Hanya kira-kira lima bulan sahaja lagi, tirai tahun 2025 bakal berlabuh namun persiapan ke arah sambutan ambang tahun baharu (New Year Eve atau NYE) sudah mula dirancang di mana antara yang terawal mengumumkannya adalah kolaborasi antara syarikat rakaman Universal Music Malaysia dan Hotel Le Meredien Petaling Jaya.
Iya, bersiap sedialah untuk menikmati sebuah malam yang bakal mengukir kenangan indah dan membuai emosi, kerana dua pasangan bintang sensasi Malaysia, Ernie Zakri dan Syamel, akan memimpin sambutan ambang tahun baharu dalam konsert eksklusif berjudul ‘Nostalgia: NYE Concert’ (Nostalgia: Konsert Ambang Tahun Baharu).

Persembahan yang dinanti-nantikan ini bakal berlangsung pada 31 Disember 2025 di Grand Ballroom Le Méridien Petaling Jaya waima ia adalah jemputan untuk seluruh jiwa yang ingin meraikan permulaan baharu dengan untaian melodi dan bait lirik yang menyentuh kalbu, dibawa khas oleh suara-suara emas yang sentiasa memukau.
Malam ‘Nostalgia’ penuh elegan ini yang bakal disulam dengan kehebatan vokal Ernie Zakri dan Syamel, dijangka akan memukau penonton menerusi persembahan selama tiga jam, merangkumi rangkaian lagu-lagu hit dan klasik yang membangkitkan emosi serta kenangan.
Setiap nota lagu akan berbicara, setiap lirik akan menyentuh, membangkitkan nostalgia yang indah dalam sanubari.
Lebih istimewa, menjelang detik 12 malam, DJ Fuzz akan mengambil alih pentas, menghidupkan suasana dengan set muzik yang penuh bertenaga, menandakan kedatangan tahun baharu 2026 dengan sorakan kegembiraan dan harapan.

Ernie Zakri, 33, atau nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri, dengan penuh keyakinan menyatakan bahawa ‘Nostalgia’ melampaui sekadar makan malam, ia adalah janji untuk persembahan yang tiada tandingannya.
“Saya amat menantikan peluang untuk bersama peminat dalam suasana yang begitu eksklusif dan peribadi.
"‘Nostalgia’ ini bukan sekadar konsert, ia adalah malam yang membolehkan saya berkongsi kenangan, emosi dan suara hati saya secara langsung kepada semua tetamu yang hadir.

“Persembahan pada acara ini diharap dapat meninggalkan momen yang akan dikenang sampai bila-bila. Semoga yang hadir dapat merasai apa yang saya rasakan dan membawa pulang memori indah,” kata Ernie pada majlis sidang media ‘Nostalgianya Konsert’ yang berlangsung di Le Meredien Petaling Jaya pada 30 Julai 2025.
Turut bersamanya tentulah suaminya, Syamel, DJ Fuzz serta Pengurus Besar Le Méridien Petaling Jaya, Christopher Moore.
Berkongsi lanjut Syamel, 32, meluahkan rasa tidak sabarnya untuk menyumbangkan persembahan terbaiknya pada malam ‘Nostalgia’ itu.
“Sebagai seorang penghibur, tiada yang lebih bermakna daripada mengakhiri tahun dengan mereka yang menghargai muzik saya,” kata pemilik bernama sebenar Syameel Aqmal Mohd Fodzly ini.
Baginyal, ‘Nostalgia’ adalah pentas untuknya melakar rasa syukur, sekali gus berjanji akan memberikan yang terbaik pada malam yang bersejarah itu.
“Sebagai seorang penghibur, tiada yang lebih bermakna daripada mengakhiri tahun dengan mereka yang menghargai muzik saya. ‘Nostalgia’ adalah pentas untuk saya merakamkan rasa syukur, dan saya janji akan berikan yang terbaik malam itu,” akhiri Syamel.

Sementara itu, Christopher Moore (gambar bawah) berkata, ‘Nostalgia’ bukan sekadar sambutan tahun baharu, ia adalah penghormatan kepada muzik sepanjang zaman, momen bermakna dan hospitaliti bertaraf dunia.
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Universal Music Malaysia dalam mencipta pengalaman eksklusif yang mengangkat semangat perpaduan dan kegembiraan menyambut permulaan baharu,” ujarnya.
Menurutnya, para tetamu akan dimanjakan dengan hidangan premium Barat yang direka khas oleh pasukan kulinari Le Méridien Petaling Jaya, melengkapkan malam magis yang menyatukan irama, rasa, dan memori.
Jom! bersama-sama mencipta memori abadi dan menyambut tahun 2026 dengan semangat yang membara. - KitaReporters
