Seni & Sukan 21 Mar, 2022

Video| Ramadan ni Seikhlas Hati! Program Ramadan Raya 2022 di TV3, TV9! Sentiasa bersyukur, reda!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this

F

Fedtri Yahya masih mengendalikan program 'Jejak Rasul'.


TEMA ‘Seikhlas Hati’ dipilih sebagai kesinambungan kepada ‘Setulus Ikhlas’ tahun 2021 bagi kempen Ramadan Raya 2022 oleh TV3 dan TV9 kali ini sebagai tanda peringatan kepada kita supaya sentiasa bersyukur dan reda dengan ujian yang dihadapi waima setiap ujian itu menjadikan kita lebih kuat dan tabah. 

Dilancarkan melalui siaran secara langsung pada program Melodi yang dihoskan oleh Nabila Huda dan Haziq Hussni selama satu jam dari pukul 12.30 tengah hari pada 20 Mac 2022, TV3 dan TV9 meneruskan tradisi untuk menyajikan program-program menarik yang merangkumi genre inspirasi & travelog, drama, bual bicara, gaya hidup dan hiburan untuk tatapan penonton sepanjang Ramadan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bulan Ramadan

Nabila Huda dan Haziq Hussni dalam Melodi.


Pelancaran kempen dimeriahkan dengan kehadiran barisan selebriti antaranya Datuk Rosyam Nor, Fedtri Yahya, Mark Adam, Aprena Manrose, Yana Samsudin dan suaminya, Fadzil Zahari.

Seperti lazimnya, pembukaan bulan Ramadan dimulakan dengan program travelog di mana kali ini hosnya, Fedtri Yahya akan membawa penonton menjelajah tajuk, ‘Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul II tajaan Pharmaniaga & Yayasan Maghfirah mulai 1 April hingga 1 Mei 2022.

“Saya akan membawa penonton mengembara ke zaman Tanah Melayu di mana Raja-raja Melayu dikuasai imperialis Inggeris dan menyaksikan pemimpin alim ulama yang telah mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan serta maruah agama dan bangsa,’ ujar Fedtri Yahya pada sidang media secara virtual pada majlis pelancaran Kempen Ramadan Raya 2022 yang turut dihadiri antaranya Datuk Rosyam Nor, Aprena Senrose, Mark Adam, Yana Samsudin, Fadzil Zahari.

Pastinya penonton yang selama setia menonton Jejak Rasul sejak program itu mula bersiaran pada tahun 1996 tidak mahu melepaskan kandungan menarik yang disediakan oleh Fedtri. 



Dari kiri: Hos Sembang Viral Mega, Rosyam Nor, dan pelakon Aprena Senrose serta Mark Adam yang  bakal membintangi drama '30 Hari Sebelum Raya' sebanyak 28 episod mulai 29 Mac di TV9.


Dalam menambah dan menimba ilmu, program bual bicara yang tidak kurang menarik perhatian penonton tentunya ‘Sembang Viral Mega’ yang akan ke udara di TV9 mulai  28 Mac 2022 hingga 25 April 2022, jam 9 malam, mengupas isu-isu tular atau viral selama satu jam.

“Kali ini kita membawa topik yang sangat relavan dengan pengguna sosial media,’ ujar Rosyam Nor yang diberi tanggungjawab sebagai pengacaranya.

Menurut Rosyam, isu-isu berbangkit seperti apakah masyarakat kini sudah sanggup menggadaikan maruah dengan mendedahkan ‘aurat’ rumah tangga mereka melalui sosial media akan dikupas oleh panel ustaz jemputan.

“Mungkinkah komen-komen netizen yang mengecam itu turut menambahkan dosa kepada dirinya? Bagaimana kita perlu menjaga adab ketika dalam laman sosial media akan dibahaskan,” tambah Rosyam sambil memberitahu ‘Sembang Viral Mega’ bukanlah program untuk menghentam orang tetapi memahami setiap isu itu dari sudut Islam.



Selain itu, seperti biasa program bual bicara yang menjadi tradisi setiap kali Ramadan iaitu Sembang Sahur tajaan Massimo diteruskan bersama hos, Haziq Hussni, Fatin Hamimah, Fadzly Fuad dan Dayah Bakar, membincangkan pelbagai topik menarik berkaitan Ramadan dan raya, inisiatif amal dalam segmen Singgah Sahur, serta belajar resipi baharu yang mudah dan cepat dalam bulan Ramadan dalam segmen Jom Masak bersama Cef Fikree dan Cef Naem.

Selain itu, khas buat kaki drama, tentu tidak sabar menantikan kesinambungan drama bersiri popular lakonan Shukri Yahya dan Siti Saleha iaitu '7 Hari Mencintaiku 3' mahupun menyaksikan buat pertama kalinya gandingan suami isteri Yana Samsudin dan Fadzil Zahari dalam  drama 5 episod ‘Menantu Mek Barber’. 

Bakal bersiaran mulai 3 April, setiap Ahad jam 9 malam di TV3, lakonan Yana dan Samsudin bersama Didie Alias ini merupakan pertahuran kali pertama Fadzil Zahari di hadapan kamera bersama isterinya,

“Sebenarnya, saya hanya bergurau sahaja kepada team produksi apabila ditanya siapa heronya, saya pun kata saya lah dan tidak sangka pula gurauan itu menjadi realiti apabila saya ditawarkan watak bersama Yana,” ujar Fadzil mendedahkan kisah disebalik penglibatannya berlakon  bersama Yana.

“Bila dapat tahu dia akan berlakon sekali, lagilah terasa beban takut terkritik dia lebih-lebih sebab dia jarang berlakon, selalu di belakang tabir,” sambung Yana dalam ketawa kecil berhubung drama komedi romantis ini.


Yana Samsuddin dan suami, Fadzil Zahari bakal tampil dalam drama 'Menantu Mek Barber'.


Pendek kata, sepanjang bulan Ramadan, sejajar dengan tema ‘Seikhlas Hati’, program-program yang dipilih bagi menyemarakkan kempen Ramadan Raya memberi peringatan kepada kita semua supaya sentiasa bersyukur dan reda dengan ujian yang dihadapi kerana setiap ujian itu menjadikan kita lebih kuat dan tabah. 

Bulan Ramadan khususnya merupakan bulan untuk kita meningkatkan amal ibadah dan memperoleh pelbagai ganjaran dengan sentiasa bersedekah dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dengan seikhlas hati tanpa mengharapkan balasan.  

Dan antara yang boleh dijadikan panduan, saksikan 'Tanyalah Ustaz Seikhlas Hati' yang memaparkan kompilasi episod-episod terbaik Tanyalah Ustaz edisi Ramadan mahu pun menonton 'Tinta Syurga', sebuah dokumentari khas Nuzul Al-Quran pada 19 April, 2022, jam 9 malam.

Ia merupakan program kupasan mendalam mengenai usaha meneruskan perjuangan sahabat-sahabat Nabi dalam membukukan Al-Quran selepas kewafatan Rasullulah SAW. 

Pasti menarik untuk kita pelajari kan?

Apa pun, bagi mengetahui program-program menarik lainnya sepanjang kempen boleh layari www.xtra.com.my  dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia @TV9Malaysia. - KitaReporters


Apa makna Setulus Ikhlas bagi selebriti ini?

15
8
0
11
0
You will be interested