Selepas dua dekad tanpa sebutir pun pingat emas di Sukan SEA, kontinjen angkat berat negara kembali menyalakan harapan baharu untuk menamatkan kemarau tersebut pada edisi 2025 di Thailand, Disember 2025 ini.


Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat. - Kredit foto: Scoop.
Kali terakhir Malaysia berdiri di podium tertinggi acara angkat berat ialah menerusi kejayaan Che Mohd Azrol Che Mat yang mengangkat beban keseluruhan seberat 350 kilogram dalam kategori 105 kilogram lelaki pada Sukan SEA Manila 2005.
Sejak itu, sukan ini seakan suram apabila pencapaian terbaik hanyalah tiga pingat perak dan satu gangsa yang diraih ketika edisi 2009 di Vientiane, Laos.
Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat tidak berselindung mengharap skuad kali ini mampu menamatkan kemarau emas yang berlarutan selama 20 tahun di bumi Thailand nanti.

Allahyarham Che Mohd Azrol Che Mat merupakan penyumbang pingat emas terakhir acara angkat berat Sukan SEA untuk negata ketika temasya Sukan SEA Manila tahun 2005. - Kredit foto: Utusan Malaysia.
“Kita akan menghantar sembilan atlet dalam pelbagai kategori dan menyasarkan beberapa pingat tanpa mengira warna, namun tumpuan utama mengharap sebutir emas,” katanya ketika dihubungi pada 25 Oktober 2025.
Menurutnya, semua atlet kini sedang menjalani persiapan rapi dan menunjukkan komitmen tinggi menjelang temasya terbesar rantau ini.
Walaupun senarai akhir atlet belum diumumkan secara rasmi, latihan intensif telah dijalankan secara berperingkat-peringkat dengan pemantauan jurulatih kebangsaan.
Ayub berkata antara cabaran utama kali ini ialah kemungkinan perubahan kategori berat badan selepas peraturan baharu diluluskan oleh Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF) pada hujung tahun lalu (2024).
“Perubahan itu memerlukan atlet menyesuaikan semula strategi dan berat badan mereka, tetapi saya yakin mereka mampu mengatasinya,” ujarnya.

Mohamad Aniq Kasdan merupakan salah seorang sandaran skuad angkat berat negara untuk menoktahkan kemarau pingat emas angkat berat Sukan SEA di bumi Thailand nanti. - Kredit foto: The Star.
Tambahnya lagi, kehadiran atlet tuan rumah Thailand serta Indonesia yang memiliki catatan angkatan cemerlang dijangka memberi saingan sengit kepada pasukan negara.
Namun PABM tetap menaruh keyakinan terhadap kemampuan atlet negara yang telah membuktikan keupayaan mereka di kejohanan antarabangsa seperti Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.
Antara sandaran utama negara ialah Mohamad Aniq Kasdan dan Muhammad Aznil Bidin yang pernah mencipta nama di pentas dunia menerusi pencapaian membanggakan.
Kedua-dua atlet itu menjadi sumber inspirasi kepada barisan pelapis muda yang kini berusaha mengekori jejak langkah mereka.

Muhammad Aznil Bidin turut diharap untuk membutirkan pingat emas acara angkat berat Sukaan SEA Thailand Disember 2025 nanti. - Kredit foto: Malay mail.
Salah seorang daripadanya, Muhammad Hafizuddin Roslin, 21, meluahkan semangat tinggi untuk menghadiahkan pingat emas buat Malaysia di temasya kali ini.
Hafizuddin yang kini menjalani latihan di bawah bimbingan ketua jurulatih kebangsaan, Edmund Yeo Thian Chuan, berkata fokus utamanya adalah memperkukuh kekuatan serta teknik angkatan.
“Saya mahu mencipta sejarah sendiri dan membuktikan bahawa Malaysia masih relevan dalam sukan angkat berat,” katanya penuh tekad.

Muhammad Hafizuddin Roslin bakat baharu sedang meningkat naik berazam hadiahkan pingat eemas kepada negara sekali gus mengakhiri penantian dua dekad tanpa kilauan emas di Sukan SEA. - Kredit foto: Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ayub memaklumkan semua atlet akan menyertai kem latihan pusat di Kompleks Sukan Rompin, Pahang tidak lama lagi sebagai persiapan terakhir sebelum berlepas ke Thailand.
Beliau berharap semangat baharu dan disiplin tinggi yang ditunjukkan atlet mampu menamatkan kemarau emas yang menghantui skuad angkat berat negara sejak dua dekad lalu. - KitaReporters