.

Shiha Zikir, 37, adalah antara sebahagian insan seni yang menjalankan perniagaan selain tetap aktif dalam kegiatan seni lain seperti nyanyian dan lakonan.
Memilih perniagaan bidang makanan, Shiha sejak 2023 membuka restoran dikenali sebagai Shiha Zikir Nasi Ayam. Lokasi pertamanya di Wisma Infinitum, Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kampong Bharu, Kuala Lumpur. Sementara lokasi kedua dibuka di Jalan Plumbum P7/P,Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Bagi yang pernah menikmatinya akan memuji nasi ayam di samping mi hailam dan mi hokkian yang dijual. Makanan-makanan itu juga boleh ditempah melalui dalam talian.

Pemilik nama lengkap Nurshiha Mohd Zikir ini pernah mendakwa disihir sehingga membuat ramai yang ingin ke restorannya melihat ia ditutup sedangkan hakikatnya sedang dibuka. Tiga bulan selepas memulakan perniagaan di Kampong Bharu, kedainya dipecah masuk.
Dan terbaharu, Shiha menerima satu lagi dugaan dalam perniagaannya. Pekerja di Restoran Shiha Zikir di Kampong Bharu menerima panggilan telefon daripada individu pada Khamis 8 Mei 2025 yang membuat tempahan 150 bungkus nasi ayam serta minuman dan akan mengambil pada keesokan harinya.
Dakwa Shiha, pekerjanya seperti dipukau dengan mudah menerima tempahan itu. Sedangkan selama ini tempahan perlu dibuat dengan bayarannya terlebih dahulu secara dalam talian.
Pesanan set nasi ayam serta air itu bernilai RM2,250. Dan pada Jumaat. 9 Mei 2025, individu itu tidak muncul.

Merasa tertipu dan bagi mengelakkan nasi ayam itu membazir, Shiha mengambil langkah sedekahkan 150 bungkusan itu kepada pelanggannya yang datang ke restorannya. Kesemuanya habis disedekah selepas sejam Shiha memuat naik berita itu dalam Instagramnya.
Shila berharap langkahnya bersedekah itu akan memberi berkah untuk perniagaannya.

Shila yang mula bergat dalam aktiviti seni pada 2005 selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan meninggalkan kampungnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan berhijrah ke Kuala Lumpur.
Bagi mengasah bakat nyanyiannya, Shiha menyertai beberapa pertandingan popular seperti Akademi Fantasia musim ke-3 (AF3) terbitan Astro pada 2005 dan Mentor musim ke-5 terbitan TV3 pada 2011. Pada Julai 2019, Shiha menyertai pula Muzikal Lawak Superstar di Astro Warna.
Shiha memperkembang bakatnya dalam bidang lakonan dengan berpeluang berlakon dalam beberapa judul filem dan drama TV. Shiha juga pernah menjadi DJ di Radio ERA.
Kejayaan paling besar Shiha apabila berganding dengan adiknya Ieda Zikir menjuarai program realiti TV3 Famili Duo musim ke-4.

Satu demi satu kejayaan dalam hidup sudah tercapai, Namun tanda tanya peminat bila Shiha akan menamatkan zaman bujangnya?
Shiha yang dikatakan seiras dengan penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Sri Rossa, sudah 15 tahun bercinta dengan Kamarul Arifin Baharun lebih dikenali sebagai Arul yang kini menjadi pengurusnya. Namun masih tiada bayangan ke arah penyatuan. Mungkinkah sebelum usianya 40 tahun? - KitaReporters

Shiha bersama teman lelakinya Arul