Seni & Sukan 16 Aug, 2020

Apa cerita? Satu KL kering tapi kuey teowku basah - SonaOne

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

AGAK unik gaya dan persembahan penyanyi hip hop, SonaOne dalam single terbaharunya ‘Kuey Teow’ apabila lagu tersebut yang sebenarnya tiada langsung kena mengena dengan makanan kegemaran rakyat Malaysia, kuetiau itu, dapat dilihat pada video muziknya yang bakal dilancarkan dalam semua platform digital mulai 21 Ogos 2020 ini. - KitaReporters

SonaOne bersama Kidd Santhe. - Gambar kredit Megat.


SonaOne atau nama sebenarnya, Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozac, 31, yang menyanyikan lagu itu bersama rapper Kidd Santhe, memilih melakukan penggambaran video muzik 'Kuey Teow' bukan di studio tetapi di sebuah ‘hutan’ dikelilingi kehijauaan alam semula jadi dengan ditemani monyet-monyet.

Dah kenapa? Mana kuetiaunya?  Barangkali itu pertanyaan netizen yang bakal menyaksikan video muzik kedua-dua rapper terkenal ini kelak.

Pun begitu, SonaOne memilih lokasi pusat penjaja makanan, Rasta TTDI dengan menampilkan sebuah ‘food truck’ (kenderaan saji) bertemakan ‘Kuey Teow’ ketika melangsungkan majlis pelancaran single terbaharunya itu pada semalam Sabtu, 15 Ogos 2020.


Selepas buat julung kalinya memperlihatkan video muzik kepada media serta bernyanyi ‘live’ lagu tersebut, SonaOne dan Kidd Santhe atau nama penuhnya, Parssanth Navaratnam, 24, beralih menjadi cef dan melakukan demonstrasi memasak kuetiau di dalam food truck yang tersedia.

“Keuy Teow’ adalah lagu yang saya cipta secara santai mengikut rasa seperti sebuah buku lukisan bodoh. Tetapi lukisan bodoh yang cantik,” cerita SonaOne yang juga terkenal sebagai seorang pelukis grafiti.

Bercerita lanjut, SonaOne memberitahu tercetusnya nama makanan kesukaan ramai itu terhasil daripada idea rakannya yang mahukan beliau meletakkan sebaris ayat ‘kuey teowku basah’ dalam lagu yang sedang digubah ketika itu.

“Jadi apabila saya tengah rekod part korus, saya pun cubalah selitkan satu baris yang berbunyi ‘satu KL kering tapi kuey teowku basah’ dan sedap pula dengar jadi saya teruskan je lah,” ujar SonaOne sambil ketawa.

Menurutnya, rentak dalam ‘Kuey Teow’ membawa vibe ‘bass heavy trap’ dari produksi SonaOne dalam kompilasi ‘THE LOCCDOWN’  malah dicipta sebagai hiburan tentang kehidupan yang bahagia sambil menghargai perkara-perkara yang lebih sederhana seperti makanan -  sebagaimana yang dihargai ramai semasa era kuarantin.

Sebagai seorang ‘foodie’ yang selalu berkongsi kemahiran memasaknya dalam Instagram, SonaOne bagaimana pun berpendapat ada perkara yang tidak boleh dikongsi dengan semua orang.


"Untuk perkara lain, ada 'kuey teow'. Sekiranya anda lapar dan anda tahu anda lapar, kami ada banyak 'kuey teow',” ujar SonaOne. Cukup mendalam maknanya tu kan?

Single terbaharu ini juga merupakan persembahan ‘comical bars’ dari dua rappers ini yang melangkah garis pemisah halus antara bijak dan eksentrik. Kedua-dua SonaOne dan Kidd Santhe menunjukkan rentak lirik mereka yang bersahaja merangkumi elemen sentimental dan humor.

“Peringatan baik bahawa kadang-kadang ketika anda tidak tahan panas di dapur, seseorang mungkin sedang menggoreng sesuatu yang lazat, “ tambah pencipta lagu serta penerbit muzik yang berdarah kacukan Melayu-Perancis ini lagi.

Sehubungan itu, SonaOne turut akui tidak terganggu sekiranya sambutan lagu ‘Kuey Teow’ berjaya atau gagal sekali pun daripada hati peminatnya sebab lagu tersebut dibuat sekadar suka-suka tanpa sebarang konsep. "Bila buat lagu ini saya terbayangkan Kidd Santhe sahaja kerana suara dan  gelagatnya memang tepat untuk lagu begini,"  ujar SonaOne.

Menurutnya selepas negara mengalami 'lockdown' (Perintah Kawalan Pergerakan), beliau tidak mahu stres malah mahu membuat lagu santai sahaja mengikut rasa gerak hati seperti 'Kuey Teow' dan 'Bomba' yang terlebih dahulu dirakamkan secara solo pada 26 Mac 2020 lalu.

"Saya tak kisah jika lagu tidak popular. Jika dulu saya sakit hati tetapi sekarang saya rasa okay, tetapi jika sambutannya hangat tentulah saya 'happy'. Bagi saya tak apa sebab saya bukan berada dalam industri untuk gembirakan semua orang sebab tidak semua orang suka benda yang sama kan?" jawab SonaOne yang tidak menolak kemungkinan mahu mencuba muzik genre baharu seperti menyanyikan lagu balada.

"Tahun ini saya terbuka kepada apa apa idea yang datang. Saya tidak akan kata "TIDAK' jika ada permintaan menyampaikan atau menerbitkan lagu yang luar daripada kebiasaan genre hip hop," akhiri SonaOne yang sentiasa ceria dalam tutur kata dan gayanya yang selamba malah merancang untuk melahirkan album baharu sebelum akhir tahun ini.

Jom saksikan 'snippets' lagu 'Kuey Teow' sebelum ia dilancarkan pada 21 Ogos 2020 ini ya. - KitaReporters


9
3
0
1
0
You will be interested