Seni & Sukan 01 May, 2021

Serang 'Si Baju Hitam'! Padah buat Mohd. Fadzrul Danel! Pengurus TFC digantung 4 perlawanan!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

CHE Mokhtar Che Ali, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM. - Kredit foto: FAM.


"HORMATI pengadil perlawanan dan sentiasa kawal ‘suhu’ baran anda, para pemain dan pegawai pasukan!"

Sehubungan itu, tindakan menolak ‘Si Baju Hitam’ padah jawabnya buat Mohd. Fadzrul Danel Mohd. Nizam apabila perantara Kedah Darul Aman (KDA) FC itu digantung empat perlawanan dan didenda RM10,000.

Angkara mengugut dan mengganggu kumpulan pengadil pula, para pegawai pasukan Terengganu FC (TFC) pula didenda berjumlah RM35,000 dengan dua daripada mereka turut digantung dua perlawanan.

Dua kes salah laku ini menjadi perhatian utama sidang Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dipengerusikan Timbalannya, Datuk Che Mokhtar Che Ali di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor.

Mesyuarat pada 30 April 2021 ini merupakan yang ketiga bagi penggal 2021-2025.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan FAM

FADZRUL Danel Nizam, perantara KDA FC. - Kredit foto: FB KDA.


Fadzrul didapati melanggar Artikel 51.1(a) Kod Tatatertib FAM iaitu salah laku terhadap pegawai pertandingan pada perlawanan Liga Super 2021 antara KDA dan TFC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 9 April 2021.

Dia sudah pun digantung secara automatik sebaik sahaja dilayangkan kad merah dalam perlawanan yang dimenangi pelawat 2-1 itu.

Akibatnya, Fadzrul juga terlepas empat perlawanan pada 17 dan 30 April 2021, 4 dan 8 Mei 2021 masing-masing menentang Perak FC, Melaka United FC, Johor Darul Ta’zim FC dan Sabah FC.


JAWATANKUASA Tatatertib FAM di Wisma FAM yang menjatuhkan hukuman penggantungan empat perlawanan terhadap perantara KDA dan pengurus TFC. - Kredit foto: FAM.


“Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan kepadanya jika mengulangi kesalahan yang sama. Walau bagaimanapun dia masih boleh merayu terhadap hukuman itu kepada Jawatankuasa Rayuan FAM,” kata Mokhtar.

Rakan sepasukannya, Rodney Celvin Akwensivie pula digantung dua perlawanan kerana salah laku terhadap pihak lain atau individu selain pegawai perlawanan pada perlawanan yang sama.

“Tindakannya didapati melanggar Artikel 50.1(d) Kod Tatatertib FAM dan penggantungannya termasuk satu secara automatik akibat kad merah yang diterimanya. 

“Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini tidak boleh dirayu,” katanya.

Dua penggantungan berikutnya terhadap bek tengah KDA FC itu membabitkan menentang Perak FC dan Melaka United FC pada 17 dan 30 April 2021.


RODNEY Celvin Akwensivie, bek tengah KDA terlepas dua perlawanan gara-gara sikap keterlaluannya. - Kredit foto: KDA.


Sementara itu, perlakuan semua pegawai pasukan TFC dalam perlawanan Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 21 Mac 2021 pula didapati melanggar Artikel 54 (b) Kod Tatatertib FAM. 

Kelakuan mereka yang tidak wajar dan tidak bersemangat sukan kerana mengugut dan mengganggu kumpulan pengadil semasa dan selepas perlawanan yang dimenangi tuan rumah 2-1 itu sehingga memerlukan campur tangan polis, mengakibatkan mereka didenda RM20,000.


ZUL Fadli Rozi (tengah) digantung empat perlawanan kerana kelakuan agresifnya terhadap pengadil perlawanan KDA-TFC di Alor Setar. - Kredit foto: TFC.


Pengurus pasukan Sang Penyu, Zul Fadli Rozi digantung empat perlawanan dan didenda RM10,000 malah dia didapati mengeluarkan kata-kata kesat kepada kumpulan pengadil berkenaan selain cuba menyerang mereka yang mahu memasuki bilik persalinan di stadium.

Penggantungan empat perlawanan itu terhadapnya membabitkan TFC menentang Penang FC, UiTM FC, Selangor FC dan Perak FC pada 1, 4, 9 Mei dan 9 Julai 2021.

Seorang lagi pegawai pasukan TFC, Mohd. Shukri Che Zakaria pula didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana kelakuan tidak bersemangat sukan juga dalam perlawanan itu justeru didenda RM5,000 dan digantung dua perlawanan dengan Penang FC dan UiTM FC.

“Dia didapati mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penolong pengadil 1, Mohd. Junaidy Abd. Samad semasa perlawanan.

“Pegawai ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Hanya dendanya yang boleh dirayu,” katanya. - KitaReporters


TINDAK-TANDUK agresif para pegawai pasukan TFC (berbaju hitam) pada 9 April 2021 mendapat perhatian serius pengadil perlawanan dan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang mengakibatkan mereka dihukum agak berat. - Kredit foto: TFC.

0
0
0
0
1
You will be interested