Selepas skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) gagal ke pentas akhir Kejohanan Piala AFF baru-baru ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaya (FAM) Dato Hamidin Mohd Amin menyeru para pemain tersebut untuk bangkit kembali dalam kejohanan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Thailand pada bulan September 2023 ini.
Tugas berat menanti ketua jurulatih negara E. Elavarasan untuk memastikan skuad junior juga akan mengikut jejak 'abang' mereka ke Piala Asia 2024 di Qatar.
Namun begitu, beliau boleh menarik nafas lega apabila beberapa pemain yang sebelum ini tidak dapat pelepasan kini sudah bersama-sama pasukan.
Antaranya Mukhairi Ajmal, Sikh Izhan, Azam Azmi Murad, Luqman Hakim dan beberapa utama yang lain.
Menurut Hamidin, beliau berharap para pemain dapat memberi aksi terbaik dan jangan sesekali memandang rendah kekuatan lawan mereka.
“Sebagai pemain kebangsaan, anda perlu memberikan lebih daripada 100 peratus. Apabila beraksi demi negara, anda semua harus berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
“Peluang untuk mewakili Malaysia tidak harus disia-siakan dan saya berharap anda semua mampu melakar sejarah di Chonburi, Thailand,” katanya ketika bertemu pemain B-23.
Skuad Harimau Muda diundi dalam Kumpulan H dan akan berdepan Bangladesh pada Rabu, 6 September 2023, Filipina (9 September) dan tuan rumah, Thailand (12 September) dengan ketiga-tiga perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi.
Sebanyak 11 pasukan juara kumpulan dalam saingan kelayakan bersama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi pada Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Doha tahun depan (2024). - KitaReporters