APABILA boleh merentas negeri selepas dua tahun ‘berkurung’, tempat yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk berlibur adalah Pulau Langkawi.
Langkawi merupakan suatu gugusan pulau yang terdiri daripada 99 buah pulau di mana Pulau Langkawi merupakan yang terbesar. Biasalah kalau pergi ke pulau bebas cukai itu selain memborong coklat atau pinggan mangkuk, kita akan melawat tempat-tempat menarik di sana.
Antara
lokasi tumpuan ramai adalah Pulau Dayang Bunting untuk melihat Tasik Dayang
Bunting dan Gua Langsuir, Dataran Lang, Kereta Kabel Langkawi untuk ke Langkawi
Sky Bridge, Pantai Cenang, Taman Buaya dan banyak lagi.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Pulau Langkawi
Untuk ke Pulau Pasir, perkhidmatan bot terdapat di Pengkalan Kubang Badak.
Kini lokasi baharu yang menarik untuk dikunjungi adalah di Pulau Pasir, Langkawi kerana di kawasan tersebut terdapat kira-kira 14 arca di dasar laut dan hanya 15 minit perjalanan menggunakan bot dari Pengkalan Kubang Badak untuk ke sana.
Bagi yang tidak pandai berenang jangan risau, anda masih boleh melihat arca yang dibuat oleh sembilan pengarca dan pengkarya seni tempatan dari pesisiran pantai Pulau Pasir.
Arca-arca ini dapat dilihat dari pesisiran pantai Pulau Pasir.
Antara arca yang dapat dilihat dari pesisiran pantai Pulau Pasir ialah arca Mahsuri dengan rambut berjurai tujuh, karya Low Chee Peng serta arca Permata Hinggap idea daripada Umibaizurah Mahir @ Ismail.
Jika air
surut, dapatlah lihat sebahagian daripada arca tersebut. Bagi yang suka bersnorkel,
ada beberapa lagi arca dasar laut di kawasan berhampiran termasuklah arca
Mahsuri diikat yang dihasilkan oleh Dr Zainuddin Abindinhazir @ Abdul Rashid.
Pulau Pasir sesuai untuk percutian sekeluarga.
Kesemua artis yang terbabit dalam pembikinan arca dasar laut ini menghabiskan masa sebulan untuk membina arca terbabit dengan bantuan komuniti setempat.
Penghasilan arca-arca yang berkonsepkan mitos dan legenda Langkawi ini bermula pada Disember 2021 di Pengkalan Kubang Badak. Arca-arca ini kemudian siap dilabuhkan di sekitar perairan Pulau Pasir pada 2 Jun 2022.
Sekali pandang macam kurita tapi itu adalah arca Mahsuri dengan juraian rambutnya dan menara tinggi itu adalah arca Permata Hinggap.
Antara tangan ajaib yang bertanggungjawab mereka dan membina arca tersebut ialah Tengku Sabri Tengku Ibrahim, Abdul Multhalib Musa, Ahmad Fuad Osman, Maxine Xie Xian Xin, Mohd. Al Khuzairie Ali dan Mohd. Fadzi Ismail.
Pembikinan arca dasar laut di Pulau Langkawi merupakan Program Pelancongan Berasaskan Komuniti (Community Based Tourism) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya iaitu Balai Seni Negara.
Nancy Shukri menurunkan tanda tangannya sebagai simbolik program Community Based Tourism, Arca Dasar Laut di Pulau Pasir, Langkawi.
Program Berasaskan Komuniti anjuran Balai Seni Negara itu adalah salah satu usaha bagi memperkasakan ekosistem seni dan pelancongan negara.
Menariknya program yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri pada 23 Julai 2022 lalu, turut tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas diiktiraf sebagai “Most Underwater Sculptures”.
Nancy berkata, arca dasar laut ini merupakan eleman visual baharu dalam penciptaan konten dan kehebatan cerita tentang mitos dan legenda Langkawi hasil kerjasama pengarca dan pelukis bersama komuniti setempat.
Program Arca Dasar Laut ini merupakan penanda aras untuk program lain yang melibatkan ekosistem marin.
“Wujudnya satu lagi ekosistem pelancongan seni yang bakal mejadi mercu tanda baharu buat Pulau Langkawi melalui program Community Based Tourism iaitu Arca Dasar Laut.
“Program ini akan menjadi penanda aras untuk program lain yang melibatkan ekosistem marin pada masa akan datang. Selain mempromosikan sektor pelancongan, ia juga dapat memperluaskan lagi program pendidikan, khususnya berkaitan hidupan marin.
Sempat turun ke dasar laut untuk melihat arca yang dihasilkan.
“Pelancong, komuniti selam skuba serta komuniti tempatan pastinya teruja kerana dapat melalui penglaman meneroka keindhan ekologi marin serta arca, semasa berada di Pulau Langkawi,” katanya.
Nancy yakin dengan wujudnya ekopelancongan baharu ini, Pengkalan Kubang Badak serta Tanjung Rhu akan menjadi tumpuan pelancong, sekali gus membantu meringankan rantaian ekonomi penduduk setempat melalui jualan makanan dan minuman.
Low Chee Peng bersama replika arca Mahsuri rekaannya.
Sementara itu, Low Chee Peng yang bertanggungjawab membina arca Mahsuri bertimpuh dalam air dengan rambut berjurai. Untuk menyiapkan arca tersebut, Chee Peng menggunakan bahan simen konkrit, akrilik latex, rod besi, fiber mesh dan dawai mata punai.
“Saya terinspirasi daripada Mahsuri. Legenda ini banyak orang sudah tahu. Saya buat arca ini Mahsuri bertimpuh dalam air. Arca rambutnya itu mewakili tujuh generasi sumpahan yang tamat.
“Boleh nampak dia menoleh ke belakang dan lubang-lubang di arca ini akan menghasilkan coral semula jadi dan ikan akan masuk ke situ. Panjangnya lebih kurang 80 kaki, lebar 10 kaki dan tinggi 10 kaki. Ini kali pertama saya buat arca untuk dasar laut,” katanya yang juga terlibat di Penang International Paddy Festival 4.0 baru-baru ini.
Dr. Zainuddin juga mereka cipta arca Mahsuri.
Seorang lagi artis yang membina arca Mahsuri ialah Dr. Zainuddin Ahmad Abidinhazir @ Abdul Rashid, seorang pensyarah seni.
“Saya diberi masa sebulan untuk siapkan arca tersebut. Saya buat research kat makam Mahsuri dan saya reka dua bentuk. Satu yang Mahsuri diikat kat pokok dan satu lagi besar. Disebabkan kesuntukan masa arca yang besar itu tidak dapat dibuat.
“Yang ini (Mahsuri diikat di pokok) pun saiznya 14 kaki tinggi. Dari segi bentuk, saya guna simbol saintifik yang ada bulat melambangkan wanita. Saya buat tiga tingkat kerana matlamat kita buat arca ini adalah untuk menggalakkan kehidupan dalam dasar laut.
“Tapak yang paling bawah adalah untuk menarik perhatian benda-benda besar dan kedua tu sedikit kecil dan paling atas untuk rumpai. Apapun alhamdulillah, sebab mereka cakap kat bawah ada ikan besar,” katanya.
Umibaizurah bersama arca rekaannya yang melambangkan kekayaan Langkawi.
Sementara itu, Umibaizurah Mahir @ Ismail pula menghasilkan arca yang diberi nama Permata Hinggap. Dia membina arca tersebut kerana orang Malaysia tahu bahawa Langkawi adalah permata untuk Kedah.
“Saya suka menggunakan nama permata sebab permata itu adalah satu nama yang lumayan. Permata ini bagi saya bukan dalam bentuk permata tapi ia adalah sumber alam, manusia itu sendiri. Sebab itu kalau tengok karya saya, saya menggunakan objek yang saya kutip di sekitar Pulau Langkawi. Dan objek itu adalah related dengan perairan di Langkawi.
“Kalau tengok, saya menggunakan pelampung keselamatan, saya menggunakan plastic toys di mana menunjukkan tentang new generasi sebab patung anak-anak.
“Ketiganya, saya menggunakan simbol helang yang sinonim dengan perairan di Langkawi. Ketiga-tiga ini adalah permata yang hinggap di Langkawi, sebab itulah saya menggunakan seperti tower di mana ia meninggi. Burung suka hinggap di tempat yang tinggi.
Suasana di jeti Pengkalan Kubang Badak yang menyediakan perkhidmatan bot untuk pelancong.
“Hinggap itu sendiri adalah satu kelakuan yang tidak pernah lama, ia datang sekejap saja tapi ia meninggalkan satu impak yang baik. Bagi saya pembinaan arca di dasar laut ini adalah satu fenomena baharu.
“Bagi saya ia
satu peluang yang baik untuk masyarakat dan penggemar seni dan juga satu
pemuliharaan alam, ekosistem dan ekomarin. Di mana ia satu tindakan yang baik
untuk semua. Karya saya ini bila diletakkan di dasar laut, sebagai artis saya
nak lihat kesannya,” kata Umibaizurah yang bakal mengadakan pameran solo di
Singapura, September 2022 ini.
Selain itu, dia turut mendapat undangan menyertai Festival Seni di Portugal pada akhir September 2022. - KitaReporters