TV AlHijrah memandang berat terhadap kenyataan melulu dan tidak tepat yang dilemparkan terhadap stesen Islam nombor satu negara itu melalui satu siaran podcast baru-baru ini.
Sejak dilancarkan pada 7 Disember 2010 bersamaan 1 Muharam 1432H, TV AlHijrah terus ke hadapan dalam mempromosi Islam sebagai gaya hidup dan mendidik masyarakat melalui kandungan-kandungan pelbagai genre yang mendidik jiwa berpandukan Al-Quran, Hadis dan Sunah serta mengikut prinsip Ahlul Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Sebagai sebuah agensi media kerajaan, TV AlHijrah sentiasa mendokong hasrat pucuk pimpinan negara dalam melahirkan masyarakat yang lebih berilmu, progresif, positif dan seimbang dari segi pemikiran dalam menjalani kehidupan seharian.
Ini dilaksanakan melalui terbitan kandungan-kandungan bual bicara, dokumentari, berita, rancangan kanak-kanak dan juga hiburan mengikut garis panduan serta akta-akta yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Dengan slogan Satukan Ummah Dengan Ilmu, hampir keseluruhan kandungan program TV AlHijrah adalah bersifat ilmu dan pengisian rohani selain berkongsi dasar dan inisiatif berkaitan kerajaan dalam membangun negara Madani yang lebih mampan dan inklusif berdasarkan pelan Al-Falah.
Pencapaian TV AlHijrah sebagai saluran agama sangat membanggakan. TV AlHijrah berupaya menempatkan diri dalam kalangan 5 saluran terbaik Malaysia yang banyak didominasi oleh saluran-saluran hiburan, drama dan konsert.
Berjuta-juta rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada kandungan yang disiarkan oleh TV AlHijrah sejak 14 tahun yang lalu dan sangat banyak maklum balas positif yang diterima daripada penonton-penonton termasuk dari negara-negara jiran.
Berikut adalah antara kandungan rancangan yang diterbitkan dan disiarkan oleh TV AlHijrah melalui pelbagai platform siaran termasuk platform media digital yang sentiasa menemani dan membajai nilai-nilai islami serta kerohanian rakyat Malaysia.
Program Agama
- Panggilan Agung (kapsul zikir, selawat, perkongsian pendek dan azan).
- Assalamualaikum Subuh (bual bicara pagi).
- Assalamualaikum Dhuha (bual bicara pagi).
- Waalalikumsalam (bual bicara malam muhasabah diri).
- Quran@114 (program tadabbur Al-Quran).
- MyQuranTime (program tadabbur Al-Quran.
- Cinta Ilmu (program bual bicara agama).
- Risalat Al-Imam As-Syafie (drama bersiri berkisar kepada kehidupan Imam As-Syafie).
- Dakwah Live (program dakwah santai).
- 40 Kalam Junjungan (perkongsian kitab Hadis 40).
- Slot Fiqh (Awlawiyat dan Mizan) (berdasarkan gagasan pemikiran Sheikh Yusuf Al-Qardawi).
- 30 Minit Bersama Dato’ Ustaz Shamsuri Ahmad (pengajian berkitab Bahrul Mazi).
Hal Ehwal Semasa
- Berita AlHijrah (berita perdana harian fokus kepada laporan berkaitan umat Islam dan perkara-perkara yang berkaitan agama Islam).
- Analisis (program bual bicara membincangkan isu-isu semasa bersama tokoh-tokoh daripada pelbagai latar belakang.
- 60 Minit Bersama (perkongsian berkaitan inisiatif kerajaan).
- GlobAlHijrah (berita ummah antarabangsa mingguan bahasa Malaysia & bahasa Arab).
- Bicara Fail Syariah (bual bicara perkongsian berkenaan fungsi mahkamah syariah).
Perkongsian dan Motivasi
- Pesan.
- Matahati Madani.
- Riwayat Akhir Zaman.
- Angeline Tanya Abang Jawab.
Dakwah Kontemporari
- Hijrah Berselawat.
- Gema Haflah.
- Carta 114.
Sebagai kesimpulan, peranan yang dimainkan oleh TV AlHijrah adalah amat besar dalam membentuk pemikiran dan mewujudkan masyarakat dan generasi yang lebih berilmu melalui penerbitan kandungan yang kreatif dan sentiasa relevan.
Jadi, jangan lupa untuk terus kekal bersama TV AlHijrah, Satukan Ummah Dengan Ilmu. - KitaReporters/Kenyataan Media