Seni & Sukan 02 Jun, 2025

Inilah Saya K Rajagobal! Bukan sekadar buku! Erti perjuangan, pengorbanan! Motivasi untuk anak muda!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

RAJAGOBAL menghasilkan buku biografi dirinya. - Kredit foto: FB Datuk Muhammad Nasir Hamzah.


MERANCANG sejak tahun 2018, akhirnya impian Datuk K Rajagobal untuk melahirkan buku biografi dirinya menjadi kenyataan.

Walaupun tempoh tujuh tahun itu satu jangka masa yang agak lama untuk sebuah buku dihasilkan namun Rajagobal menganggap ia satu penantian yang sangat berbaloi.

Bagi bekas pemain dan jurulatih bola sepak kebangsaan itu, lebih baik lambat daripada tidak dilaksanakan hasrat dan impiannya itu.

"Saya mengambil masa yang lama untuk menyiapkan buku ini bagi memastikan ia menepati apa yang ingin saya sampaikan.

"Saya tak mahu ia sekadar terbit sebagai sebuah buku sahaja. Walaupun ia biografi diri saya tapi saya mahu pastikan buku ini dapat memberi manfaat kepada pembaca. 

"Selain lebih mengenali saya sebagai pemain dan jurulatih bola sepak, saya harap pembaca dapat menghayati erti sebuah perjuangan serta semangat cintakan negara menerusi perjalanan karier saya yang panjang," katanya.


DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi ucapan tahniah kepada Rajagobal. - Kredit foto: FB Datuk Muhammad Nasir Hamzah.


Rajagobal juga berharap buku berkenaan dapat memberi inspirasi serta motivasi kepada generasi muda dengan mewarisi semangat, kesungguhan dan pengorbanan yang beliau lakukan sepanjang terbabit dalam bola sepak.

Beliau berkata, selain faktor mencari kesempurnaan dalam penghasilan buku itu, kekangan masa juga menjadi punca ia mengambil tempoh yang lama untuk disiapkan.

Komitmen beliau sebagai jurulatih PKNS, Sarawak dan Brunei menyebabkan Rajagobal tidak dapat memberi tumpuan terhadap projek ini.


DATUK Seri Anwar Ibrahim menurunkan tanda tangan pada poster promosi buku Inilah Saya K Rajagobal. - Kredit foto: FB Datuk Muhammad Nasir Hamzah.


"Selain itu beberapa rakan yang membantu saya dalam penulisan buku ini juga terikat dengan kerjaya hakiki mereka.

"Apabila Covid-19 melanda pada 2019, ia menyukarkan perhubungan dengan mereka kerana tidak dapat bertemu secara bersemuka sebaliknya hanya berurusan secara dalam talian," jelas Rajagobal.

Dan apabila manuskrip buku itu sudah siap, beliau berhadapan kesukaran mencari penerbit yang bersesuaian dan meyakinkan.

"Akhirnya seorang rakan memperkenal saya dengan Kumpulan Karangkraf, sebuah syarikat penerbitan yang berwibawa dan sudah terbukti kejayaannya," katanya.


MAJLIS pelancaran buku biografi Rajagobal pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.


Majlis pelancaran buku itu diadakan pada Sabtu, 31 Mei, 2025 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Selain teruja dengan sambutan pengunjung PBAKL, Rajagobal turut terharu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengunjungi PBAKL pada Ahad, 1 Jun, 2025, turut singgah ke reruai jualan bukunya serta menandatangani poster promosi buku berkenaan.

"Saya sangat berbesar hati apabila PM sudi singgah di gerai jualan buku saya. Beliau mengucapkan tahniah kepada saya.

"Turut bersama beliau adalah Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek). Saya berhasrat mengadakan kunjungan ke atas PM dan Menteri Pendidikan bagi membincangkan hasrat untuk menjadikan buku ini sebagai bahan bacaan di setiap perpustakaan sekolah," ujar jurulatih itu.


DUA remaja ini tidak melepaskan peluang membeli buku biografi Rajagobal.


Rajagobal juga berharap penerbitan buku biografi dirinya menjadi perintis kepada lebih banyak penerbitan buku tokoh-tokoh sukan tanah air.

"Kita mempunyai ramai legenda, bukan saja dalam bola sepak tapi sukan seperti badminton, olahraga, hoki dan lain-lain tapi tidak didokumentasi dalam bentuk buku.

"Saya harap buku saya ini adalah permulaan kepada lebih banyak penerbitan mengenai tokoh-tokoh lain," tambahnya.


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk S Sivasundaram (kiri) dan legenda bola sepak, Datuk Zainal Abidin Hassan turut hadir memberi sokongan semasa pelancaran buku biografi Rajagobal. -  Kredit foto: FB Datuk Muhammad Nasir Hamzah.


Buku Inilah Saya K Rajagobal mengandungi 16 bab yang memaparkan perjalanan hidup legenda bola sepak Selangor dan Malaysia itu dari zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Ia turut menceritakan pahit getir yang perlu ditempuhi beliau sebelum berjaya sebagai pemain dan jurulatih.

Buku setebal 464 muka surat itu dijual dengan harga RM49.

"Saya rasa ia satu harga mampu beli terutama oleh golongan remaja. Tujuan saya menghasilkan buku ini bukan kerana wang tapi untuk berkongsi pengalaman dan perjuangan saya dalam bola sepak.

"Ia boleh dijadikan panduan oleh sesiapa saja sama ada pemain, jurulatih dan orang ramai," ujar Rajagobal yang dikenang sebagai jurulatih yang membimbing skuad bola sepak kebangsaan menjuarai Piala AFF Suzuki  pada 2010 . - KitaReporters/ Kredit foto: FB Datuk Muhammad Nasir Hamzah.


BEKAS penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat turut hadir. - Kredit foto: FB Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

11
15
0
21
0
You will be interested