Seni & Sukan 28 Jul, 2024

Kolaborasi The Six Million Dollar Man! Yusof Haslam setuju kongsi pengalaman, kepakaran dengan USIM!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this

Mungkin imej 3 orang, dais dan teks

Tetamu VVIP DYH bersama pengurusan USIM


SELEPAS lebih empat dekad bergelumang pahit manis dalam industri perfileman negara Datuk Dr Mohd Yusof Md Haslam Khan  @ Datuk Yusof Haslam (DYH) akhirnya bersetuju untuk berkolaborasi dengan Universiti Islam Malaysia (USIM) untuk berkongsi pengalaman dalam usaha untuk memacukan menara gading itu di persada dunia.

Ia juga sebagai dokumentasi pendidikan seumur hidup dan legasinya sebagai panduan membimbing pelapis baharu dalam dunia perniagaan khususnya kegemilangan perfileman sebagaimana yang pernah dilakukan oleh tokoh filem negara, Tan Sri P Ramlee. 

Tidak hairan jika USIM melihat beliau sebagai ikon kerana dia yang mencipta sejarah sebagai pelakon, pengarah, penerbit drama dan filem malah diberi gelaran oleh media negara sebagai The Six Million Dollar Man hasil kutipan tiket filem pecah panggung.


Bersama warga USIM


Ketika ditemui pada Majlis Bersama Media 2024, memperkenal dia sebagai ikon USIM, DYH berkata dia akan berkongsi bukan saja pengalaman tetapi juga membimbing penghasilan skrip drama dan filem, pengarahan, strategi perniagaan. Malah kedengaran berita menggembirakan apabila dia dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) USIM.

"Sebetulnya saya tak tengok lagi pelan yang dibuat sebab datang hari ini pun untuk berkenalan secara rasmi dan meraikan media. Apa yang akan dilaksanakan akan saya umumkan kemudian," katanya yang begitu teruja untuk bekerjasama dengan sebuah pusat pengajian bertemakan Islam dan kemanusiaan sebagai ilmu yang diajar dalam kuliah.

Perlantikan DYH itu akan menjadikan beliau ikon terbaru pilihan universiti tempatan. Sebelum ini Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced) dan Datuk Zainal Abidin sebagai subjek kajian khas di Universiti Pulau Pinang (USM).


Yunni on X: "Look who came by to show his support for the "OP Selamat"  launch. The legend himself, Datuk Yusof Haslam. http://t.co/r4WEkq8Ql6" / X

Yusof Haslam memegang watak DCP Datuk Helmi, berkhidmat sebagai pengarah dan penerbit dalam drama Gerak Khas.


Dr Yusof Haslam, 70, yang dilahirkan pada 24  April 1954, seorang pelakon, pengarah, penulis dan penerbit filem Malaysia. Beliau juga memegang jawatan sebagai pengarah urusan syarikat penerbitan televisyen dan filem miliknya Skop Productions yang ditubuhkan pada 1984.

Memulakan kerjaya pada 1972, dengan watak tambahan sebagai penonton perlawanan dalam filem Laksamana Do Re Mi bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. 

Sepanjang kerjayanya, Datuk Yusof telah berlakon sebanyak 31 filem dan mengarahkan 13 filem cereka yang kesemuanya merupakan kejayaan komersial. 

Beliau menduduki kerusi pengarah pada 1991 menerusi filem pertamanya Bayangan Maut dan mengarahkan beberapa filem lagi termasuk Pemburu Bayang (1993), Sembilu (1994) dan Maria Mariana (1996) sehingga bersara dari kerusi pengarah pada 2005. 

 Sebagai penerbit, beliau telah menerbitkan 40 filem dan beberapa siri TV termasuk PJ, Remang-Remang Kota Raya, Roda-Roda Kota Raya, dan Gerak Khas.  


Gerak Khas The Movie


Pasrah


Sembilu


Kini, perjuangan beliau dalam bidang perfileman diteruskan oleh dua anak beliau, Syamsul dan Syafiq. 

Selain kerjaya beliau sebagai penerbit filem, drama, penulis skrip dan pelakon, DYH juga Pengarah Urusan di Skop Productions, di mana anak-anak syarikatnya terdiri dari Haslam Trading (restoran), Haslam Properties (hartanah), Skop Publishing (novel dan buku) dan ME Communication (pos-produksi dan penerbitan drama serta filem).

Sejak kecil DYH hidup dalam kemiskinan dan dia bersama tujuh beradiknya dibesarkan di rumah setinggan kerana bapanya, Md Haslam Khan adalah pemandu lori dan ibunya, Bahyah Talib seorang suri rumah.

Beliau menerima pendidikannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

Beliau terpikat dengan filem melalui pengalamannya menonton filem barat Hollywood dan filem-filem Bollywood - dengan yang kedua, beliau menjadikan bintang Bollywood Shashi Kapoor sebagai idola beliau dalam bidang lakonan. 

Oleh itu, DYH memutuskan bahawa beliau akan menjadi pelakon, meskipun tidak direstui oleh bapanya yang percaya bahawa industri hiburan tidak mempunyai jaminan masa depan.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau mengambil pekerjaan sebagai konduktor tiket bas Sri Jaya, tetapi beliau juga diam-diam menghadiri uji bakat lakonan. 

Sesungguhnya daripada kerja pertama sebagai  konduktor tiket bas yang melekat padanya sehingga kini DYH bertuah kerana gelaran "konduktor" itu beliau menjadi jutawan mengutip jutaan ringgit daripada tiket wayang pula. - KitaReporters


7
10
0
15
0
You will be interested