Seni & Sukan 06 Sep, 2025

Jangan suka sangat! Menang lawan Singapura! Palestin menanti! Peluang analisis kekuatan, kelemahan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

KEMENANGAN tipis 2-1 ke atas Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Khamis, 4 September 2025 mengekalkan momentum positif skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski.
Namun apa yang menanti di hadapan jauh lebih mencabar. Palestin, lawan seterusnya, berada pada ranking ke-98 dunia dan pernah menjadi mimpi ngeri buat Malaysia dengan kemenangan besar 6-0 lebih sedekad lalu.

Stuart Wilkin (kanan) meledak gol pembukaan buat skuad Harimau Malaya.

Biarpun keputusan berpihak kepada Malaysia, namun perlawanan itu turut membuka ruang untuk analisis yang lebih mendalam terhadap kekuatan dan kelemahan pasukan.

Cklamovski jelas berpuas hati dengan semangat juang pemainnya, tetapi beliau juga mengingatkan bahawa masih banyak aspek perlu diperbaiki sebelum bertemu Palestin pada Isnin, 8 September ini.
Pertemuan menentang Singapura sememangnya sarat dengan sentimen derbi (persaingan) Tambak, namun kali ini ia lebih kepada medan ujian sistem taktikal jurulatih Australia itu.
Malaysia membuka jaringan pada minit ke-26 menerusi sepakan padu Stuart Wilkin sebelum Joao Figueiredo menggandakan kelebihan pada minit ke-55.
Singapura tidak menyerah begitu sahaja apabila Ilhan Fandi merapatkan jurang pada minit ke-72, menjadikan baki permainan lebih mendebarkan.


Cklamovski dalam nada realistik berkata, "Tiada perlawanan yang mudah… tetapi bagus juga apabila menang. Banyak perkara positif boleh diambil, walaupun masih ada yang perlu diperbaiki."
Figueiredo pula melihat keputusan perlawanan tersebut daripada sudut positif dan negatif. "Positif Malaysia memenangi perlawanan, negatifnya permainan tidak memuaskan," katanya. 
Dari segi taktikal, Malaysia dilihat lebih agresif dalam fasa 'pressing' terutama selepas kedudukan 2-1, enggan sekadar bertahan tetapi cuba mengekalkan dominasi di kawasan tengah.
Pendekatan itu berjaya mengawal ancaman Singapura, biarpun pada hakikatnya tidak berada pada tahap kompetitif seperti sebelum ini dalam pertemuan derbi.
Namun, ketiadaan jeneral tengah, Hector Havel akibat kecederaan, memberi kesan besar kepada kelancaran gerakan menyerang Malaysia.
Nazmi Faiz Mansor dan Nooa Laine bekerja keras mengisi kekosongan itu, tetapi mereka masih perlu meningkatkan kreativiti dalam menyusun tempo permainan.

Joao Figueiredo (kanan) menjadi penjaring gol kedua Malaysia.


Dari sudut positif, jaringan Figueiredo membuktikan naluri pemusnah pemain naturalisasi itu semakin tajam, walaupun pada babak pertama dia kelihatan sedikit longlai.

Sumbangan Wilkin pula tidak boleh dipandang ringan -- bukan sahaja melalui jaringan, malah juga disiplin ketika bertahan dan melakukan tekanan awal.
Secara kolektif, kerjasama berpasukan menjadi faktor utama kemenangan Malaysia, walaupun prestasi individu ada naik dan turun.
Kemenangan itu juga menandakan rekod tanpa kalah Cklamovski kini berlanjutan kepada empat perlawanan -- tiga kemenangan dan satu seri -- sesuatu yang cukup meyakinkan penyokong.


Namun apa yang menanti di hadapan jauh lebih mencabar. Palestin, lawan seterusnya, berada pada ranking ke-98 dunia dan pernah menjadi mimpi ngeri buat Malaysia dengan kemenangan besar 6-0 lebih sedekad lalu.
Situasi bertambah sukar apabila Malaysia kehilangan dua tonggak pertahanan, Facundo Garces dan Dion Cools yang perlu kembali ke kelab masing-masing.
Ketiadaan ‘kereta kebal’ itu mewujudkan ruang kepada pemain seperti Dominic Tan, Shahrul Saad, Harith Haiqal atau Daniel Ting untuk mengisi kekosongan di jantung pertahanan.
Selain itu, beberapa nama daripada senarai menunggu seperti Shahrul Nizam, Safwan Mazlan, Junior Eldstal, Shahrul Nazeem dan Adam Nor Azlin juga mungkin dipertimbang.
Dari sudut taktikal, Cklamovski perlu mencari keseimbangan antara kekuatan bertahan dan keberkesanan serangan, apatah lagi Palestin dijangka memberi cabaran lebih fizikal.
Bahagian tengah turut menjadi keutamaan untuk diperkemas kerana ketiadaan Havel menuntut pemain lain mengambil alih peranan sebagai penggerak utama.

Facundo Garces (kiri) bakal terlepas aksi Harimau Malaya menentang Palestin Isnin, 8 September 2025 ini.


Di sebalik semua cabaran itu, perlawanan menentang Palestin boleh menjadi kayu ukur sebenar terhadap tahap kemajuan Harimau Malaya di bawah pengendali baharu.

Cklamovski juga menekankan bahawa ujian seperti ini lebih bernilai berbanding sekadar kemenangan tipis menentang lawan serantau.
Kemenangan menentang Singapura wajar diraikan, tetapi jangan sekali-kali membuatkan pasukan leka kerana Palestin bukan lawan yang mudah ditundukkan.
Kini, segalanya bergantung kepada sejauh mana Malaysia dapat memanfaatkan momentum kemenangan, memperbaiki kelemahan dan membuktikan kemampuan sebenar dalam saingan lebih sengit di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Isnin, 8 September 2025. - KitaReporters

Terima kasih ekor Harimau Malaya dengan sokongan lebih 20,000 orang. 

11
12
0
10
0
You will be interested