
Bermula bulan Oktober 2025 hingga Januari 2026, setiap malam Ahad peminat hiburan akan tertumpu di depan TV menonton pertandingan itu.
Jika tidak menonton melalui saluran berbayar Astro, masih ramai yang mengikutinya melalui saluran YouTube. Ini kerana ada pihak yang membuat siaran langsung dengan disambung dari siaran TV berbayar Astro.
Ketika banyak pertandingan kini menerima undian orang ramai, namun GV tetap menggunakan kaedah penjurian oleh tiga pakar dalam bidang muzik.
Jadi kemenangan peserta bukan bergantung kepada populariti, sebaliknya berdasarkan kebolehan menyampaikan pelbagai genre lagu.

Pertandingan Gegar Vaganza 12 (GV12) sudah sampai ke kemuncaknya. Pertandingan akhir akan berlangsung pada malam Ahad, 18 Januari 2026.
Pelbagai ramalan dibuat, siapa yang bakal juara bagi merebut hadiah wang tunai RM100 ribu. Adakah akan kembali berlaku dua juara seperti yang berlaku dalam GV6 (2019). Ketika itu juara bersama antara Hady Mirza (Singapura) dan Naqiu Boboy.
Ketika dalam GV6 apabila diumum dua juara serentak, berlaku ketidakpuasan penonton. Ada yang tidak kena. Seperti ada sesuatu yang berlaku dalam pemberian markah.
Takkanlah ketiga-tiga juri mempunyai markah yang sama?


Masing-masing memperlihat kemampuan prima pada peringkat separuh akhir. Dan Mark Adam dianggap kuda hitam yang mampu memberi kejutan.
Tumpuan terarah kepada peserta dari Singapura, Iskandar Ismail dan Nubhan untuk menjadi juara. Iskandar merupakan anak penyanyi veteran AR Ismail, sementara Nubhan adalah pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia Musim 6 (AF6) pada 2008,
Kumpulan Mendua dari Indonesia memperlihat keupayaan mereka menyampai lagu secara berharmoni dengan baik. Mereka merupakan peserta berkumpulan terbaik pernah dihantar Indonesia untuk GV.


Namun Mark Adam untuk menjadi juara bukan mustahil. Guru vokal ini selain mempunyai kawalan suara yang baik turut memberi perhatian kepada gaya persembahannya bagi menjadikan persembahannya bertenaga.
Mark Adam atau nama penuhnya Fikri Mark Adam Abdullah, 46, masih warganegara Filipina walaupun sudah berada di Malaysia sejak 2001 dan berkahwin serta mencari makan sebagai insan seni di Malaysia dan pemegang status pemastautin tetap.


Nasib keenam-enam peserta ini ditentukan tiga juri tetap iaitu ketua, Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafina Selamat.
Pertandingan dihos oleh Nabil Ahmad dan Sherry AlHadad. - KitaReporters
