Seni & Sukan 11 Aug, 2024

Air mata gugur di Paris! Impian emas Olimpik berkecai! Rakyat turut ratapi nasib malang Azizulhasni!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Azizulhasni Awang kelihatan bersemangat sebelum bermula pusingan pertama acara keirin Olimpik Paris 2024 di Velodrom Nasional Perancis. -  Kredit foto:  Facebook MSN  


Azizulhasni menerangkan sesuatu kepada ketua jurulatih basikal negara, John Beasley selepas penyertaannya dalam acara keirin Olimpik Paris 2024 dibatalkan.


Nasib malang menimpa jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang yang dibatalkan penyertaannya pada pusingan pertama acara keirin Olimpik Paris 2024 di Valodrom Nasional Perancis meruntun jiwa seluruh rakyat Malaysia yang menaruh harapan kejayaan pelumba yang mendapat jolokan 'Pocket Rocketman' itu.

Perjuangan di pentas Olimpik kelima sejak kali pertama di Olimpik Beijing 2008, anak kelahiran Dungun, Terengganu itu terhenti  selepas penyertaannya dibatalkan  gara-gara memotong derny yang juga 'pacer' perlumbaan terlalu awal sebelum pacer meninggalkan trek perlumbaan sepenuhnya, sekali gus menyaksikan perlumbaan itu dimulakan semula.

Difahamkan beliau mendakwa terhimpit dengan salah seorang pelumba lain dan terpaksa melajukan sedikit kayuhan bagi mengelak berlaku perlangaran dan pada masa sama, tidak menyedari telah memotong derny menyebabkan penyertaannya dibatalkan. 

Pelumba Australia, Matthew Glaetzer dan Jeffrey Hoogland mara ke suku akhir selepas masing-masing menamatkan aksi pada pusingan pertama di tempat pertama dan kedua pada perlumbaan yang dimulakan semula tanpa Azizulhasni.


Menurut ketua jurulatih basikal negara, John Beasley, Azizulhasni merupakan individu yang paling terkesan dengan 'detik hitam' itu berbanding peminat sukan di tanah air yang menaruh harapan jaguh berbasikal negara itu mampu membawa pulang sebutir emas dari bumi Paris.

Menurutnya, kejadian itu amat menyedihkan serta sukar untuk diterima kerana Aziizulhasni tersingkir tanpa berlumba dan keadaan pasti berbeza sekiranya dapat berlumba.

"Bagi saya, seperti juga kita semua, dia masih dalam keadaan terkejut dan akhirnya dialah yang terkesan paling teruk kerana ini kariernya.

"Tidak banyak yang boleh saya lakukan dan saya dapat rasakan apa yang dia rasakan ketika ini. Saya akan sentiasa berada di sisinya," katanya lagi.

Azizullhasni tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas perjuangan untuk menghadiahkan pingat buat negara tidak kesampaian apabila penyertaannya dibatalkan.


Azizulhasni menanti keputusan bantahan yang dikemukakan kem Malaysia selepas  penyertaan dalam acara keirin Olimpik Paris 2024 dibatalkan  kerana tersilap memotong derny terlalu awal. -  Kredit foto:  Facebook MSN  
Tanpa Azizulhasni, cabaran negara digalas oleh seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom yang turut diberi amaran dan dibatalkan keputusan pusingan pertama kerana melanggar garisan biru yang menyaksikan dia terpaksa beraksi repechage.

Namun pelumba muda negara itu berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir selepas mengungguli saingan repechage ketiga pusingan pertama bagi menyalakan kembali cabaran negara dalam acara keirin di pentas Olimpik Paris 2024.

Shah Firdaus Shahrom (kanan) menggalas beban sendirian untuk menghadirkan pingat buat negara pada temasya Olimpik Paris 2024 selepas ketiadaan Azizulhasni (kiri). -  Kredit foto:  Facebook MSN  

Untuk rekod, Azizulhasni membuat penampilan pertama di Olimpik Beijing 2008 dan berjaya menghadiahkan pingat gangsa acara keirin buat negara ketika penyertaan kali ketiga di Olimpik Rio De Janeirio, BrazIl  tahun 2016 sebelum memperbaiki pencapaian tersebut dengan memenangi pingat perak ketika Olimpik Tokyo 2020.

Olimpik Paris 2024 besar kemungkinan adalah aksi terakhir pelumba berusia 36 tahun itu di pentas Olimpik memandangkan beliau akan berusia 40 tahun ketika temasya Olimpik Los Angeles 2028 berlangsung empat tahun lagi.

Selama 20 tahun, beliau membawa kebanggaan kepada negara dengan meraih gelaran pelbagai peringkat antarabangsa termasuk kejohanan dunia, oleh demikian seharusnya kita menunjukkan solidariti menyokong segala pengorbanannya selama ini dalam menaikkan nama negara di mata dunia.

Namun apa yang penting, kita harus terus memberi sokongan moral kepada Datuk Azizulhasni untuk bergerak kehadapan kerana apa yang terjadi sudah pun terjadi dan tidak boleh diubah lagi.

Moga beliau mampu bangkit daripada kekecewaan dengan segera dan terus bangkit meraih kejayaan dalam pelbagai pertandingan lain selepas ini. - KitaReporters


9
14
0
17
0
You will be interested