Seni & Sukan 15 Oct, 2024

Harimau Malaya teruk kena basuh! Diibelasah 4-0! New Zealand bukan tandingan! Ranking boleh terjejas?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

LA'VERE Corbin-Ong (22) dan Romel Morales (26) serta Harith Haiqal Adam Afkar hampa dengan tangkapan kemas bola oleh Alex Paulsen (kanan) yang menafikan pemburuan gol Harimau Malaya. - Kredit foto: FAM 


TERJAHAN kidal Elijah Just, tolakan kencang Matthew Garbett, tandukan jarak dekat Chris Wood dan rembatan ‘roket’ Logan Rogerson. 

Gol-gol pada minit ke-53, 61, 72 dan 90 ini menghantar pulang Harimau Malaya dengan wajah muram dan sugul dari Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober 2024 dek kekalahan teruk 4-0.

Perlawanan bola sepak antarabangsa tahap 1 ini turut meleburkan rekod tanpa kalah skuad negara kendalian Pau Marti Vicente sejak dia menggantikan Kim Pan-gon dari Korea Selatan yang mengundur diri mulai 16 Julai 2024 lalu.

Tim warga Sepanyol ini bermula dengan baik menewaskan Filipina 2-1 dan menjinakkan Lebanon 1-0 untuk menjuarai Pestabola Merdeka Ke-43 tanggal 8 September 2024 lalu namun terselamat untuk mengikat kelab New Zealand, Auckland FC 1-1 , 11 Oktober 2024.  

Namun angka besar kecundang ini turut menyamai ketika dibelasah oleh Jordan dalam perlawanan Kumpulan E Piala Asia 2023/2024 pada 15 Januari 2024 lalu di Stadium Al Janoub, Al Wakrah, Qatar.

Mengiakan ranking ke-132 dunia, Malaysia ternyata bukan tandingan Si Serba Putih (All Whites) kendalian warga England, Darren Bazeley yang menduduki ranking ke-95 dalam kedinginan perlawanan yang bermandi hujan renyai itu.


ROMEL Morales (26) punya dua peluang menerusi tandukan berdepan Alex Paulsen namun gagal menghasilkan gol. - Kredit foto: FAM 


Pasukan kita juga bagaikan lebih bawah berbanding Tahiti (di ranking ke-158) yang ditumpaskan New Zealand 3-0 dalam perlawanan pusingan kedua Kumpulan B Kelayakan Piala Dunia 2026 Oceania di Stadium Freshwater, Port Vila, Vanuatu pada 11 Oktober 2024.

Malah tidak syak lagi, ranking dunia Harimau Malaya bakal kembali merudum apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengemaskinikannya pada 24 Oktober 2024. 

Namun segelintir pujian berhak ditujukan kepada barisan belakang Malaysia yang sempat mengekang tuan rumah tanpa gol sepanjang 45 minit pertama biarpun dihujani aneka asakan pelbagai penjuru oleh tim pimpinan Liberato Cacace.

Penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed jelas sekali lebih sibuk berbanding lawan seposisi, Alex Paulsen terutama ketika menepis rembatan kidal Ben Old yang deras pada minit ke-28.

Hanya dua percubaan Malaysia yang agak menggugat Paulsen, pilihan kedua New Zealand di belakang Max Crocombe yang direhatkan, sebaik sahaja babak kedua baru sahaja berusia antara seminit hingga enam minit.   

Walau bagaimanapun dua tandukan penyerang naturalisasi kelahiran Colombia itu yang menyambar hantaran lambung dari sebelah kanan sekadar tersasar melintasi hadapan gawang dan ditampan oleh  penjaga gol tuan rumah.


PAU Marti Vicente terpaksa akur dengan kekalahan besar Harimau Malaya 4-0 kepada Si Serba Putih dalam kedinginan hujan renyai di Stadium North Harbour, Auckland. - Kredit foto: FAM 


Ulas Pau: “Mula-mulanya maaf kepada peminat yang ramai datang menyokong kami. Mereka mahu melihat pasukan kami menang dan menyerlah tetapi hari ini (14 Oktober 2024) kami gagal menghadiahkan keputusan yang baik untuk mereka.

“Pada masa yang sama kami menghadapi pasukan yang antara terkuat pernah saya harungi bersama Malaysia (namun) pengalaman dan pengajaran yang bagus kepada pemain kita serta pastinya sukar (menerimanya).

“Babak pertama, kami hadapi banyak tekanan tetapi tetap yakin dan teguh. Babak kedua, kami lepaskan gol mungkin ketika fasa peralihan berbanding fasa bertahan. Saya tidak merungut pada pemain-pemain.

“Kadangkala getir berdepan lawan sebegini. Bagi kami, ini satu cabaran dan saya fikir kami belajar daripadanya.” - KitaReporters


KESEBELASAN MALAYSIA: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies (Azam Azmi Murad), Dominic Tan, Harith Haiqal Adam Afkar, La’Vere Corbin-Ong, Syamer Kutty Abba, Nooa Laine (Haqimi Azim Rosli), Endrick Dos Santos (Feroz Baharudin), Arif Aiman Hanapi (Safawi Rasid), Darren Lok (Akhyar Rashid), Romel Morales (Paulo Josue).


SYAMER Kutty Abba (14) cuba menembusi kepungan dua pemain New Zealand, Elijah Just (11) dan Storm Roux sambil Nooa Laine mengawasi dari belakang. - Kredit foto: FAM

15
2
0
12
0
You will be interested