Pengurusan pasukan Perak FC menawarkan pengangkutan percuma kepada semua penyokong skuad The Bos Gaurus yang ingin ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor bagi menyaksikan perlawanan Perak FC menentang JDT FC pada 10 November 2024 ini.
Perak FC dalam kenyataan pada 5 November 2024 berkata, penyokong Perak yang berhasat ke SSI nanti boleh berhubung terus dengan Sekretariat Perak FC.
Katanya, semua pemegang tiket perlawanan tertunda sebelum ini boleh menebus tiket-tiket tersebut di kaunter yang disediakan dan pihak kami akan meyalurkan maklumat-maklumat tersebut dengan kadar segera bagi kemudahan para penyokong Perak FC.
“Pada masa sama, semua pemegang pas semusim juga adalah dibenarkan untuk masuk ke SSI bagi menyaksikan perlawanan tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.
Sehubungan itu, Perak FC memohon maaf atas keputusan yang diambil ini setelah meneliti isu-isu teknikal yang dibangkitkan oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan segala kesulitan yang dialami para penyokong skuad The Bos Gaurus.
“Kami sekali lagi menyeru kepada semua yang berkesempatan dan kelapangan untuk hadir beramai-ramai ke SSI bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan kita,” katanya.
Sebelum ini, MFL membangkitkan beberapa perkara teknikal berkaitan home venue bagi pasukan Perak FC.
Antaranya, venue tidak sesuai untuk digunakan dan lampu limpah tidak melepasi piawaian minimum (sekiranya perlawanan ditunda ke waktu malam) serta berisiko tinggi jika berlaku hujan lebat bagi mengelak perlawanan ditangguh buat kali ketiga.
Selain mengambil kira risiko keselamatan perlawanan berprofil tinggi dan perlawanan ini perlu dimainkan dan dilengkapkan bagi memastikan undian Piala Malaysia 2024/2025 dapat dijalankan.
Perlawanan Perak FC dengan JDT sudah dua kali tertunda kerana hujan lebat dan beberapa masalah teknikal. - KitaReporters
Tags: