Seni & Sukan 29 Sep, 2022

Video| Kecur air liur! Penjual cucur udang Pokok Sena sohor seantero dunia! Rupa mirip Heliza Helmi!

@jamliah abdullah
Penulis konten & pemberita sambilan. Cintai alam semula jadi & makanan. Suka menulis untuk membantu yang memerlukan. Anda punyai kisah menarik untuk dikongsi, emelkan ke [email protected]

Share this


KELINCAHAN seorang penjual cucur udang di Pokok Sena, Kedah ini menggoreng makanan kegemaran ramai itu sohor bukan sahaja dalam negara malah di luar negara setelah empunya badan berkongsi videonya dalam aplikasi TikTok.

Menggunakan akaun peribadi Nurayu Yusof, video yang memaparkan ketangkasan wanita tersebut menggoreng dan memotong cucur udang itu sudah meraih sehingga 6.3 juta tontonan sejak 26 Jun 2022 lepas.

Begitu juga teknik mengoreng cucur udang di hujung belanga dipercayai untuk menjadikan makanan itu ranggup dan tidak terlalu berminyak turut meraih perhatian netizen ini.

Apatah lagi wanita berkenaan Nur Ayu Md Yusof, 30, dikatakan memiliki wajah mirip artis, Heliza Helmi.


Lagi


Cucur udang sohor...  Nur Ayu Md Yusuf menunjukkan set cucur udang yang menjadi trademark di gerai makan terletak di Jalan Kuala Nerang dekat Taman Desa Ilmu, Pokok Sena, Kedah.

Sesuatu yang pasti gerai yang dinamakan, Cucur Udang Dua Beradik di gerai makan ini sudah lebih 25 tahun beroperasi di  Jalan Kuala Nerang dekat Taman Desa Ilmu di Pokok Sena. 

Menurut Nur Ayu, dia mengusahakan gerai itu bersama adiknya, Nur Aida yang diwarisi daripada ibu mereka, Nadhliah Ibrahim, 65, yang sudah uzur sejak dijangkiti Covid-19.

“Tak sangka jadi viral. Kami suka-suka sahaja buka akaun kat TikTok untuk promosikan gerai ini. Tak sangka dapat pengikut lebih 100,000 dan disukai lebih 1.3 juta.

“Pengikut juga dari negara luar... banyak dari Indonesia sehingga ke Bangladesh. Alhamdulillah niat kami untuk berkongsi rezeki ini sahaja selain promosi gerai,” katanya ketika ditemui di gerai tersebut.



Katanya, setiap hari kecuali Jumaat mereka menggunakan sehingga 20 kilogram (kg) tepung untuk menghasilkan makanan kegemaran ramai itu. 

“Pada hari cuti hujung minggu, iaitu Sabtu dan Ahad, jualan meningkat sekali ganda jadi kami guna sehingga 40 kg tepung,” katanya. 

Bercerita tentang keistimewaan cucur udang itu, kata Nur Ayu, mereka hanya menggunakan ramuan asli termasuk tanpa serbuk penaik untuk menjamin keranggupannya yang semula jadi

Kuah pula kami guna kacang tanah dan cili kering sahaja. Ini resipi turun temurun daripada mak kami untuk mengekalkan keranggupan cucur udang ini selain nak pasti ia tak ‘makan’ minyak. 

“Kuah juga kami masak guna kawah dengan dapur kayu bukan dapur gas untuk mengekalkan aromanya. Masak kuah akan ambil masa selama tiga jam. 

"Bagi jualan hari biasa kami gunakan 32 kg kacang tanah dan bertambah seganda kalau hari cuti,” katanya. 

Tambahnya, selain cucur udang gerai tersebut juga menjual pelbagai menu lain termasuk mi udang, mi gearbox dan nasi udang yang dimasak oleh kakaknya, Siti Hajar, 40

“Boleh dikatakan ini adalah perniagaan anggota keluarga kami. Suami saya dan adik saya sama-sama mengusahakan bisnes ini,” katanya. 

Cucur udang itu dijual pada harga RM3 sekeping dan RM5 bagi satu set bersama tauhu dan timun. - KitaReporters


9
7
0
14
0
You will be interested