Barangkali semua maklum, nama Zara Zya, tidak syak lagi lebih terkenal sebagai seorang pelakon terkemuka, namun beliau kini kembali membuktikan minatnya dalam bidang nyanyian dengan melancarkan single terbaharu berjudul “Terpatri Cinta”.
Walaupun bidang lakonan kekal sebagai forte utama dan beliau secara konsisten mengakui dirinya bukan seorang penyanyi profesional, namun pemilik nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, ini nekad melunaskan karya istimewa ciptaan penuh Wanns Ahmad, sambil berdepan cabaran besar mengawal emosi dan keyakinan diri sepanjang proses rakaman.
Zara secara jujur berkongsi, cabaran paling besar dalam menghasilkan lagu bernuansa romantik berunsur Islamik ini adalah untuk memastikan setiap bait lirik disampaikan dengan rasa yang tulus sambil mengakui sebahagian daripada bait lagu ini cukup dekat dengan perjalanan peribadinya sebagai seorang wanita dan insan seni.

"Ada beberapa bahagian lagu yang terlalu dekat dengan hati saya, sampai kadang-kadang suara pun bergetar. Saya juga selalu tak yakin dengan kemampuan diri sendiri,” dedahnya jujur, yang menggariskan tekanan yang perlu dihadapi beliau yang menganggap nyanyian sebagai hobi.
Namun, berkat kerjasama dengan Wanns Ahmad, Zara mengakui sepanjang proses rakaman yang mengambil masa hampir sebulan itu dapat diatasi dan berjalan dengan lancar.
"Wanns seorang komposer yang sangat memahami jiwa saya. Dia tak hanya fikir soal teknik, tapi juga emosi. Dia pun faham, saya bukanlah penyanyi profesional. Proses rakaman pun mudah saja,” kenang Zara.
Menurutnya, pertama kali membaca lirik dan mendengar melodi 'Terpatri Cinta’, beliau terus tertarik waima lagu tersebut ada jiwa yang lembut tapi dalam liriknya bukan sekadar mengenai kasih, tapi tentang cinta yang berpaksikan keikhlasan dan reda Allah.
"Wanns buat mengikut permintaan yang saya mahukan. Ada 'vibes' Indonesia dan sedikit Islamik,” tambahnya.

Dari sudut mesej, “Terpatri Cinta” mengajak pendengar untuk melihat cinta dari perspektif yang lebih suci, bukan hanya antara dua hati, tetapi dua jiwa yang berpaut menuju syurga bersama.
"Zara ingin sampaikan bahawa cinta yang paling indah adalah cinta yang disucikan dengan niat yang betul. Lagu ini membawa mesej bahawa kasih yang halal dan diberkati itu bukan sekadar penyatuan dua hati, tetapi dua jiwa yang menuju syurga bersama,” jelasnya.
Dalam aspek produksi, Zara memilih “Terpatri Cinta” kerana merasakan karya ini memiliki keunikan tersendiri yang tidak berlebihan namun penuh emosi.
"Keunikan lagu ini terletak pada kesederhanaannya. Tak berlebihan, tapi sarat dengan emosi,” tambahnya.
Menariknya, “Terpatri Cinta” turut disertakan dengan muzik video rasmi berkonsep minimalis yang memberi tumpuan kepada ekspresi dan rasa, bukannya visual berlebihan.
"Konsep muzik video lebih minimalis, fokus pada rasa, bukan hanya visual. Terima kasih kepada Datuk Alha Alfa kerana sudi menaja muzik video Terpatri Cinta," kata Zara penuh penghargaan.

'Terpatri Cinta' dilancarkan sempena ulang tahun kelahiran Zara Zya ke-40 tahun ini (2025).
Apabila diminta menggambarkan lagu ini dalam satu perkataan, Zara tanpa ragu menjawab, "Abadi Cinta yang abadi kerana Allah,"
Menutup bicara, Zara menzahirkan harapan agar “Terpatri Cinta” yang dilancarkan bersempena ulang tahun kelahirannya pada 22 Oktober lalu diterima baik oleh pendengar pelbagai lapisan usia dan latar.
"Saya harap lagu ini dapat menyentuh hati pendengar, tak kira usia atau pengalaman mereka. Yakinlah bahawa cinta yang suci itu masih ada.
"Kalau ada yang rasa tenang, terubat atau tersenyum selepas mendengar lagu ini, itu sudah cukup bermakna bagi saya. 'Terpatri Cinta' bukan sekadar lagu, tapi doa kecil tentang cinta abadi,” akhiri Zara. - KitaReporters