Seni & Sukan 23 May, 2021

PKPD: Penduduk Besut diberi kelonggaran keluar beli barang di Jertih! Tapi ada ambil kesempatan

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua dari kiri) ketika melawat SJR Seberang Jertih,Besut


PENDUDUK daerah Besut,Terengganu, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dinasihatkan agar merancang pembelian barangan keperluan harian bagi memastikan aktiviti keluar masuk dari kawasan itu ke bandar Jertih dapat dikurangkan.

Tindakan itu perlu kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan ada segelintir penduduk yang kerap keluar untuk membeli belah di bandar Jertih melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) sekitar daerah itu.


Lagi cerita-cerita utama berkaitan PKPD



Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya memandang berat sikap segelintir penduduk daerah itu yang masih memandang ringan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan PKPD di seluruh daerah itu yang bermula 22 Mei hingga 4 Jun 2021. 

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperolehinya, "saya dapati di SJR (sekatan jalan raya), ada (individu sama) yang pagi beli telur, tengah hari beli bawang dan petang beli ayam."

“Sepatutnya orang ramai merancang lebih awal barang-barang keperluan yang hendak dibeli dan tidak perlu berulang alik,” katanya kepada media selepas mengiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memantau perjalanan SJR Seberang Jertih, pada Sabtu 22 Mei 2021.


Roslee Chik


Roslee berkata, pihak berkuasa memberi sedikit kelonggaran mengikut SOP setempat dengan memberi peluang kepada penduduk di kawasan PKPD daerah itu keluar untuk membeli barangan keperluan di bandar

“Sikap penduduk tersebut sedikit sebanyak menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 yang semakin mengganas di daerah berkenaan," tegasnya.


Roslee meneliti surat kebenaran rentas negeri seorang pemandu di SJR Seberang Jertih, Terengganu


Sehubungan itu, beliau merayu penduduk di 15 mukim di Besut agar dapat bersabar dan mematuhi sepenuhnya SOP norma baharu sepanjang pelaksanaan PKPD di daerah tersebut sehingga 4 Jun 2021.

“Peningkatan kes COVID-19 di Besut tidak reda lagi, 51 kes baharu direkod pada 22 Mei 2021. Setakat ini, 23 kes kematian akibat COVID-19 di Terengganu, 14 daripadanya adalah dari daerah itu,” katanya.

Manakala, ketika ini seramai lima warga Besut berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu. - KitaReporters


43
24
13
15
12
You will be interested