Seni & Sukan 23 Mar, 2022

Memang Ohsem! Awesome TV tolak babak panas untuk tayangan! Dahulukan bakat daripada populariti!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Stesen televisyen terestrial swasta digital yang baharu setahun jagung dan bersiaran secara percuma, Awesome TV tidak akan berkompromi dengan mana-mana penerbitan tempatan khususnya drama atau filem yang menghidangkan adegan ‘panas’ untuk melariskan karya terbitan mereka.

“Kami juga tidak meletakkan syarat populariti atau followers tinggi bagi mana-mana pelakon untuk pihak penerbit menghasilkan karya bagi disalurkan melalui Awesome TV,” ujar Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzil ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Ramadan 2022 bertemakan ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat Dengan-Nya’, berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Damansara pada petang 21 Mac 2023, yang turut dihadiri barisan artis tempatan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan program TV

Ezzan Zalilah Zulfadzil


Ezzan mengulas sedemikian ketika disoal pandangan Awesome TV terhadap penerbitan yang memaparkan adegan panas seperti yang ‘viral’ baru-baru ini, lakonan Zul Ariffin dan Siti Hariesa dalam drama terbaharu lakonan mereka, ‘Perempuan Itu’.

"Pihak Awesome TV bagaimanapun tidak akan gam mana-mana artis yang terbabit isu sedemikian asalkan lakonannya dalam drama-drama atau filem yang ditayangkan di Awesome TV tidak mempunyai unsur ‘hangat’ sedemikian,” tambah Ezzan.

Beliau percaya lakonan seseorang individu itu bukan hanya terletak kepada populariti dan jumlah pengikut tinggi khususnya golongan ‘influencer' (pempengaruh) asalkan mereka berbakat dalam lakonan.


Barisan artis dan jemputan yang hadir antaranya Datuk Awie, Datuk Rosyam Nor, Datuk Hattan, dan ramai lagi.


“Awesome TV mahu melihat bakat-bakat baharu dan tidak hanya bergantung kepada pelakon pelakon popular yang kini banyak ditampilkan di televisyen,” tambah Ezzan sambil memberitahu faktor itu menyebabkan Awesome TV menerima penerbitan drama ‘Antara Ikhlas dan Kaca’ yang menampilkan artis baharu seperti Luqman Hafidz, Wanna Ali, Aleza Shadan dan Zain Hamid.

Menurutnya, sempena bulan Ramadan ini, ’Antara Iklas dan Kaca’ bakal mengisi slot ‘Dramatix’ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 7 malam.

“Selain tu. drama ‘Sudin dan Kayal’ menampilkan figura rock tanah air, Datuk Awie sebagai tonggak utama bersama Zalif Sidek, Umar Dzariff dan Marissa Yasmin pula bakal mengambil alih slot  ‘Dramedi’ pada setiap hari Khamis hingga Ahad jam 9.30 malam,” tambah Ezzan.



Berkongsi mengenai pemilihan tema ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat Dengan-Nya’, Ezzan memberitahu, ia membawa pengertian yang sungguh bermakna dalam menyuntik inspirasi, sekali gus mengangkat semula semangat rakyat Malaysia yang pastinya terkesan akibat pandemik.

Dengan inspirasi tersebut, pengisian komprehensif sepanjang bulan mulia ini akan dizahirkan menerusi himpunan lebih 50 program menarik pelbagai genre yang bakal menanti para penonton serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat menerusi sebuah kolaborasi amal bersama syarikat korporat, Koperasi Amanah Pelaburan Berhad atau ‘KAPB’.



Mulai 3 April 2022 ini, para penonton bakal dihidangkan dengan seleksi kandungan terhebat merangkumi genre keagamaan, telefilem, drama bersiri, koleksi filem terlaris tempatan dan antarabangsa, naskhah throwback klasik malar segar, sketsa, komedi, variasi, bual bicara serta banyak lagi menerusi platform Awesome TV dalam saluran Astro 123 dan MyTV 112. 

Awesome TV, jelas Ezzan,  sentiasa komited dan mengambil  langkah proaktif dalam menyediakan sajian program menarik pelbagai genre khas untuk tatapan rakyat Malaysia yang pastinya mempunyai citarasa berbeza sepanjang bulan mulia in,i

“Lebih istimewa, kami juga tidak lupa membawa amanat yang sama menerusi kolaborasi amal bersama pihak ‘KAPB’ bagi menjayakan inisiatif CSR sempena Ramadan pertama Awesome TV. 

"Sebagai simbolik tema kempen kami pada tahun ini (2022), sebanyak 15 unit permaidani eksklusif dari Masjidil Haram, Mekah dihadiahkan kepada 15 buah masjid terpilih di sekitar Lembah Klang untuk dimanfaatkan bersama," katanya lagi.


Kelihatan permaidani yang dimaksudkan dari Masjidil Haram tergantung di belakang wakil-wakil penerimanya.

Dato Mohamed Helmi Ilyas, Pengarah Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB) (enam dari kanan) menyampaikan sumbangan 15 unit permaidani kepada 15 buah masjid sekitar Lembah Klang kepada wakil2 berkaitan.


“Antara program-program menarik yang dijangka memancing penonton beralih ke saluran yang sedang meningkat naik ini meliputi slot ‘Ohsam Tele’ pada setiap hari Ahad, jam 10 malam yang bakal menampilkan seleksi telemovie segar seperti ‘Permintaan Terakhir Abah’ yang dilakonkan oleh Hafizuddin, Jay Iswazir, Hazama dan Johan As'ari, ‘Pak Pokok Ketapang’, pula menampilkan gandingan Amerul Affendy, Dian P. Ramlee, Ezzaty Abdullah dan Hafizul Kamal serta ‘Hud’, diterajui oleh Fahrin Ahmad, Eira Syazira, Eqifshah dan Norlia Ghani.

"Lebih menarik lagi,  sutradara hebat tanah air, Rashid Sibir juga akan tampil dengan karya, ‘Jeman’, lakonan pelakon baru, Iman Zulkarnain, Fauziah Nawi, Farah Ahmad dan Mia Farhana,” sambung Ezzan sambil memberitahu penonton sekeluarga akan ditemani pada waktu sahur dengan sajian kandungan menarik menerusi ‘Sahur Special’ pada setiap hari Sabtu jam 4.00 pagi yang akan membariskan filem-filem throwback seperti ‘Si Badul’, ‘Tuan Badul’, ‘Driving School’, ‘Pagar Pagar Cinta’ dan ‘Pening Pening Lalat’.

Selanjutnya, untuk maklumat  program khas  lainnya sempena Ramadan boleh layari www.awesometv.my - KitaReporters


Rashid Sibir (kanan) bersama Rosyam Nor.

9
8
0
16
0
You will be interested