Seni & Sukan 12 May, 2024

Kontinjen SUKMA Terengganu sasar 75 pingat emas! Mahu rebut kembali kejuaraan Sukan Malaysia 2024!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.-komunitimadanijertih@gmail.com

Share this

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) ketika hadir pada perhimpunan kontinjen Sukma Terengganu


KONTIJEN SUKMA Terengganu 2024 menyasarkan untuk memungut 75 pingat emas sekali gus merebut kembali kejuaraan SUKMA edisi ke-21, kali ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sasaran yang diletakkan melebihi pencapaian terbaik tahun 2022 dengan pungutan 64 emas.

"Cita-cita kita besar, untuk merampas kejuaraan yang pernah dimiliki Terengganu pada 2018.

"Semua tahu di mana kekuatan negeri Terengganu dan kita ada juga sukan-sukan baharu yang kita akan cuba dapatkan pingat emas. Sukan pelayaran, basikal, malah olahraga juga tidak kurang pada kita," katanya.


Atlet lelaki SUKMA Terengganu


“Pesanan saya buat semua atlet, jangan lemah semangat dan berdirilah dengan penuh rasa yakin akan kekuatan sendiri. Kalian telah berhempas pulas berlatih selama beratus-ratus hari,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Kontinjen SUKMA Terengganu 100 Hari Menjelang SUKMA XXI Sarawak di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.  

Oleh itu, katanya, "bila sampai masanya nanti, jangan merasa diri kita kerdil dan berusahalah sehabis baik.

"Semoga kita dapat merampas kembali takhta kejuaraan untuk edisi kali ini, insya-Allah. Buat rakyat Terengganu, sama-sama kita memberikan sokongan padu buat wira dan wirawati SUKMA Negeri Terengganu."


Atlet Wanita SUKMA Terengganu


Pada majlis tersebut, Dr. Samsuri diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim yang juga menyempurnakan penyampaian Watikah Pelantikan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen serta ketua-ketua jabatan. 

Penganjuran SUKMA Sarawak 2024 pada Ogos nanti menawarkan 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertanding. Kontinjen Terengganu akan bersaing dalam 36 jenis sukan kecuali sukan bola keranjang. - KitaReporters


Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersam atlet SUKMA dan pegawai-pegawai sukan Terengganu.

16
11
1
14
0
You will be interested