Seni & Sukan 12 Oct, 2025

Bicara Seni| Black, Eddie tak profesional? Boleh terbang tinggi dan jauh selepas habis konsert Wings!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Pepecahan atau pengunduran anggota dalam sesebuah kumpulan muzik adalah perkara biasa di seluruh dunia.  Populariti tidak seimbang seperti penyanyi lebih menonjol, pembahagian pendapatan tidak seimbang, dan percanggahan pendapat adalah antara penyebab berlakunya pepecahan.


Pihak pengurusan sudah merancang konsert Wings 40 Tahun: 4 Dekad Terbang Tinggi yang bakal diadakan pada 28 November 2025 di Kuala Lumpur dan di Singapura pada 24 Disember 2025. 

Ia merupakan penghargaan terhadap perjalanan seni band rock ikonik itu sejak 1985.

Bagaimanapun dua konsert itu terjejas akibat tindakan mengejut dua anggota iaitu pemain drum, Black dan pemain gitar bes, Eddie. 

Konsert itu tetap boleh diadakan dengan mencari penganti sementara pemain drum dan pemain gitar bes. Tetapi peminat tetap mahu melihat aksi anggota lama dan penjualan tiket sedang laris.





Masalah dalaman menjadi punca Black (Azmi Hashim), 59, dan Eddie (Samsaidi Ulong Idris), 58, membuat kenyataan bersama keluar daripada Wings pada 8 Oktober 2025 ketika tiket untuk konsert itu mendapat sambutan. 

Ramai yang mengetahui masalah perpaduan dalam Wings sejak lama dahulu. Namun peminat Wings berharap kedua-dua anggota itu tidak memperpanjang punca tidak puas hati itu. 

Black dan Eddie perlu bertindak secara profesional. Pendam ketidakpuasan sehingga siri konsert berakhir dan buat pengumuman ketika konsert terakhir berakhir.

Ia akan mencipta sensasi bagi konsert terakhir Wings dan menjadi kenangan abadi bagi Wings khususnya Black dan Eddie.


Penyanyi Wings, Datuk Awie (Ahmad Azhar Othman), 56, sendiri pernah meninggalkan kumpulan itu dan bergerak secara solo pada tahun 1994 iaitu selepas Wings melancarkan album ‘Bazooka’.

Ia membuat tempat vokalis diambil alih oleh Mel dan Mus May. 

Pemain gitar utama, Joe (Abdul Zamin Abdul Kadir) meninggalkan Wings pada 2017 setelah 28 tahun bersama Wings dan menubuhkan kumpulan baru dan yang terkini dikenali sebagai Branko. 

Black jua pernah meninggalkan Wings selepas pelancaran album ‘Teori Domino’ pada tahun 1990 diganti Jojet (Kumpulan Gersang) dan kembali lima tahun kemudian ketika rakaman album ‘Orang Asing’.  

Eddie sahaja yang belum pernah keluar sebelum ini sejak menyertai Wings pada 1985. 



Anggota yang paling lama menyertai Wings ialah Awie sejak nama asalnya  ‘Teruna Sekampung’ sejak penubuhannya pada 1985.

Teruna Sekampung ditukar kepada Wings agar lebih komersial apabila diterima oleh syarikat rakaman ASP menjadi artis rakaman.  

Album Wings yang diterbitkan M Nasir mendapat sambutan dan menjadi antara kumpulan rock tempatan yang paling menonjol. 

Dari 1985 hingga 2014 iaitu dari ‘Belenggu Irama’ ke ‘Menakluk Kosmo’, Wings telah menghasilkan 11 album studio. Sementara mempunyai 18 album kompilasi. 

Wings juga menghasilkan dua album duet (bersama Search) iaitu ‘Double Trouble’ (1992) dan ‘Double Trouble 2’ (1998).


Black (dua dari kiri) dan Eddie (paling kanan) meninggalkan kumpulan Wings, meninggalkan Edrie, Awie dan Syam.


Setelah memenangi sejumlah anugerah, Wings perlu mengakhiri kemunculan mereka secara bermaruah.

Jika Black dan Eddie tetap meninggalkan Wings, anggota lain tetap ingin terus berkarya, mereka boleh menggunakan nama baru agar tidak timbul rebutan nama seperti contohnya ‘Sayap Wings’, ‘Wings 2’ atau ‘2 Wings’. 

Kini Wings tinggal Awie selaku penyanyi, Syam (gitar utama) dan Edrie (gitar irama). Syam adalah bekas anggota asal ketika nama asal Wings adalah Teruna Sekampung.

Tidak mustahil Black dan Eddie akan menubuh kumpulan baharu dan siapakah vokalisnya dan anggota lain bagi  melengkapkan kumpulan baharu itu. - KitaReporters

12
12
0
13
0
You will be interested