Seni & Sukan 06 Oct, 2025

Video| Hajat nak tonton? 3 Hajat gandingkan 3 pelakon hebat! Hanya hati kering tak sebak menonton!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Dunia perfileman tempatan sekali lagi menerima suntikan segar dengan kemunculan naskhah terbaharu berjudul ‘3 Hajat’, yang mula ditayangkan pada 2 Oktober 2025 di 70 buah pawagam, hasil kerjasama antara KRU Studios dan Astro Shaw arahan pelakon dan pengarah prolifik, Zul Huzaimy.



Sejujurnya, Kak Fas kini dah kurang atau pun jarang memenuhi undangan pratonton filem tetapi judul ‘3 Hajat’ menyuntik hajat untuk menontonnya apatah lagi ia diterajui pelakon veteran yang dah lama juga Kak Fas tidak temui, Eman Manan serta pengarahnya, Zul Huzaimy, seorang pelakon yang pertama kali Kak Fas mendekatinya kala beliau berlakon dalam filem ‘Impak Maksima’  (2007), yang turut menjadi judul ruangan penulisan Kak Fas dalam KitaReporters ini.

“Impak Maksima’ juga buku pertama tulisan Kak Fas terbitan FINAS waima ketika itu belum ada lagi sebuah pembikinan filem mengenai aksi ‘pemotoran gaya ‘drift’, jadi Kak Fas mendapat tawaran  untuk menulis ‘Di sebalik Penggambaran Impak Maksima,’ yang diarahkan oleh Ahmad Idham (Dr).

Sewaktu itu, filem sekuel Hollywood; seperti ‘The Fast & Furious: Tokyo Drift’ (2006) cukup popular dan menambat jutaan penonton sehingga memperoleh pungutan box office US$159 juta seluruh dunia berbamding kos pemibikinannya sekitar US$85 juta. 


Lakonan Eman Manan dan Amerul Effendy sama mantap.


Jadi tarikan utama untuk menonton ‘3 Hajat” selain ingin menyaksikan  arahan Zul Huzaimy serta lakonan mantap Eman Manan, ia ditambah dengan hasrat ingin menyaksikan gandingan, Amerul Effendy, seorang pelakon yang tidak kurang hebat lakonannya. 

Inilah sebenarnya ‘3 pelakon hebat’ yang boleh diibaratkan sebagai 'besi berani' untuk membawa penonton ke pawagam bagi menyaksikan  ‘3 Hajat’ apatah lagi ia mengangkat tema kasih sayang seorang ayah dan anak, dengan latar budaya dan keindahan negeri Terengganu Daul Iman.

Barangkali jika filem ini ditayangkan pada bulan “Hari Bapa’ pada Jun 2025 lalu lebih cantik dan lebih bermakna apabila anak membawa ayah ke pawagam bersama waima filem ini khabarnya sudah lama dirancangkan, namun berdepan pelbagai cabaran dan terpaksa ditunda kerana pandemik selain menunggu persetujuan dan kelapangan jadual pelakon utamanya, Eman Manan.

“Bagi saya hanya Eman Manan yang ada dalam bayangan untuk menerajui filem ini,” ujar Penerbit Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim sewaktu majlis pratonton di Dadi Sinema Pavilion Bukit Bintang pada 30 September 2025 yang turut dihadiri Ketua Penjenamaan dan Pengedaran Filem, Astro Shaw, Norsalvina Alwee serta Eman Manan, Zul Huzaimy serta penulis skripnya. Muzzamer Rahman.


Dari kiri: Muzzamer Rahman, Eman Manan, Norsalvina Alwee, Norman Abdul Halim dan Zul Huzaimy di majlis pratonton '3 Hajat' di Dadi Sinema baru-baaru ini.


Menurut Norman, selain berlakon, Eman Manan banyak membimbing dari segi penjiwaan watak sehinggalah butiran kecil yang membentuk karekter masing-masing termasuk memberi input tentang dailek Terengganu, negeri kelahirannya, supaya hasilnya nampak lebih hidup.

Dan, secara jujurnya, Norman memberitahu kisah di sebalik ‘3 Hajat’ bukan sekadar kisah fiksyen tetapi satu perjalanan peribadi baginya.

“Saya bukan nak bercerita tentang penjara seperti dalam filem, tetapi tentang rasa. Ia adalah hubungan ayah dan anak. 

"Ada momen-momen dalam filem ini yang saya sendiri lalui. Saya mahu filem ini menjadi refleksi kasih sayang universal yang boleh dirasai semua orang, sama ada sebagai seorang ayah atau seorang anak. 

"Beberapa kali menontonnya, saya tetap rasa sebak dan saya pasti penonton akan merasainya, jika tidak, tentu dia seorang yang hatinya kering.” ujar Norman.

Kak Fas setuju dengan pandangan Norman, walau pun Kak Fas rasakan dari segi perjalanan filem ini agak ‘slow’ sedikit tetapi ada babak babak tetentu yang akan menyentuh perasan sehingga tanpa disedari menitiskan airmata.

Jika tak sebak memang Kak Fas setuju orang tu hatinya ‘kering’ atau pun jiwanya keras.


Salah sebuah babak antara Eman Manan dan Zul Huzaimy yang turut brtlakon disamping menjadi pengarah.


Bagi Eman Manan pula, skrip ‘3 Hajat’  menyentuh perasaan sejak kali pertama dibacanya. 

“Saya tertarik kerana cerita ini bukan sekadar hubungan seorang anak dan ayah, tetapi juga gambaran kasih sayang dalam masyarakat secara keseluruhan. 

"Dialek Terengganu yang digunakan memberi cabaran tersendiri, namun di situlah terletak keindahan dan keaslian cerita. Saya percaya filem ini akan memberi makna mendalam kepada penonton,” katanya.

Tidak syak lagi, tarikan utama filem ini bukan sahaja terletak pada lakonan mantap tetapi skrip yang bersahaja dan menepati jalan cerita. 

Ada yang tersirat dari yang tersurat dan mencuit hati seperti siapa makan cili terasa pedasnya tetapi tetap menghiburkan  walaupun penyampaiannya kedengaran sinikal.

“Saya cuba membayangkan diri saya dalam situasi ayah yang semakin lemah tetapi masih mahu jadi pelindung. Saya percaya, ramai penonton akan melihat bayangan ayah mereka sendiri dalam watak ini,” sambung Eman.

Apapun meneliti tajuknya, Kak Fas percaya ‘3 Hajat’ sekali gus membawa penonton ke bayangan kematian cuma pengakhirannya akan membawa mereka terfikir kenapa perlu ke laut di tengah-tengah malam sewaktu ribut dan laut bergelora.

Menurut Zul Huzaimy, idea utuk mengetengahkan pengakhiran yang lebih sinematik lahir daripada perbincangan bersama di mana Norman mahu menampilkan penutup cerita yang lebih segar dan bukan klise seperti ending drama biasa.

“Sebab itu penutup cerita ini tampil berbeza daripada kebiasaan,” ujar Zul sambil memaklumkan beliau sendiri turun ke laut bagi sendiri cara menangkap ikan malah berhadapan ribut pada waktu malam.



Dan rupanya jawapan pada persoalan yang Kak Fas ketengahkan tadi mengenai kenapa ke laut waktu malam ribut sedangkan bahaya, jawab Zul, “pada waktu malam ributlah timbulnya lebih banyak ikan. Hakikatnya, itulah jiwa seorang nelayan. Mereka tetap turun demi rezeki, demi keluarga dan demi anak-anak.”

Sambung Norman, beliau sendiri baharu faham dan maklum kenapa para nelayan keluar malam walaupun bahaya. 

“Itulah hajat yang sebenarnya, panggilan hati seorang ayah untuk menjaga keluarganya,” akhiri Norman.


Filem ini mencipta sejarah apabila ia turut diraikan menerusi Malam Gala Tayangan Diraja pada sebelah malamnya dengan keberangkatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah serta Sultanah Nur Zahirah. 

Turut berangkat, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu. Tengku Muhammad Ismail ibni Sultan Mizan Zainal Abidin.


Tidak dinafikan lagi, filem yang menelan belanja lebih kurang RM1 juta berlatarkan perkampungan nelayan di Terengganu ini menjadi ruang pembelajaran bagi barisan produksi sendiri termasuk Kak Fas. 

Baharu tahu bila ribut melanda lebih banyak ikan akan timbul rupanya dan sebab itu nelayan turun ke laut.

Apapun, bagaimana kesudahannya hidup si anak yang baharu nak merasa bahagia disayangi ayah yang selama ini disangka tidak memperdulinya?

Nak tahu bagaimana impaknya filem ini kepada anda khususnya yang masih ada ayah atau pun yang sudah tidak berayah tetapi dah menjadi ayah atau bakal menjadi ayah, kenalah tonton di pawagam ya tak?

Yang pasti, dengan pengisian emosi yang mendalam, sinematografi yang indah, lakonan penuh jiwa, serta kehadiran nama besar seperti Eman Manan, ‘3 Hajat’ diyakini bakal menjadi salah satu karya rujukan penting dalam industri filem negara. - KitaReporters


Kak Fas (kanan) sempat bertemu Zul Huzaimy bersama rakan media, Azura ketika pratonton '3 Hajat' baru-baru ini.

16
16
0
10
0
You will be interested