Jumlah kutipan yang diperoleh itu dinyatakan oleh Ungku Ismail dalam ruangan Instagramnya.
Menurut Ungku Ismail, dana yang dikutip menerusi akaun Pertubuhan Kebajikan As-Sidiq itu dibahagikan kepada beberapa bahagian termasuk pascarawatan bagi membantu perbelanjaan Nad sepanjang tempoh berehat daripada sebarang penggambaran.
Sebanyak tiga peratus hasil kutipan akan diberi kepada Persatuan Kebajikan As-Sidiq, kata Ungku Ismail dalam sebuah video Instagram.
Sumbangan untuk derma kepada badan kebajikan, pusat tahfiz dan golongan memerlukan adalah sebagai sebahagian cara pemulihan Nad.
"Dalam hadis juga ada menyebut sedekah sebagai satu cara ikhtiar ketika sakit. Jadi dengan duit itu ia telah diinfaqkan atas nama Nad kepada rumah tahfiz, masjid dan golongan yang memerlukan,” kata Ungku Ismail.
Pelakon ini turut memberitahu, pihak keluarga turut melakukan rawatan secara Islam sejak hari kedua Nad dimasukkan ke hospital. Ini termasuk memberi air zam zam dan meminta pusat tahfiz melakukan doa selamat.
Berkongsi perkembangan pemilik nama penuh Farah Nadia Zainal Abidin itu, Ungku Ismail memberitahu rakan artisnya itu masih dalam proses pemulihan.