Bergambar bersama pihak pengurusan SCSB/Temu Jelatek The Event Space. Foto FAS.
Janji tetap dikota… Satu-satunya anak lelaki pelakon Didie Alias, Muhammad Dhanial Mohd Ridzuan, 29, tampil bergaya mengenakan sut peninggalan arwah ayahandanya, Ridzuan Hashim pada majlis resepsi persandingan sambut menantu di Dewan Temu Jelatek, Keramat, Kuala Lumpur baru-baru.
Di samping isteri, Nur Khairunnisa Zulkifli yang dikahwininya pada 20 Mei 2023 selepas Allahyarham Ridzuan meninggal dunia pada 4 Mei 2023, Muhammad Danial tidak berbelah bahagi menggayakan sut rona kelabu milik arwah ayahnya pada acara memotong kek perkahwinannya.
Muhammad Dhanial menunjukkan sut kelabu dipakai, milik arwah ayahnya. Foto Kredit: hmetro.my.
Itulah satu daripada dua sut yang beliau temukan ketika mengemas barang ayahnya dan sebagai mengenang ayahanda tercinta Dhanial berjanji mahu memakai sut ayahnya itu ketika majlis perkahwinannya di Kuala Lumpur.
“Saya rasa ini adalah sut ayah ketika berlakon dalam drama 'Kuasa' sebab agak kecil ketika arwah kurang sihat dan kerana itu tak sangka ia memang muat dengan saya kecuali pada bahagian seluar kerana arwah lebih tinggi jadi kena buat sedikit pengubahsuaian,” lapor Dhanial yang kelihatan sebak sebaik sahaja ibunya, Didie tampil menyampaikan lagu yang selalu menjadi kegemaran ayahnya iaitu ‘Kaulah Segalanya’.
Pada saat itu, ibu dan anak berpelukan sebak, Sudah tentu teringat dengan ayah dan bekas suami yang tidak sempat bersama perkahwinan anaknya.
"Terasa arwah ada bersama waima saya menggigil ketika menyarungkan sut ini,” kata Dhanial ketika ditemui media.
Terdahulu, ketibaan pengantin dalam pakaian tradisional mencipta sejarah apabila mereka tiba di Dewan Temu Jelatek bertempat di Pusat Beli Belah Datum, menaiki LRT dari stesen Setiawangsa dan sebaik turun di Stesen LRT Jelatek mereka diarak masuk ke dewan diiringi kompang didahului ‘dayang-dayang’ yang kemudiannya mempersembah tarian.
“Kami mengambil peluang untuk memberikan kelainan dalam majlis ini apabila memilih agar pengantin hadir dengaan menaiki LRT sekali gus memberi mesej betapa mudahnya orang ramai untuk berkunjung ke Datum Jelatek Shopping Centre ini hanya dengan pengangkutan LRT,” ujar Didie Alias sambil mengucapkan penghargaannya terhadap kesudian pihak Temu Jelatek The Event Space yang menjadi penaja majlis resepsi perkahwinan anaknya dengan nilaian RM500,000.
Jumlah tajaan itu, jelas Didie melibatkan kelengkapan dewan, dekorasi, makanan, ‘photobooh’ bilik VIP, peralatan bunyi dan cahaya terrmasuk skrin LED, fotografi dan videografi serta bantuan pengurusan majlis.
“Penajaan mereka bukan sahaja membantu permudah urusan kami sekeluarga tetapi juga dalam memastikan setiap aspek majlis berjalan dengan lancar dan memukau dengan perancangan yang teliti melalui beberapa mesyuarat dan perbincangan yang telah diadakan di antara kami,” tambah Didie.
Didie bersama Yusof Haslam dan isteri.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SACC Convec Sdn Bhd (SCSB), Azlina Amran selaku penasihat Temu Jelatek serta rakan-rakan artis dan selebriti antaranya pasangan suami isteri, Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah; Dato Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Syahida mahu pun penyanyi Mark Adam, Bella Astillah dan Lah Ahmad yang turut menyumbangkan lagu, manakala Along Cham dan Ieda Moin bertindak sebagai pengacara majlis.
Bella Astillah.
Tidak terhenti di situ, Temu Jelatek turut mengambil initiatif menyediakan bilik penginapan di Datum Jelatek Residence yang selesa dan eksklusif bagi memberikan kemudahan kepada keluarga pengantin untuk bersiap sedia selain menjimatkan masa dan usaha pasangan pengantin dalam mencari tempat penginapan yang sesuai.
“Kami berbangga dapat menyumbang kepada kegembiraan Muhammad Dhanial dan pasangannya dalam acara ini. Penajaan kami bukan sahaja berkisar kepada sumbangan kewangan tetpi juga pengalaman yang kami bawa untuk memastian majlis ini dikenang sepanjang hayat,” ujar Azlina.
Sementara itu, khas buat tetamu yang hadir, Temu Jelatek mengumumkan tawaran potongan sebanyak 20% kepada jemputan yang berhajat untuk menganjurkan acara mereka di Temu Jelatek sekiranya tempahan berserta deposit diberikan bermula 1 Julai 2023 hingga 31 Disenber 2023 ini.
Potongan harga sebanyak 10% juga ditawarkan sekiranya tempahan berserta deposit dibuat dari 1 Januari 2024 sehingga 30 Jun 2024 di mana majlis boleh diadakan sehingga Disember 2024. - KitaReporters