Seni & Sukan 17 Jul, 2024

Enggan dedah sebab berhenti! Sangat bahaya! Hamidin tahu semuanya! Tak perlu tanya lagi! - Pan-gon

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

KIM Pan-gon (tengah) menjawab soalan wakil media dalam sidang media khas pengumuman peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya di Wisma FAM pada 16 Julai 2024. - Kredit foto: FAM


KIM Pan-gon mengundur diri daripada jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya mulai 16 Julai 2024 – ‘kerusi panas’ yang disandangnya sejak menewaskan Filipina 2-0 pada 23 Mac 2022 dalam Siri Tiga Negara FAS di Singapura. 

Hanya menyatakan atas alasan peribadi, warga Korea Selatan ini mengumumkan peletakan jawatan berkenaan berkuat kuasa serta-merta pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada pukul 2 petang.  

Sidang itu dihadiri Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi yang turut mengumumkan penolong ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente dari Sepanyol dinaikkan sebagai pemangku ketua jurulatih.  

Skuad negara yang kini di ranking ke-138 dunia, akan menghadapi Pestabola Merdeka Ke-43 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 2 hingga 10 September 2024 yang disertai juara bertahan, Tajikistan, Lebanon dan Filipina. 



"Pan-gon telah berjumpa dengan pihak pengurusan FAM beberapa kali bagi menyatakan hasrat beliau untuk memendekkan tempoh kontraknya yang patut berakhir Disember 2025.

"Kami cuba memujuknya mempertimbang semula hasrat itu tetapi pada akhirnya, menghormati keputusannya dan bersetuju melepaskan secara persetujuan bersama,” kata Yusoff yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kebangsaan FAM. 

Beliau menyifatkan keputusan Pan-gon sebagai satu berita mendukacitakan setelah jurulatih berusia 55 tahun itu membantu Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023/2024 di Qatar – kali pertama secara merit sejak 1980, melonjak dari ranking ke-154 pada 10 Februari 2022 ke yang tertinggi, ke-130 pada 21 Disember 2024. 

Selain Vicente, 41, FAM masih mengekalkan khidmat E. Elavarasan sebagai penolong ketua jurulatih negara di samping empat rakan senegara Pan-gon - Park Bo-bae (penolong jurulatih), Cho Jun-ho (jurulatih penjaga gol), Park Ji-hyeon (jurulatih kecergasan) dan Lim Jae-hun (juruanalisis prestasi).

“FAM akan menilai prestasi semasa Pau bersama pasukan negara terutama pada Kejohanan ASEAN 2024 (dari 23 November hingga 21 Disember 2024) dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 mulai 25 Mac 2025,” katanya lagi. 


TUGAS Kim Pan-gon akan dipangku oleh Pau Marti Vicente (tiga dari kanan) dan dibantu anak tempatan, E. Elavarasan (kanan). Cho Jun-ho (kiri), Park Ji-hyeon dan Park Bo-bae (tiga dan empat dari kiri). - Kredit foto: FAM


Kata Pan-gon, dua setengah tahun berkhidmat di Malaysia merupakan satu tempoh perjalanan yang indah dan luar biasa dalam hidupnya terutama dengan kejayaan layak ke Piala Asia menerusi kelayakan Kumpulan E di Bukit Jalil pada 14 Jun 2022. 

Harimau Malaya turut mengikat pasukan negara asalnya yang digelar Wira Taegeuk 3-3 di ranking ke-22 dunia dalam Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub, Al Wakrah, Qatar pada 25 Januari 2024, sekalipun tersingkir awal dalam Kumpulan E kerana ditumpaskan Jordan 4-0 dan Bahrain 1-0. 

"Saya telah memutuskan untuk berundur sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia atas sebab peribadi. Saya memohon maaf atas sebarang kekecewaan yang mungkin menjejaskan semua pihak. 

Akui Pan-gon, dia kecewa kerana Harimau Malaya gagal layak secara automatik ke Piala Asia 2027 menerusi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 daripada Kumpulan D dengan kutipan 10 mata di belakang Oman dan Kyrgyzstan serta mengatasi Taiwan.

"Butiran lanjut mengenai keputusan ini (peletakan jawatan) tidak boleh saya kongsikan di sini. Sangat bahaya. Datuk Hamidin (Amin, Presiden FAM) tahu semuanya tetapi tak perlu tanya dia lagi. Semua sudah selesai," tegasnya.


YUSOFF Mahadi (kiri) mendengar teliti Kim Pan-gon menjawab soalan wakil media dalam sidang media khas di Wisma FAM. Kanan ialah Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram. - Kredit foto: FAM


“Dengan tiga kemenangan, satu seri, dua kekalahan, kita telah menyediakan satu asas dan momentum bagi menyemai harapan untuk masa depan bola sepak Malaysia yang cerah

"Sokongan Ultras Malaya (peminat setia) sentiasa menjadi perangsang besar tugas saya mahupun kerajaan Malaysia menerusi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh,” katanya. 

"Harapan saya, FAM, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan dan dorongan kepada pasukan negara bagi mencapai matlamat seterusnya iaitu layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut.

"Kini sebagai 'separuh' warga Malaysia, saya akan sentiasa menyokong pasukan bola sepak Malaysia dan berbangga dengan Malaysia ke mana sahaja saya pergi," jelas bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) dari 2018 hingga 2022 serta ketua jurulatih Hong Kong, 2012-2017 dan 2009-2010 ini.

"Saya sentiasa akan kenangi rakyat Malaysia yang menawan, sopan  dan mesra serta bau dan rasa durian yang saya gemari," akhir kata Pan-gon. - KitaReporters


HARIMAU Malaya menewaskan Taiwan 3-1 di Bukit Jalil namun gagal mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 antara yang mungkin mempengaruhi keputusan mendadak pengunduran Kim Pan-gon. - Kredit foto: FAM 


KOLEKSI KEPUTUSAN HARIMAU MALAYA BERSAMA KIM PAN-GON:

* Tidak termasuk perlawanan praktis dan tertutup menentang Albirex Niigata 3-0 di Singapura (2022) dan Syria 2-2 di Doha (2024)

Perlawanan: 34

Menang: 20

Seri: 4

Kalah: 10

Jaringan: 63

Bolos: 39

Kemenangan terbesar: Mengalahkan Papua New Guinea 10-0 pada perlawanan antarabangsa tahap 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 20 Jun 2023. 

Kekalahan terbesar: Kepada Jordan 4-0 pada 15 Januari 2024 dalam Kumpulan E Piala Asia 2023/2024 di Stadium Al Janoub, Al Wakrah, Qatar. 

Perlawanan pertama: Mengalahkan Filipina 2-0 pada 23 Mac 2022 dalam Siri Tiga Negara FAS di Stadium Nasional, Singapura. 

Perlawanan terakhir: Mengalahkan Taiwan 3-1 pada 11 Jun 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Kumpulan D. 


KIM Pan-gon (barisan tengah, lima dari kanan) meraikan kejayaan Harimau Malaya layak ke Piala Asia kali pertama secara merit sejak 1980 selepas muncul naib juara Kumpulan E kelayakan dengan menewaskan Bangladesh 4-1. - Kredit foto: FAM


MENGEKANG Korea Selatan 3-3 dalam Kumpulan E Piala Asia di Qatar pada 25 Januari 2024 menerusi jaringan Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Romel Morales antara pencapaian terhebat Harimau Malaya di bawah pengendalian Kim Pan-gon (baju putih). - Kredit foto: FAM

10
11
0
11
0
You will be interested