Dia juga, katanya, akan cuba berlakon di Filipina dan kini sedang mempelajari dan menguasai bahasa Tagalog.
Pemilik nama sebenar Muhammad Amir Sabaruddin ini tertarik dengan suasana aman pulau itu sejak datang buat pertama kali ke pulau kecil itu dan membuat keputusan berhijrah pada Mei 2025.
Dia menjual sebahagian hartanya di Malaysia dan membina rumah, chalet dan menjalankan perniagaan makanan dan minuman dengan membuka restoran makanan Islam dikenali sebagai Rasa Siargao dan membeli tanah untuk dijadikan ladang.
Dan hatinya untuk terus tinggal di pulau itu semakin membara apabila hatinya telah dicuri seorang gadis di pulau itu.

Apabila gadis ini tergerak hati untuk mengubah agamanya lalu Ben menguruskan pengislaman kekasihnya di pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 12 November 2025.
Mulai tarikh itu gadis bernama Heyitsmaiyaa itu kini dikenali sebagai Liana Alara. Nama itu dipilih Ben yang membawa maksud tenang dan cahaya.Ben dan Liana memuatkan foto pengIslaman itu dalam media sosial masing-masing.

Heyitsmaiyaa atau Liana Alara mengucapkan kalimah di pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Ben dalam Instagramnya turut memberi ucapan semangat kepada Liana. “Welcome to Islam. Take your time, learn slowly, enjoy the beauty, and know you’re never alone.
"Much love & may Allah always protect you. May this journey bring you closer to peace, purpose, and your true self.”
Liana akan membantu Ben menguruskan perniagaannya. Sementara Ben akan kembali ke Malaysia jika ada tawaran berlakon.
Bagi Ben lakonan adalah minatnya dan baginya cukup jika menerima tawaran berlakon dalam sebuah filem dan dua drama TV dalam setahun di mana setiap projek tidak melebihi dua bulan.
Ben juga cuba mendapat peluang berlakon di Filipina dan kini sedang mempelajari dan menguasai bahasa Tagalog untuk tujuan itu.
Setelah beberapa hari tinggal di Kuala Lumpur untuk bertemu dengan anggota keluarga, Ben dan Liana kembali ke Pulau Siargao.

Heyitsmaiyaa atau Liana Alara melahirkan kesyukuran setelah memeluk Islam dalam Instagramnya.
Menyentuh mengenai perkahwinan, Ben merancang pada masa terdekat sama ada tahun ini atau paling lewat tahun depan.
Bagi Ben dia sudah memperoleh satu kepuasan kerana berjaya memujuk kekasihnya memeluk Islam dan kini ke arah menjadi pasangan suami isteri yang sah.
Antara filem terbaharu Ben Amir ialah 'Legasi Bomba The Movie' yang mula ditayang pada 21 Ogos 2025 lalu. - KitaReporters