Seni & Sukan 09 Dec, 2025

FAM vs FIFA| Langkah penuh yakin! Rasa optimistik! FAM failkan rayuan kepada CAS! Cabar hukuman FIFA!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memulakan langkah penuh yakin apabila memfailkan rayuan rasmi kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mencabar hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

CAS menetapkan tempoh sehingga 18 Disember 2025 kepada pasukan peguam FAM untuk mengemukakan hujahan bertulis lengkap.

Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, proses rayuan ketika ini memasuki fasa kedua selepas pernyataan rayuan diserahkan kepada CAS pada minggu lalu.

Menurutnya, badan timbang tara itu menetapkan tempoh sehingga 18 Disember 2025 ini kepada pasukan peguam FAM untuk mengemukakan hujahan bertulis lengkap yang bakal menentukan hala tuju kes berkenaan.

“FAM sudah mengemukakan pernyataan rayuan kepada CAS berhubung hukuman FIFA ke atas badan induk ini serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

“FAM menegaskan komitmen penuh untuk melalui proses ini secara profesional, telus dan menghormati semua prosedur perundangan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin, 8 Disember.

Beliau menambah, sebarang perkembangan berhubung proses rayuan tersebut hanya akan diumumkan selepas mendapat makluman rasmi daripada CAS.


Mohd Yusoff Mahadi.

Difahamkan, FAM optimis dengan peluang untuk memperbetul naratif kes berkenaan memandangkan isu inti bukan melibatkan salah laku di padang, tetapi pertikaian terhadap dokumentasi pemain yang sedang melalui proses naturalisasi.

Menurut pemerhati undang-undang sukan, CAS sering memberi pertimbangan semula terhadap kes-kes berkaitan tatakelola dan dokumentasi, khususnya apabila badan induk dapat menunjukkan kewujudan prosedur yang tidak konsisten atau penilaian yang tidak lengkap oleh FIFA.

Ini memberi ruang kepada Malaysia untuk berhujah bahawa proses dokumentasi tujuh pemain berkenaan masih berada dalam jalur yang sah dan mematuhi garis panduan kesetiausahaan negara serta piawaian pendaftaran pemain.

November 2025 lalu, FIFA menerbitkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat, yang mengekalkan hukuman ke atas FAM dan tujuh pemain terbabit. 

Bagaimanapun, keputusan itu kini terbuka untuk semakan bebas oleh CAS, sekali gus memberikan harapan baharu kepada Malaysia.

FIFA sebelum ini mengekalkan hukuman denda ke atas FAM sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala ketujuh-tujuh pemain dikenakan penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,000) setiap seorang.

Mereka terdiri daripada Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, yang pada awalnya berada dalam perancangan memperkukuh skuad kebangsaan bagi saingan peringkat Asia.


Masa depan tujuh pemain warisan bakal ditentukan CAS.

Sumber industri mendedahkan bahawa FAM telah melengkapkan dokumentasi tambahan dan bukti sokongan yang tidak sempat dikemukakan sebelum keputusan awal FIFA, sekali gus meningkatkan keyakinan bahawa rayuan di CAS kali ini mempunyai asas kukuh.

Malah, rekod keputusan CAS sebelum ini menunjukkan beberapa kes melibatkan kesilapan prosedur disiplin FIFA berjaya diketepikan atau dipinda, sesuatu yang dilihat mampu memberi kelebihan kepada Malaysia jika hujahan dapat dibuktikan dengan jelas.

Pada masa sama, FAM dilaporkan telah mempertingkat kerjasama dengan peguam antarabangsa yang berpengalaman dalam kes dokumentasi pemain dan naturalisasi, sebagai persediaan menghadapi prosiding CAS yang dijangka berlangsung beberapa bulan lagi.

Pemerhati bola sepak tempatan menyifatkan langkah membawa kes ini ke CAS sebagai tindakan defensif yang perlu, bukan sahaja untuk mempertahan kedudukan Malaysia dalam bola sepak antarabangsa, tetapi juga untuk melindungi masa depan program pembangunan pemain warisan.

Dengan rayuan yang kini berada di landasan sewajarnya, peluang Malaysia untuk mendapatkan keputusan lebih ringan atau dibatalkan sepenuhnya dilihat masih terbuka -- sesuatu yang bakal memberikan kelegaan besar kepada FAM dan peminat Harimau Malaya. - KitaReporters


FAM komited melalui proses rayuan secara profesional dan telus.

3
2
0
3
0
You will be interested