Facebook Astro Arena.
Tidak kurang juga pelayar yang mencetuskan idea komersial dan penajaan menerusi pembaharuan yang dibuat oleh UMD United tersebut.
"Bagus simbolik dia pakai beg. Nanti jenama-jenama beg boleh beri tajaan pasukan ini. Sudah pasti dapat 'exposure' paling banyak," catat Nasir Iddin.
Seorang lagi pelayar laman sosial, Mohd Haniff Razak pula melihat ia sebagai idea luar biasa daripada aspek pendidikan.
"Inisiatif yang baik, boleh promosi atlet masuk universiti," katanya.

Di sebalik reaksi mencuit hati dalam kalangan warganet, pengurus pasukan, Afizal Abu Othman menyifatkan beg itu sebagai simbolik dan saguhati untuk pasukan lawan.
Katanya, ia juga melambangkan sebuah pertalian antara sukan iaitu bola sepak dan pendidikan adalah selari.
"Kita bagi satu sahaja untuk kenangan buat pasukan. Kalau berminat nak beg ada logo UM kena sambung belajar di UM.
"Buat masa ini kita tidak jual, edisi terhad, hanya untuk warga UM. Jadi siapa yang dapat, ia adalah istimewa daripada UM," katanya.
Penulis melihat simbolik beg itu tidak seharusnya terhenti di padang, sebaliknya mempunyai nilai komersial yang mampu menjana dana buat pasukan.
Kolaborasi dengan sektor swasta dan korporat menerusi penajaan cenderamata buat UMD United mampu menambah kantung kelab dengan warga UM dan alumni sebagai pelanggan awal.
Universiti terulung negara itu difahamkan mempunyai lebih 30,000 pelajar dan dengan tawaran pas bermusim meliputi pakej tiket menonton di UM Arena, beg, jersi serta mug mungkin boleh dianggarkan bernilai RM100 sebanyak RM3 juta boleh dikutip.
Andai bukan semua pelajar membeli pas berkenaan, 10 peratus sudah memadai sebagai permulaan dengan RM300,000 mampu diraih.
Warga kerja meliputi pengurusan tertinggi, pensyarah dan kakitangan sokongan pula mungkin boleh dianggarkan seramai 4,000 orang.
Namun pakej lain ditawarkan dengan jumlah barangan ditambah seperti mafla serta tuala mandi dan nilai dinaikkan kepada RM300 sebanyak RM1.2 juta berada dalam tangan.

Beralih kepada Alumni yang mungkin mencecah 200,000 ahli dengan tawaran istimewa menerusi penambahan cenderamata termasuk sepasang jaket dan kasut pakej dinaikkan lagi kepada RM500 sebanyak RM100 juta boleh dikutip.
Mungkin terkejut dengan jumlah tersebut, namun 10 peratus atau 20,000 alumni membeli pakej berkenaan sebanyak RM10 juta mampu dijana dan angka itu sudah bagus buat sebuah pasukan universiti.
Situasi menang-menang buat UMD United, warga UM, pelajar dan Alumni serta penaja apabila jenama mereka tular, manakala pelanggan - alah membeli, menang memakai.
Sebagai rekod, skuad UMD United terbentuk hasil gabungan antara Universiti Malaya FC (UMFC) serta Damansara FC dan bakal bersaing dalam kempen Liga A1 dan Piala FA musim ini.
Pasukan ini terdiri daripada 13 orang pelajar universiti, termasuk enam pemain dari Malaysian University dan tujuh dari UM selain baki selebihnya adalah pemain berstatus profesional dan semi-pro. - KitaReporters