FAM bangsat!
Bunyinya agak keterlaluan tapi itulah kemuncak kemarahan penyokong bola sepak tempatan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran skandal tujuh pemain warisan yang mencemar nama Malaysia di mata dunia.

KAIN rentang yang dikibarkan oleh Ultras Malaya ditujukan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia.
Rasa marah itu diekspresikan menerusi kain rentang yang dikibarkan oleh penyokong semasa Malaysia menentang Nepal pada aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, 18 November 2025 lalu.
Ia ekoran pendedahan terbaharu Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi alasan bertulis setebal 64 muka sebagai justifikasi penolakan terhadap rayuan FAM yang diumumkan pada 3 November, 2025 lalu.
Menerusi dokumen pada laman rasmi mereka, FIFA memperinci kesalahan dilakukan FAM yang membawa kepada pengekalan hukuman yang dijatuhi oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September, 2025.
FAM didenda sebanyak 350,000 Swiss franc (RM1.8 juta) sementara tujuh pemain warisan yang terbabit dalam skandal itu masing-masing didenda 2,000 Swiss franc (RM10,600) serta digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama 12 bulan.

FIFA memperincikan hasil sisatan mereka ke atas FAM menerusi dokumen 64 muka surat.
Tujuh pemain warisan itu adalah Gabriel Arrocha, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal dan Hector Hevel.
Penjelasan terperinci FIFA itu cukup untuk memberi pukulan KO kepada FAM yang masih berusaha menegakkan benang basah.
Apa yang didedahkan oleh badan induk dunia itu secara terang-terangan menunjukkan FAM menipu semasa membuat permohonan untuk mendaftar tujuh pemain warisan itu.
Paling memalukan apabila FIFA membuktikan FAM memalsukan sijil kelahiran pemain warisan berkenaan membabitkan rekod rasmi empat negara- Argentina, Brazil, Sepanyol dan Belanda.

Kredit: Harimau Malaya.
Sebagaimana ditegaskan oleh FIFA, kesalahan itu bukan sekadar melanggar peraturan bola sepak tetapi juga merupakan satu perbuatan jenayah pemalsuan dokumen kerajaan luar negara.
Justeru, FIFA menggesa persatuan bola sepak negara asal pemain-pemain berkenaan supaya membuat laporan polis. Malah, badan induk dunia itu menegaskan, ia akan mempertimbang langkah tambahan jika tiada tindakan undang-undang diambil oleh negara asal.
FIFA turut mengarahkan FAM melakukan siasatan terperinci berhubung isu pentadbiran sekretariat badan induk itu serta status tujuh pemain berkenaan dan seterusnya mendedahkan dalang sebenar yang memalsukan dokumen tersebut.

Namun, walaupun bukti-bukti dinyatakan FIFA amat jelas, FAM nampaknya belum mahu mengaku salah atau kalah sebaliknya akan membawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Sikap ‘keras kepala’ serta ego FAM inilah yang mencetuskan kemarahan penyokong sehingga tergamak mereka mengungkapkan ‘FAM Bangsat’.
Bagi mereka "ekor Harimau Malaya" ini, adalah lebih baik badan induk bola sepak negara itu mengaku kesilapan serta bergerak ke hadapan dengan memberi tumpuan membina semula skuad Harimau Malaya.
Penulis sendiri berpendapat, walaupun FAM mempunyai hak untuk membawa kes ke CAS, namun soalnya adakah mereka mempunyai asas yang kukuh untuk menyokong rayuan itu.

MALAYSIA kini menduduki ranking 116 dunia selepas menewaskan Nepal 1-0.
Apa yang membimbangkan, sikap lawan tetap lawan FAM terhadap FIFA akan membawa musibah lebih besar kepada badan induk itu dan bola sepak Malaysia jika keputusan CAS kelak tidak memihak kepada kita.
Kemungkinan yang tidak boleh kita ketepikan adalah FIFA mengenakan hukuman lebih berat seperti penggantungan ke atas FAM, sekali gus akan melumpuhkan, bukan saja skuad Harimau Malaya malah bola sepak Malaysia secara keseluruhannya.
Sewajarnya FAM mempertimbang semula keputusan mereka tapi jika sudah nekad, seharusnya juga mereka perlu bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan.
Sebagaimana pernah penulis tegaskan, jika jalan yang dipilih ini (membawa ke CAS) tidak menyebelahi kita, maka sewajarnya seluruh kepemimpinan FAM mengambil tanggungjawab dengan meletak jawatan secara terhormat.

Penulis juga berharap dalang sebenar di sebalik skandal yang berlaku ini berani tampil mengaku kesalahan, bertanggungjawab dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya penyokong bola sepak.
Kata orang ‘jika tangan berani mencincang, bahu mesti sanggup memikul’ dan ‘berani buat, berani tanggung’!
Semoga episod hitam ini menjadi pengajaran kepada kita semua bahawa tiada jalan pintas untuk berjaya. Kejayaan tidak boleh dibeli tapi perlu diusahakan! - KitaReporters