Seni & Sukan 19 Aug, 2025

Bicara Seni| Video| Mat Bond disantuni! Terima bantuan sara hidup! Bila nak terima gelaran Datuk?

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this



Antara insan seni berbakat besar dan memberi sumbangan besar kepada industri negara yang sudah lanjut usia dan semakin dilupakan ialah Abd Rasip Yahaya. 

Bila disebut nama itu mungkin ramai yang bertanya-tanya siapakah gerangan insan seni itu.

Tetapi apabila disebut nama glamornya Mat Sentol, pasti ramai mereka yang sudah masuk kategori warga emas mengenali nama itu.

Mat Sentol ketika masih sihat


Dan mungkin ramai pernah menonton filem-filem lakonan dan arahannya dan tak kering gusi apabila menontonnya. 

Bermula sebagai pelakon pembantu atau tepatnya sebagai penari istana dalam filem ‘Hang Tuah’ keluaran Malay Film Production (MFP), Singapura pada 1955, Mat Sentol mula mencipta nama apabila berpindah ke syarikat filem Cathay Keris Film, Singapura.

Dengan filem terakhir lakonannya iaitu ‘Jibon’ pada 1997,  Mat Sentol sudah muncul dalam 34 filem dan mengarah 15 filem.

Mat Sentol lebih diingati dengan karaktor lucunya dalam filem-filem menggunakan nama ‘Mat’ iaitu ‘Mat Tiga Suku’, ‘Mat Bond’, ‘Mat Raja Kapor’, ‘Mat Lanun’, ‘Mat Toyol’, ‘Mat Karong Guni’, ‘Mat Magic’, ‘Mat Drakula’, ‘Mat Tenggek’, dan ‘Mat Spy’.


Nama Mat Sentol diambil sempena lakonan keduanya dalam filem ‘Sumpah Pontianak’ pada 1958 di mana dia membawa watak Sentol.

Selepas tidak lagi aktif berlakon, dia menguruskan syarikatnya, Maju Film yang terbabit dalam pembikinan filem iklan. 

Antara yang diingati ramai ialah iklan produk untuk kanak-kanak di TV seperti  ‘Dingdang’,‘Tora’ ‘Jojo’ dan  ‘Apollo’ di mana Mat Sentol menggunakan suaranya sebagai suara latar.


Antara iklan produk kanak-kanak dihasil Mat  Sentol

Mat Sentol yang mempunyai kebolehan melukis juga berkebolehan membuat kesan khas dalam filem. Dan ia dapat dilihat dalam sejumlah senarai filem bermula dengan nama ‘Mat’nya.

Setelah tidak aktif dalam kegiatan seni, Mat Sentol banyak menghabiskan masa di rumah di Jalan Rajawali, Larkin Jaya, Johor Bahru dan menjadikan aktiviti berjalan menjadi rutinnya bagi menjaga kesihatan.



Bagaimanapun kesihatan Mat Sentol mula merosot sejak kematian isterinya Jamilah Kasri, 71. pada Disember 2020.

Mat Sentol mempunyai 5 anak namun empat sudah punya keluarga dan tinggal berasingan. Mat Sentol kini tinggl berdua di rumahnya bersama anak lelakinya yang masih bujang, Rosli Rashid, 64, selepas dia dimasukkan ke hospital akibat disyaki dijangkiti Covid-19 tahap 3 pada 2020.

Rosli yang tidak bekerja kini menguruskan ayahnya dari segi memandi dan menyediakan makanan berkhasiat seperti susu khas, buah-buahan, ubat-ubatan  dan menyediakan lampin pakai buang.

Rosli menjaga ayahnya Mat Sentol sepenuh masa


Kos menyediakan makanan berkhasiat termasuk susu khas, ubat-ubatan dan lampin pakai buang menelan belanja lebih RM2,000 sebulan. 

Mat Sentol walaupun banyak menghabiskan masa atas katil, namun pemikirannya masih baik dan tetap bangun dan duduk jika ada tetamu datang menziarah. Dan Mat Sentol akan berlawak dan sedikit menyanyi jika ada tetamu.

Pada 28 April 2025, Pengerusi Yayasan Kebajikan  Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave melawat Mat Sentol dan memberi sedikit sumbangan.

DJ Dave ketika mengunjungi Mat Sentol. Di tengah ialah anaknya Rosli

Namun kunjungan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor (JKMNJ), Khairin-Nisa Ismail pada Selasa, 12 Ogos 2025 memberi sinar baru kepada Mat Sentol dan anaknya.
Dalam kunjungan itu, Khairin Nisa bersama rombongan turut menyatakan keprihatin Kerajaan negeri terhadap kehidupan Mat Sentol dan anakya, Rosli.

Menurut Khairin Nisa, Kerajaan negeri Johor akan membantu keperluan hidup dan rawatan Mat Sentol. Juga akan membaiki pulih rumah yang didudukinya dengan bantuan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Selain itu, Khairin Nisa juga akan mengusahakan mendapatkan bantuan lampin pakai buang mengikut jenama dan jenis tertentu yang perlu digunakan, memandangkan harganya agak tinggi.

Kerajaan negeri juga memberi bantuan kewangan kepada Rosli di bawah skim Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar (BPT) sebanyak RM500 sebulan.




Ketika hayat masih ada Mat Sentol layak untuk diberi anugerah bermakna dan dihormati. Misalnya diberi ‘Anugerah Khas Sepanjang Zaman’ dalam Festival Filem Malaysia ke-34 nanti.

Dan berdasarkan sumbangan besarnya kepada alam seni negara, Mat Sentol juga layak diberi anugerah ‘Datuk’ daripada mana-mana negeri atau peringkat Persekutuan.

Mungkin pemberian anugerah ‘Datuk’ boleh dibincang oleh Exco Kerajaan Negeri Johor untuk dipanjangkan kepada pihak atasan. - KitaReporters

Mat Sentol terharu dan gembira menerima kunjungan Khairin-Nisa Ismail dan rombongan. - Kredit foto: FB Khairin-Nisa Ismail

12
11
0
16
0
You will be interested