Jaguh karate negara, C. Shahmalarani berharap tuah di bumi sendiri untuk memburu pingat emas ketiga selepas kejayaan di Jakarta dan Cyprus beberapa tahun lalu apabila turun pada Kejohanan WKF Karate 1 (K1) – Series A Kuala Lumpur 2025 pada 3 - 5 Oktober 2025 ini.

"Saya sudah dikenali dalam kalangan pemenang pingat dunia, jadi ramai lawan sudah tahu corak permainan saya. Bukan mudah untuk mengekalkannya, tetapi saya akan terus berusaha dan berharap hasil terbaik," katanya.

Kejohanan tiga hari itu dianjurkan bersama Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dengan Persekutuan Karate Dunia (WKF) menerusi penyertaan 1,080 atlet elit dari 81 negara dalam kategori Kumite dan Kata.
Selain Shahmalarani, Malaysia akan mempertaruh 29 lagi atlet dalam kalangan pemenang podium dan atlet pembangunan akademi untuk menggalas cabaran negara pada kejohanan berprestij tersebut.
Skuad negara dibimbing oleh bekas atlet karate berpengalaman, R Shamendran.Kali pertama Shahmalarani memenangi emas dalam acara sama ialah pada edisi di Jakarta, Indonesia November 2022 selepas menewaskan atlet tuan rumah, Annisa Nur Anggraini pada perlawanan akhir dengan keputusan 5-2.
Ia kemudian disusuli dengan kejayaan muncul juara selepas menewaskan Eva Rodriguez dari Sepanyol 9-5 dalam aksi final K1 - Series A di Larnaca, Cyprus pada Februari 2024.
Jadi bagi mengulangi kejayaan tersebut, atlet kelahiran Ipoh, Perak itu giat melakukan persiapan dengan rapi secara intensif."Saya giat melakukan segala persiapan yang perlu dalam latihan -- sama ada dengan menganalisis lawan, memperbaiki taktikal, mengkaji perlawanan mahupun melakukan simulasi semasa sesi latihan," ujar Shahmalarani.

Bagi memeriahkan kejohanan Shahmalarani menagih sokongan padu peminat untuk membakar semangat atlet negara.
"Kepada seluruh rakyat Malaysia, kami berharap dapat bertemu anda pada 3 hingga 5 Oktober ini untuk sama-sama mencipta sejarah. Datanglah memberikan sokongan kepada pasukan karate Malaysia."Sokongan moral anda amat bermakna dan menjadi pembakar semangat buat kami.
"Ini merupakan buat julung kalinya kejohanan ini dianjurkan di Malaysia, jadi mari kita meriahkannya dan buktikan semangat Malaysia yang sebenar," katanya.
Siri Kuala Lumpur merupakan pusingan keempat dan terakhir dalam WKF K1 - Series A bagi 2025, selepas Tbilisi (Georgia) pada Januari, Larnaca (Cyprus) pada Februari dan Salzburg (Austria) pada September.
WKF K1 Series A merupakan kejohanan tahap kedua dalam struktur liga WKF, yang terdiri daripada siri kejohanan antarabangsa bertaraf tinggi yang diadakan di seluruh dunia.
Ia bertujuan meningkatkan jumlah acara tahunan WKF serta memberi peluang tambahan kepada atlet untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam Ranking Dunia WKF.
Tahap tertinggi dalam struktur liga WKF ialah Karate1 - Premier League yang merupakan liga karate paling berprestij sejak ditubuhkan pada tahun 2011.
Ia menghimpunkan atlet terbaik dunia dalam kejohanan terbuka yang berskala besar dan berkualiti tinggi. - KitaReporters
