Rohana Jalil, 68, memiliki ciri-ciri menjadi insan seni sejati yang boleh menjadi contoh insan seni muka baharu.
Bagi Rohana dia menceburi bidang nyanyian kerana minat dan berusaha melalui onak duri dalam bidang itu untuk berjaya. Dia hanya mampu mengecap populariti sebenarnya ketika sudah berusia lebih 35 tahun.
Kerana minat, dia tetap terus menyanyi jika menerima undangan. Ia terbukti apabila tetap menerima undangan menyanyi dalam satu majlis sebuah pusat beli belah di Shah Alam pada Ahad, 15 April 2023.
Ketika itu dia sudah tidak sihat dan beberapa hari kemudian dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Mujris (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 28 April 2023.
Rohana merupakan insan seni sejati yang patut mejadi ikutan artis generasi baharu.
Ikut jadual Rohana mempunyai sejumlah undangan menyanyi sepanjang tahun 2023.
Rohana atau nama pada kad pengenalannya Dara Abdul Jalil memang minat menyanyi sejak remaja.
Anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini sanggup menyanyi di kelab-kelab malam sekitar Johor untuk membantu menyara kehidupan keluarga. Rohana merupakan anak sulung daripada 6 beradik.
Pada tahun 1970-an dan 1980-an, pertandingan Bintang RTM merupakan impian ramai penyanyi untuk mencuba nasib melihat sejumlah bekas pesertanya mampu menjadi artis rakaman, contohnya Jamal Abdillah, M Rizal dan Sudirman Arshad dan Rosmaria Abdul Hamid.
Malah sejumlah penyanyi yang hanya mampu sampai pada peringkat separuh akhir juga berjaya menjadi artis rakaman.
Ketika masih tinggal di Johor, Rohana pernah mencuba dua kali menyertai uji bakat di RTM Johor Bahru tetapi tidak lepas. Namun Rohana yakin tuah tetap ada dengan berhijrah ke Kuala Lumpur.
Setelah berhijrah ke ibu kota, Rohana meneruskan kerjayanya menyanyi di tempat-tempat hiburan.
Ketika sudah berada di Kuala Lumpur Rohana mencuba lagi menyertai Bintang RTM. Berkat tidak putus asa dan mencuba bagi kali ketiga, Rohana akhirnya berjaya menjadi juara Bintang RTM 1980 pada peringkat akhir pertandingan itu yang berlangsung pada 13 Januari 1981.
Rohana berjaya mengalahkan Sharon Premala Isaac (kedua) dan Wayne Pui Lee Keng (ketiga). Rohana menerima hadiah daripada Menteri Penerangan, Datuk Mohamad Rahmat yang berupa wang tunai RM2,000 yang dianggap berbaloi ketika itu.
Ketika itu Rohana teruji lagi. Tidak seperti beberapa penyanyi yang berjaya melonjak naik selepas menjuarai Bintang RTM, namun bagi Rohana ia tidak semudah itu.
Walaupun syarikat rakaman besar EMI memberi tawaran membuat rakaman album, namun dua album iaitu ‘Gembira di Hari Raya’ (1979) dan ‘Di Suatu Ketika’ (1983) kurang mendapat sambutan.
Populariti Rohana sebagai penyanyi hanya muncul setelah dia berpindah ke New Southern Record (NSR) pada 1987. Ketika itu umur Rohana sudah lebih 35 tahun dan telah berkahwin. Rohana berkahwin ketika berusia 33 tahun.
Percubaan NSR untuk mempopularkan Rohana pada pada 1987 kurang berjaya. Album berjudul ‘Masih Dalam Ingatan’ terbitan S Sahlan (Roslan Tajuddin) kurang sambutan. Lagu sandaran ‘Masih Dalam Ingatan’ ciptaan S Sahlan dan lirik Seri Bayu tidak meletup.
NSR merupakan syarikat rakaman baharu yang hanya menyewa di sebuah lot rumah kedai di sebuah jalan dekat Chow Kit, Kuala Lumpur.
NSR mendapatkan khidmat A Ali (Hamdan Atan) untuk menerbitkan album seterusnya Rohana. Ia ekoran kejayaan A Ali mempopularkan Zaiton Sameon melalui lagu ‘berhantu’ ‘Menaruh Harapan’ (1987) bersama Omry Records.
Sentuhan ajaib A Ali berjaya mempopularkan Rohana bersama album kedua dengan NSR.
Komposer A Ali membantu mempopularkan Rohana Jalil melalui lagu 'Rayuanku'
Rohana berterima kasih kepada A Ali yang menghasilkan lagu berhantu ‘Rayuanku’ itu. Lagu ‘Rayuanku’ ciptaan A Ali dan lirik oleh Lukman S pada 1988 berjaya menjadi fenomena.
Populariti Rohana sebagai artis rakaman menjadikan dia sebagai salah seorang penyanyi paling laris di pentas hiburan ketika itu.
Larisnya Rohana dalam persembahan pentas banyak dibantu oleh koordinator terdiri pasangan suami isteri Mas Omar dan Sawiyah Ali.
Rohana bersama NSR selama 10 tahun dan berjaya merakamkan 10 album. Antara lagu lain yang mempopularkan Rohana ialah ‘Resahku’ (1989), ‘Kerana Dia Kita Terpisah’ (1990), ‘Faez’ (1991), ‘Jangan Main Mata’ (1993), ‘Jelingan Mata/Lembaran Baru’ (1995), ‘Jauh Terkenang’ (1995) dan ‘Musafir Lalu’ (1998).
Rohana juga pernah menerima kejayaan dalam pertandingan Anugerah Juara Lagu TV3. Dalam pertandingan tahun pertama pada 1986, Rohana mendapat tempat ketiga dalam Persembahan Terbaik.
Rohana menjadi penyanyi penganti kepada Jamal Abdillah bagi lagu ‘Cinta Yang Terbiar’ ciptaan S Sahlan. Pada tahun ketiga, 1988, melalui lagu ‘Rayuanku’ Rohana mendapat tempat kedua dalam ‘Persembahan Terbaik’.
/
Dalam kalangan artis sezamannya dan para wartawan hiburan, Rohana mempunyai hubungan baik. Dia dikenali sebagai seorang yang baik hati dan pemurah serta suka menderma.
Terdapat sejumlah artis yang mempunyai masalah kewangan dibantunya. Sejumlah insan seni mengganggap Rohana sebagai sahabat karib dan saudara kerana ketulusan hati Rohana.
Rohana sudah dijemput Ilahi pada Selasa 20 Jun 2023 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) setelah hampir dua bulan dirawat kerana kebocoran usus.
/
Rohana bersama suami, Jahangir Khan