Seni & Sukan 27 Oct, 2024

Ranking Harimauwati Malaya bakal melonjak! Menang, seri di Dubai! Bekal semangat ke Piala AFF Wanita!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

TIM wanita Malaysia bergambar berlatarbelakangkan para penyokong selepas menewaskan Laos 3-1 di Stadium Polis Dubai, UAE pada 26 Oktober 2024. - Kredit foto: FAM


SATU kemenangan dan satu seri di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), tetap memadai sebagai bekalan semangat dan keyakinan Harimauwati Malaya bagi menghadapi Piala AFF Wanita 2024 di Laos pada 23 November hingga 5 Disember 2024 ini.

Skuad bola sepak wanita negara seri 0-0 dengan Arab Saudi dan menewaskan Laos 3-1 dalam dua perlawanan antarabangsa tahap 1 pada 23 dan 26 Oktober 2024 yang turut akan melonjakkan ranking dunia mereka.

Gol-gol Malaysia dalam perlawanan di Stadium Polis Dubai, UAE itu dijaringkan oleh Juliana Barek, Nur Adrienna Zamzaihiri dan Ayuna Anjani Lamsin pada minit ke-23, 30 dan 63.



Tim kendalian Soleen Hamed Tawfiq Al-Zoubi ini telah diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Kemboja dan Indonesia dalam Kumpulan B Piala AFF Wanita. 

Katanya, “mengalahkan Laos yang di ranking dunia lebih baik daripada kami bererti semakin besar peluang kami untuk memenangi semua perlawanan Piala AFF Wanita.

“Saya juga kini mendapat gambaran yang lebih jelas tentang pasukan yang saya mahukan. Bagi AFF, saya akan cuba seberapa ramai pemain yang berhak diberi peluang ke Laos,” katanya menerusi laman sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 26 Oktober 2024.


SOLEEN HAMED TAWFIQ AL-ZOUBI. - Kredit foto: FAM


Soleen yang memulakan tugasnya dengan FAM pada 1 Disember 2022, juga berpuas hati dengan prestasi pemain-pemain negara dan corak permainan mereka biarpun menguji sehingga enam atau tujuh pemain muda dan baharu.

“Mereka menunjukkan semangat juang dan pemikiran menang. Memang ada yang bermula dengan gementar tetapi lama kelamaan mereka menemui ketenangan dalam permainan,” kata pengendali warga Jordan ini.  

Antara pemain muda yang memikatnya pasti penjaring gol ketiga Malaysia, Ayuna Anjani, 21, yang turut mengecapi kap sulung antarabangsanya menentang Laos.

Turut menyerlah dan mungkin dipertaruh lagi ke Piala AFF Wanita ialah Juliana, 22, penjaring gol sulung.


PENYERANG Malaysia, Nur Adrienna Zamzaihiri (11) yang beraksi menentang Arab Saudi (jersi hijau), turut membolosi gawang Laos. - Kredit foto: FAM


"Kali pertama saya dapat panggilan pasukan gembira dan bertambah pula apabila baru beberapa minit masuk saya berjaya skor. 

"Bangga juga dengan rakan sepasukan, tanpa hantaran dan sokongan mereka, tidak mungkin saya mampu melakukannya.

"Harap untuk AFF saya dapat dipanggil lagi dan buat lebih baik daripada perlawanan di Dubai," kata Ayuna, penyerang pasukan Malaysian University dalam Liga Wanita Nasional (LWN) anjuran FAM.  


AYUNA Anjani Lamsin (18) meraikan gol jaringan Juliana Barek (2) terhadap Laos bersama-sama Harimauwati Malaya. - Kredit foto: FAM


Piala AFF Wanita anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dulunya dikenali sebagai Kejohanan Wanita AFF dan Kejohanan Wanita ASEAN yang diasaskan pada 2006.

Pada 2022, kejohanan ini tidak dapat dilangsungkan gara-gara pandemik Covid-19.

Ketika kali akhir kejohanan 2019 di Chonburi menyaksikan wanita kita ditewaskan Filipina 3-0 dan Thailand 7-0 namun mengalahkan Singapura 4-0 dan Timor-Leste 5-0 lantas gagal melepasi Kumpulan A untuk ke separuh akhir. - KitaReporters


PENJAGA gol Malaysia, Nurul Azurin Mazlan (23) menangkap kemas bola daripada asakan pemain-pemain Laos sambil cuba dibantu Siti Nurfaizah Saidin (5). - Kredit foto: FAM  

12
12
0
14
0
You will be interested