Seni & Sukan 22 Jul, 2025

Video| Yonnyboii Tanya Tuhan untuk cari jawapan! Teruja dapat sentuhan magis idolanya Malique!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this



Siapa sangka, impian yang selama ini hanya berlegar dalam alam mimpi, kini menjadi kenyataan buat komposer dan penyanyi rap, Yonnyboii, 27, atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin.

Dengan senyuman lebar dan rasa syukur yang melimpah, Yonnyboii mengumumkan pencapaian terbesarnya – sebuah kolaborasi epik bersama penerbit muzik ikonik yang menjadi idolanya sejak sekian lama iaitu Cairel Adrin Ibrahim, 47.  atau lebih popular dikenali sebagai Malique. 

Hasil gabungan magis ini lahirlah buah tangan terbaharu Yonnyboii berjudul ‘Tanya Tuhan’, sebuah lagu yang bukan sahaja menamatkan penantian panjang, malah disifatkannya sebagai kemenangan bermakna yang mengubah landskap kerjaya muziknya dari pelbagai sudut.

Selama ini, Yonnyboii hanya mampu menyanjung Malique dari kejauhan, memendam cita-cita besar untuk berkongsi pentas kreatif dengannya. Namun, takdir menyebelahi, dan rezeki berpihak kepadanya untuk akhirnya menyulam karya bersama. 


Yonnyboii teruja dapat berkolaborasi bersama Malique (kanan).


“Memang saya tak sangka dapat bekerjasama dengan Malique. Dia adalah satu daripada impian dalam senarai wajib capai saya. Memang 'gila', saya pun tak boleh hadam lagi ada lagu bersamanya,” ujar Yonnyboii teruja..

Peluang keemasan ini turut menjadi pentas untuk Yonnyboii merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, atas sokongan dan sumbangan beliau yang tidak ternilai dalam menjayakan kerjasama impian ini.

“Ini satu daripada pencapaian peribadi tertinggi saya dapat bekerja dengan seseorang yang sangat hebat.Terima kasih pengurusan jadikan cita-cita saya jadi realiti dan perhebatkan lagi idea saya,” tambahnya.

Lebih istimewa, tajuk dan lirik ‘Tanya Tuhan’ ini sendiri lahir daripada gabungan idea bernas antara Yonnyboii dan Malique, untuk lagu yang dicipta bersama LastKhalif. 

LastKhalif juga turut memikul tanggungjawab sebagai penerbit keseluruhan projek megah ini, memastikan setiap nada dan bait lirik menusuk kalbu pendengar.


Yonnyboii turut gembira mendapat sentuhan LastKhalif sebagai penerbit.


Bagi Yonnyboii, keseluruhan pengalaman ini sendiri adalah satu perjalanan yang indah untuknya pahat dalam hati. 

Justeru, besar harapannya ‘Tanya Tuhan’ mampu menjadi karya agung dan ikonik yang akan kekal relevan di hati pendengar. 

“Saya harap pendengar dapat fahami dan dalami apa yang saya rasakan. Semoga sampai dan mampu berkaitlah kisah saya ini dalam hidup mereka, terus jadi kuat sepanjang perjalanan,” katanya penuh harapan.

Seperti identiti lagu-lagu terdahulunya, ‘Tanya Tuhan’ juga terinspirasi daripada kisah sebenar dirinya. 


Dalam usia muda, Yonnyboii sudah pun memiliki seorang anak lelaki, Kairo, 2,  bersama isterinya, Nik Nazirah Nik Narriman yang dikahwininya pada 2021 ketika berusia 23 tahun.


Idea itu terbit pada saat dirinya terjerat dalam rasa keraguan mengenai persoalan tanpa jawapan. Mesej besar yang ingin disampaikan adalah momen di mana dia berefleksi dengan diri sendiri, menginginkan sesuatu namun buntu ingin bertanya kepada siapa lagi demi mencari jawapan.

“Sewaktu menulis lagu ini, bukanlah nak kata saya tengah susah atau apa. Cuma ketika itu, saya menjauhkan daripada diri dan sangat emosional. Banyak pergelutan dalam hidup saya baik sebagai pemuzik dan bapa. 

"Itulah, kadang-kadang kita penat, ‘burnout’. Jadi, kita tak tahu nak tanya siapa lagi. Bukanlah nak cakap semua hal berdepan kesulitan sekarang. Cuma, saya tak tahu hendak mengadu pada siapa,” jelasnya. 

Beliau mengakui terlalu banyak momen hebat yang berlaku sepanjang proses menyiapkan karya agung ini, sehingga sukar untuk diuraikan satu persatu. Namun, baginya, penghormatan dapat bekerja dengan nama-nama besar dalam industri ini sudah cukup untuk membuatkan dirinya rasa kerdil dan berbangga.

“Ada hal tak terduga seperti dapat berjumpa dan bekerja dengan insan-insan yang hebat belaka. Saya sangat berbangga, rasa kerdil terhadap segala pengalaman saya raih itu,” ujar Yonnyboii dengan nada penuh kesyukuran.



Dalam pada itu, Yonnyboii amat berbesar hati apabila penghasilan lagu itu dilengkapkan sempurna dengan video muzik (MV) hasil sentuhan pengarah idamannya yang juga sahabat diseganinya. 

Dia tahu idea yang datang daripada otaknya bukan mudah difahami dan diterjemah mana-mana pengarah. Namun, katanya, pengarah Thaqif adalah insan yang tepat untuk merealisasikan ‘kegilaannya’ itu ke layar visual.

“Untuk MV saya dapat bekerja dengan seorang daripada pengarah impian juga, rakan saya Thaqif dan produksinya. Lagipun, saya sudah lama tidak bekerjasama dengannya dan dapat rasakan magisnya semula,

“Semoga jalinan kerjasama kami dapat diteruskan ke projek lain kerana bagi saya, dia adalah satu daripada pengarah terbaik dalam industri. Syukur sangat, dia boleh bersefahaman dengan idea saya,” akhiri Yonnyboii, memuji keserasian mereka. - KitaReporters

10
14
0
10
0
You will be interested