
Lakaran kehidupan ilham Razlin Zulaika.
Semua yang dibuat adalah untuk memenuhi impian dan sokongan arwah bapanya yang dipanggil Baya terhadap minatnya dalam melukis. Usahanya tidak sia-sia apabila dia berjaya mengadakan pameran lukisan solo bagi melengkapkan tugas semester akhirnya.
“Saya bersyukur karena telah berjaya merealisasikan hajat arwah Baya (Rozaid Abdul Rahman) walaupun arwah tidak dapat meraikan kejayaan saya ini, “ kata Razlin Zulaika Rozaid, 25.
Razlin Zulaika penuntut tahun akhir Diploma in Fine Arts. The One Academy telah berjaya mengadakan pameran solo hasil lukisannya selama seminggu pada 19 Mei hingga 29 Mei 2025 lalu. Pameran ini adalah tugasan tahun akhir pelajar sebelum majlis graduasi.
Ditanya kenapa memilih jurusan lukisan, Razlin Zulaika berkata sejak kecil dia pantang ada kertas dan pen di tangan.
“Mungkin itu sebab Baya izinkan saya mengambil jurusan ini walau pada mulanya saya berhasrat mengambil jurusan psikologi,“ ujarnya.
Menurut Razlin Zulaika lagi, pada mulanya dia bercadang menjadikan melukis sebagai hobi dan memilih jurusan lain, tapi Bayanya tahu apa yang terbaik untuknya.

Razlin Zulaika Rozaid

Allahyarham Rozaid Abdul Rahman
Anak kelima dari tujuh adik beradik ini mengakui yang minatnya melukis sejak masuk tadika lagi dan tak pernah berhenti melukis. Dan minat yang pada mulanya hanya main-main itu kini telah menjadi sumber rezekinya.
“Sekarang keadaan telah berubah. Saya telah masuk kolej untuk belajar dan mendalami keistimewaan melukis. Ia bukan sekadar melukis tetapi lebih daripada itu. Ia juga menghargai bakat dan anugerah yang Allah kurniakan kepada saya,“ jelasnya.
Memilih konsep kehidupan seharian, suasana dan rutin kehidupan yang tidak kita sedari tetapi sangat indah dan penuh bermakna, Raslin Zulaika berharap masyarakat akan lebih menghargai betapa nikmatnya kehidupan jika bijak menggunakannya.
Dalam berkarya Razlin Zulaika berkata, idea dan ilhamnya datang pada waktu yang tak menentu.
“Tetapi saya senantiasa berfikir tentang bagaimana untuk mencurah idea dan perasaan saya menjadi sebuah lakaran lukisan setiap hari.
"Tidak seharipun saya terlupa memerah otak mencari ilham untuk diterjemahkan pada sebuah kanvas untuk dijadikan sebuah lukisan. Sehinggakan kadangkala sampai terbawa-bawa dalam mimpi,“ cerita Razlin Zulaika lagi.
Ada masa tambahnya, idea datang tiba tiba.
"Apabila itu berlaku, saya akan menjadi pelukis spontan… jari jemari ligat menari dan galak melakar.
"Tetapi ada masanya pula saya hanya duduk memerhati kanvas tanpa berbuat apa- apa selama berjam-jam,” cerita Razlin Zulaika yang tidak menolak untuk bergelar artis (pelukis) sepenuh masa.


Kasih bapa.... Antara ilham yang menjadi pilihan.
Ditanya perasaannya dapat mengadakan pameran sendiri, dia sangat gembira kerana inilah saat yang ditunggu-tunggu apalagi bakal menggenggam diploma tidak lama lagi.
“Terima kasih saya tujukan khas kepada suami Amirul Arief Ahmad Nawavi, ibu, keluarga dan kawan-kawan yang memberi semangat dan menyokong pameran ini. Tidak lupa juga semua para pensyarah," tambahnya.
Razlin Zulaika juga melahirkan rasa puas hati dengan hasil lukisannya, walaupun masih banyak yang perlu dipelajari, diperbetul dan diperhalus.
“Alhamdulillah empat daripada enam lukisan saya telah terjual. Secara jujur saya sangat tersentuh dengan hasil lukisan saya. Melepaskan semua lukisan itu sangat berat bagi saya tapi saya gembira kerana ada orang yang menghargai hasil kerja seni saya.
“Saya sangat berterima kasih kepada pensyarah saya, Mr Gan Chin Lee. Kebanyakan peminat koleksi lukisan saya adalah kenalan beliau,“ jelas Razlin Zulaika bangga.
Ditanya sama ada minat melukis ini akan dijadikan sumber pendapatan, Razlin Zulaika tidak menolaknya jika itu sudah aturan Allah untuk dia menjadi pelukis sepenuh masa.
“Saya sekarang sedang membuat persediaan untuk mencipta lukisan baru bagi pameran two-man show dengan seorang kawan baik pada Ogos 2025 nanti. Doakan saya.
“Saya bersyukur karena suami menjadi pendorong utama minat saya. Dia sangat bangga dengan usaha dan kejayaan saya. Manisnya bila ada suami yang mempunyai minat yang sama dengan kita dan meniup semangat isteri untuk terus berkarya. “ katanya.

Antara lukisan yang dipamerkan oleh Razlin Zulaika.
Pada masa sama sebagai anak, Razlin Zulaika tetap tidak lupa kepada arwah bapanya, Rozaid Abdul Rahman, yang menjadi peniup semangat untuk dia berkarya.
“Baya, terima kasih karena percaya dengan kebolehan Ika. Tanpa sokongan Baya Ika tidak akan berjaya seperti hari ini..
“Ika ingat lagi kata Baya, kalau Ika tak mahu jadi penulis dan mahu jadi pelukis, Baya akan lupakan mimpi kita. Kejayaan Ika untuk Baya. Ini semua untuk Baya.“
Razlin Zulaika berharap dapat memberi tumpuan pada kerjanya sebagai pelukis. Azamnya untuk memberi inspirasi kepada masyarakat tentang keindahan sebuah lukisan itu yang terkandung banyak makna di sebaliknya.
Semoga Razlin Zulaika terus terbang tinggi menggapai awan dengan bakat dan anugerah yang dimilikinya. - KitaReporters

Masyarakat perlu tahu nikmat kehidupan di sebalik sebuah lukisan.