Seni & Sukan 01 Jul, 2025

Babak baharu! Universal Music, Faithful Music bergabung! Kukuh pengaruh dalam pasaran Nusantara!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Dalam langkah strategik yang menggegarkan industri muzik tempatan, Universal Music Malaysia (UMM), sebuah entiti di bawah payung gergasi muzik global Universal Music Group (UMG), secara rasmi mengumumkan pemerolehan pegangan majoriti dalam syarikat produksi Faithful Music. 

Label rakaman yang sedang berkembang pesat di Malaysia ini diasaskan bersama oleh penyanyi dan penerbit muzik yang memenangi pelbagai anugerah, Faizal Tahir, serta Mike Chan pada tahun 2015. 

Kerjasama dinamik ini diramal akan melonjakkan kedudukan UMM sebagai peneraju utama dalam penyediaan muzik tempatan yang berkualiti tinggi, sekali gus meningkatkan keupayaannya untuk memperkukuh pengaruh di seluruh pasaran Nusantara yang merangkumi Malaysia, Singapura, dan Indonesia.

Menerusi pengambilalihan penting ini, UMM kini akan memegang hak pengedaran eksklusif ke atas katalog muzik besar milik Faithful Music.


Meraikan kolaborasi.. (dari kiri) Nicholos Ling, Kim Lim, Faizal Tahir, Mike Chan, dan Ivan Koh selaku Pengarah Kanan, Komersial & Strategi Digital, UMM.


“Peluang bekerjasama dengan Universal Music Malaysia sangat mengujakan bagi Faithful Music,. Ia satu pengiktirafan besar terhadap kepentingan dan kekuatan lagu serta artis tempatan,” ujar Pengasas Faithful Music, Faizal Tahir.

Menurutnya, Faithful Music ditubuhkan dengan kepercayaan bahawa setiap artis, pada setiap peringkat kerjaya mereka, berhak menerima peluang berkualiti tinggi untuk berkembang maju dan berjaya. 

“Kami teruja untuk memperkukuhkan lagi perkhidmatan yang kami tawarkan kepada klien kami menerusi kerjasama ini bersama pasukan Universal Music,” tambah Faizal.

Keputusan untuk membentuk kerjasama strategik ini didorong oleh beberapa kolaborasi UMM dan Faithful Music yang lalu di mana ia terbukti membuahkan hasil memberangsangkan. 



Antara kejayaan ketara termasuk lagu ‘Raya Pum Pang’ nyanyian Fazura dan Syasya Rizal. yang berjaya meraih lebih sejuta tontonan dalam YouTube dalam tempoh dua minggu pertama pelancarannya. 

Selain itu, lagu ‘Memang Smart AYE’ yang menampilkan artis-artis baharu dari kedua-dua label – Insomniacks, Sabronzo dari Dolla, Aziz Harun dan Killa Driz – turut digunakan dalam kempen berskala besar sebagai jingle komersial dan video muzik untuk Samsung Malaysia.

Untuk rekod, sejak penubuhannya, Faithful Music telah memainkan peranan penting dalam membangunkan pelbagai artis dan karya-karya popular mereka, termasuk lagu-lagu hits seperti "Santai," "Alamak Raya Lagi," dan "Angau." 

Perkongsian ini bukan sekadar urus niaga perniagaan, sebaliknya ia melambangkan komitmen jangka panjang kedua-dua syarikat untuk melabur dalam bakat baharu muzik di Malaysia. 

Ia juga akan memperkasa Faithful Music, memperluas potensinya untuk menjana peluang kreatif dan komersial baharu bagi artis-artis mereka, termasuk melancarkan pengalaman yang lebih inovatif untuk peminat muzik di seluruh negara.

Mengalu-alukan Faithful Music ke dalam keluarga Universal Music Malaysia, Calvin Wong, Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Asia Tenggara & Naib Presiden Kanan Asia, turut melahirkan rasa teruja. 

“Ini satu penghormatan bagi kami untuk mengalu-alukan Faithful Music – pangkalan ramai artis muda yang berbakat – ke dalam keluarga Universal Music Malaysia. 

"Saya sangat teruja dengan peranan yang lebih besar bagi UMM menerusi kerjasama ini, terutama untuk pasaran Nusantara yang sedang berkembang pesat dan berpotensi besar.” kata Calvin sambil meluahkan rasa perasaan tidak sabar dan bersemangat untuk bekerjasama dengan artis-artis terbabit bagi mempersembah bakat mereka kepada lebih ramai pendengar pada peringkat domestik serta antarabangsa.


Kim Lim dan Calvin Wong, sama-sama teruja dengan kolaborasi Universal Music Malaysia dengan Faithful Music.


Sementara itu, Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, menegaskan bahawa perkongsian ini melambangkan pelaburan yang signifikan dalam komuniti muzik tempatan, selari dengan komitmen pihaknya untuk menyokong pencipta muzik yang sedia ada, mahupun bakal-bakal pencipta muzik di masa depan, dengan sokongan bertaraf dunia. 

"Mencari rakan kongsi yang berkongsi semangat kami untuk menghasilkan lagu dan rakaman ikonik yang mampu menjana pertumbuhan jangka panjang adalah amat penting – sebab itu kami gembira dapat bekerjasama dengan Faizal, Mike dan pasukan mereka dalam Faithful Music. 

“Kami teruja untuk mencipta peluang baharu dari sudut komersial dan kreatif untuk artis-artis Faithful Music. 

"Dengan perancangan UMM tahun ini (2025) untuk mengembangkan segmen muzik positif dan kanak-kanak, serta membina keupayaan sebagai agensi sehenti untuk rakan jenama, inilah masa yang paling sesuai untuk memulakan babak baharu yang menarik bersama Faithful Music,” tegas Kim. - KitaReporters

13
14
0
9
0
You will be interested