.
Kurang dua minggu lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut Syawal yang dijangka jatuh pada hujung Mac 2025 nanti. Biasalah… kalau lagi dua minggu menjelang hari raya, lagu-lagu raya sudah mula berkumandang.
Sana-sini orang berlumba-lumba pasang lagu raya tidak kira yang baharu atau lama. Walaupun lagu baharu dengan genre terkini diterbitkan tetapi lagu lama yang membuai dan mengusik kalbu itu tidak pernah dilupakan.
Paling meriah bila ‘on’ sahaja radio, ‘mood’ raya sudah tiba… mana tidaknya selang beberapa jam lagu raya ke udara buat santapan halwa telinga pendengar memang terasa raya semakin hampir.

Terbaharu, penyanyi seberang dari Indonesia yang cukup terkenal di Malaysia dan sinonim sebagai juri Gegar Vaganza, bonda Hetty Koes Endang mengeluarkan lagu baharu sempena hari raya tahun ini (2025) bersama anaknya Afifah Yusuf.
Ini merupakan kolaborasi pertama mereka dalam menerbitkan lagu,
lebih-lebih lagi sempena hari raya. Lagu berkenaan diberi judul ‘Tradisi Hari
Raya’ atau singkatannya THR, menggambarkan kemesraan dan kenangan indah pada hari
raya.
Dilancarkan secara rasmi pada 7 Mac 2025 melalui saluran YouTube Musica Studios sempena bulan Ramadan dan kini sudah boleh didengari di pelbagai platform muzik digital mulai 14 Mac 2025.
Merujuk kepada laman sesawang Liputan6.com, Jakarta, pelantun lagu ‘Berdiri Bulu Romaku” dan anak perempuannya itu begitu bersemangat melahirkan lagu ini, mereka ingin meraikan detik itu dengan cara unik yang mana lagu berkenaan diilhamkan daripada detik-detik istimewa berlaku sepanjang Aidilfitri.
Hetty (kanan) dan anaknya Afifah Yusuf.
Tidak cukup dengan itu, liriknya juga diselitkan dengan menggambarkan pelbagai hidangan wajib pada hari raya dan interaksi tipikal dalam sebuah keluarga seperti persoalan yang sering timbul, "Bila nak kahwin?" atau "Mengapa anda menjadi gemuk?"… pendek kata lagu ini menghadirkan rasa nostalgia pada telinga pendengar.
Walaupun sesetengah orang mungkin terganggu dengan soalan ini, perbualan seperti ini sebenarnya adalah sebahagian daripada tradisi yang tertanam dalam budaya kita.
Artikel di laman itu juga melaporkan, penyanyi yang mempunyai nada suara tinggi itu berharap dapat menyampaikan mesej bahawa inti pati sambutan hari raya adalah kebersamaan dan kemesraan dalam keluarga, bukan sekadar kemewahan material yang sering menjadi tumpuan utama.
Ujar Hetty lagi, ada benda lain lebih bermakna daripada itu, bersama keluarga dan saling memaafkan adalah sesuatu yang jauh lebih berharga.
Penghasilan lagu ini berlangsung dengan sangat pantas, hanya mengambil masa sebulan untuk disiapkan. Proses itu termasuk latihan, rakaman dan pengeluaran video muzik, semuanya dilakukan dalam jangka masa singkat.

Hari raya tidak sah kalau tidak ada menu hari raya.
Sementara itu, bagi video muzik (MV) THR pula, dua figura hebat ini cuba menggambarkan kemesraan yang dirasai ketika berkumpul bersama keluarga pada hari raya. Dengan penggunaan warna-warna terang dan konsep yang bersemangat, video ini berjaya menyampaikan rasa kegembiraan tersendiri.
Tradisi lebaran yang sering dipandang remeh sebenarnya mempunyai makna sangat mendalam. Justeru lagu ini mengajak pendengar menghargai setiap detik istimewa yang dihabiskan bersama orang tersayang.
Hetty sudah memulakan karier seninya seawal 1971 dengan membawa muzik bergenre keroncong. Semenjak berkecimpung dalam dunia seni ini lebih kurang 44 tahun, penyanyi tersohor Indoesia itu sudah merakamkan 150 buah album sekali gus mencipta rekod di negara kelahirannya. - KitaReporters

Hetty dan Afifah mengetengahkan keluarga sendiri dalam muzik video yang dihasilkan untuk lagu mereka bagi menggambarkan kemesraan dalam keluarga di hari raya.