MELAMPIASKAN ketidakselesaannya menjadi penghuni penjara, penyanyi dan penulis lagu Muhammad Yasin Sulaiman, 46, mencipta sebuah lagu berjudul ‘Bebaskan Aku’ pada awal Ramadan 1443/2022 lalu dengan bantuan rakannya yang dikenali sebagai Jo Tan.
Walaupun melodinya sudah dicipta, namun nyanyian Yasin tidak dapat didengar kerana hanya lirik yang dimuat dalam Instagramnya.
Namun akhirnya mulai Jumaat, 10 Jun 2022 lalu, suara nyanyian Yasin dapat didengar oleh peminat dan masyarakat yang mengikuti IG-nya.
Usaha memujuk Yasin merakamkan suaranya bagi lagu ‘Bebaskan Aku’ dilakukan oleh anak perempuannya Malaika yang bekesempatan melawat Yasin baru-baru ini. Yasin menyanyikan melodi itu kepada Malaika, 14, semasa lawatan itu.
Tertarik dengan nyanyian Yasin, dan bagi mengubat kerinduan dirinya dan para peminat ayahnya, Malaika menghubungi ayahnya beberapa hari kemudian dan meminta Yasin menyanyikan lagu itu semula melalui panggilan telefon.
Dalam ruangan komen, ramai wargamaya meluahkan kata-kata sokongan buat Yasin agar dia terus tabah mengharungi dugaan hidup.
Ada juga yang berasa sayu mendengar bait-bait lirik yang dipersembahkan seolah-olah menggambarkan keadaan yang dialaminya ketika ini.
Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac 2022.
Mengikut pertuduhan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah, Yasin didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram di sebuah unit kondominium di Kota Damansara pada jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati. Sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan.
Sementara itu kaum keluarga menjalankan kempen memungut dana bagi kos guaman kesnya. Kes Yasin yang sepatutnya berlangsung 18 Mei 2022 ditunda kepada 22 Jun 2022. - KitaReporters