Seni & Sukan 20 Aug, 2023

Search ke Kuantan lagi! Mahu tarik peminat di Pantai Timur setelah 15 tahun tak buat konsert di sana!

Share this


KONSERT Rock 'n Roll Pie adalah konsert terbaharu kumpulan Search yang akan diadakan di Kuantan, Pahang pada 21 Oktober 2023 ini, pukul 9 malam.

Menurut gitaris dan ketua kumpulan Search, Noordin Mohd Taib, pada konsert itu mereka akan membuat kelainan terutama dari segi lagu-lagu yang bakal dipersembah kelak.

Pada konsert selama 2 jam itu katanya, Search akan mempersembah beberapa buah lagu terutama daripada album Rock 'n Roll Pie yang jarang-jarang mereka persembah sebelum ini.

"Kami akan bawakan lagu-lagu yang jarang kami mainkan dalam konsert-konsert sebelum ini. Antaranya lagu-lagu daripada album seperti Karisma (1990) dan Gema Di Timur Jauh (1995).

"Dan juga lagu-lagu daripada album Rock 'n Roll Pie (1996). Memang kalau boleh di setiap 'venue' kami akan tampilkan kelainan dari segi lagu-lagu yang kami bawakan," katanya semasa sidang media di kedai Guitar Legend Sdn. Bhd. di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Kid (gitaris), Yanto (bassis) dan Minn (dram), manakala vokalis baharu mereka, Denden Gonjalez tidak dapat turut serta kerana difahamkan berada Indonesia.



Konsert Search Rock 'n Roll Pie yang akan diadakan di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan itu mengenakan tiket berharga RM95 dan RM130.

Jelas Noordin atau Din Search, beliau berharap mampu memuaskan hati para peminat Search pada konsert itu kelak dengan menampilkan peralatan-peralatan muzik dan sistem bunyi yang berkualiti.

"Apatah lagi, 15 tahun lepas adalah kali terakhir Search mengadakan konsert di Kuantan. Untuk konsert kali ini kami sasarkan mahu menarik 3,000 peminat. Kami akan gunakan peralatan-peralatan dan sistem bunyi yang sama seperti konsert Search di Roof Top, Kompleks Campbell, Kuala Lumpur pada 11 Jun 2022 lalu," ujarnya.

Konsert sulung Search bersama vokalis baharu mereka, Denden Gonjalez yang berasal dari Indonesia di Roof Top, Kompleks Campbell pada tahun lalu (2022) itu telah ditonton hampir 4,000 peminat.

Selain itu, Denden dan Search juga pernah beraksi di beberapa konsert selepas itu termasuklah di Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang pada 24 Disember 2022 lalu dengan disaksikan hampir 2,000 orang penonton.

Sehubungan itu, Din melihat penampilan demi penampilan Denden itu bukan sahaja akan mendekatkan lagi penyanyi itu dengan para peminat Search, tetapi ia juga memberi lebih banyak keyakinan terhadapnya.


SEARCH (dari kiri) Minn, Din, Kid dan Yanto pada sidang media Konsert Search Rock 'n Roll Pie di Ampang, Selangor pada 19 Ogos 2023 lalu.


"Saya lihat orang sudah boleh terima Denden sekarang ini. Keberanian dia di atas pentas juga orang sudah mula nampak, apalagi kalau dia selalu buat persembahan. Memang dia ada 'progres' dan kita kenalah bagi dia lebih banyak pendedahan.

"Kalau boleh kami mahu buat konsert ke tahap yang lebih tinggi termasuk mahu beraksi di Dewan Filharmonik Orkestra Petronas (DFP) di KLCC pada suatu masa nanti," jelasnya.

Denden Gonjalez yang dilahirkan di Bandung, Indonesia pada 1983 merupakan penyanyi popular dalam YouTube dan muncul daripada hasil program realiti nyanyian, The Voice Bulgaria sekitar 4 tahun yang lepas.

Sementara itu, Yanto yang juga pernah bermain bass dalam album pertama Search berjudul Cinta Buatan Malaysia (1984) dan pernah menganggotai kumpulan Lefthanded turut berharap agar Konsert Search Rock 'n Roll Pie itu nanti mampu menarik para peminat terutama dari sekitar negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu.

"Bagi saya, Kuantan ini 'blues', oleh kerana lagu-lagu Search ini 'blues', maka ramai rockers yang akan beri sokongan. Para peminat yang berimej 'seluar koyak' dan mat blues pasti akan datang. Apatah lagi, harga tiket pun harga 'rahmah'," tambahnya.

Pada konsert itu kelak, Space Limitless merupakan rakan strategik bersama Guitar Legend Sdn. Bhd. serta JS Music selaku penaja selain Grand Darul Makmur dan THR Gegar pula masing-masing sebagai hotel dan radio rasmi acara tersebut. - KitaReporters


13
20
0
11
2
You will be interested